8 September 2021, 19:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin telah mengadakan dua sesi libat urus secara dalam talian dengan hampir 100 orang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021 dari seluruh negara pada petang tadi. Sesi pertama melibatkan wakil pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) manakala sesi kedua pula khusus untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Menurut YB Datuk Dr. Radzi Jidin melalui kenyataannya di laman sosial Facebook beliau, para pelajar yang terlibat dalam perbincangan tadi begitu teruja berkongsi tentang pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam tempoh yang mencabar ini, termasuklah persiapan dalam menghadapi peperiksaan SPM yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mac tahun depan. YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut menyatakan bahawa beliau juga mendapat pelbagai pandangan dan cadangan untuk menambah baik pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada daripada para pelajar tersebut.

Di samping itu, dalam sesi kedua libat urus secara dalam talian, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut tersentuh dengan perkongsian daripada MBK yang tidak pernah jemu mengikuti pembelajaran walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran. Dalam sesi tersebut, MBK menyuarakan harapan mereka agar dapat kembali ke sekolah dan mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan selamat.

Saya amat menghargai semua perkongsian dan cadangan yang diberikan. Insya-Allah, cadangan tersebut akan kami teliti dan perhalusi demi kebaikan bersama. Diharapkan semua pelajar yang bakal menduduki SPM pada tahun 2021 terus bersemangat untuk membuat persediaan dengan sebaiknya. KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.