23 April 2024, 18:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Putrajaya–Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menyasarkan penyertaan sebanyak 7.5 juta orang bagi program Jom Baca Bersama 10 Minit 2024 yang diadakan di seluruh negara pada hari ini.

Program ini diadakan secara serentak merangkumi perpustakaan awam negeri, komuniti, pusat sumber sekolah di seluruh negara dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Pengarah PNM, Puan Salasiah Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa program ini merupakan program galakan membaca yang dianjurkan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang diadakan pada 23 April setiap tahun bagi menggalakkan budaya pembacaan, penerbitan dan perlindungan harta intelek (hak cipta).

Menurut beliau lagi, tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 pelaksanaannya dan berdasarkan Statistik Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia, program yang bermula pada tahun 2014 hingga 2023 ini berjaya mendapat penyertaan sebanyak 34 juta orang.

Pada tahun ini, tema yang diangkat dalam program Jom Baca Bersama 10 Minit ialah “Pembacaan Melestarikan Perpaduan”.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Salasiah Abdul Wahab semasa menyampaian ucapan alu-aluan dalam Majlis Perasmian Jom Baca Bersama 10 Minit pada hari ini.

Ketua Pengarah PNM berkata,

Malaysia merupakan sebuah negara harmoni yang mempunyai pelbagai kaum, berbilang bangsa dan pelbagai bahasa. Untuk mengenali dan hidup bersatu padu dalam kebudayaan yang pelbagai, rakyat Malaysia perlu meningkatkan budaya membaca kerana membaca merupakan tonggak perpaduan.”

Pada masa yang sama, beliau berkata, “Melalui pembacaan buku, seseorang akan mendapat pengalaman yang indah ketika menulis helaian buku sehingga tanpa sedar waktu berjalan dengan pantas, sekaligus melahirkan penulis tersohor yang akhirnya mampu mencipta ilmu baharu.”

Beliau berharap agar semua pihak terutamanya murid sekolah agar meneruskan amalan membaca serta menggunakan perpustakaan dan pusat sumber sekolah dengan sekerap yang mungkin.

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang diiringi oleh tetamu kenamaan ketika sidang media sejurus selepas majlis perasmian.

Majlis perasmian Jom Baca Buku Bersama 10 Minit ini disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Tuan Mohamad Sobri Mat Daud; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari; Puan Noraini Abu Othman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9(2) mewakili Pengetua SMK Putrajaya Presint 9(2), pegawai kanan kementerian, murid sekolah SMK Putrajaya Presint 9(2) serta SMK yang berada di bawah Wilayah Persekutuan.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.