22 April 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tenom – Sejajar dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca menjelang tahun 2030, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) telah menganjurkan Kempen Galakan Membaca sebagai satu daripada modus operandi bagi menjayakan kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK). Majlis pelancaran kempen tersebut telah dirasmikan oleh Puan Nurani Fauziah binti Derin, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPNS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Entabuan, Tenom pada 22 April 2024.

Sebagai langkah menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah turut mengundang Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah bagi mengadakan aktiviti Majalah Dalam Kelas (MDK) serta pameran dan jualan buku-buku terbitan DBP bagi melengkapi majlis pelancaran tersebut.

Aktiviti Majalah Dalam Kelas bersama-sama pelajar tingkatan 5 Progresif.

Pelaksanaan Program Majalah Dalam Kelas ini turut disokong oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan menjadikan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas sebagai program berimpak tinggi bagi menggalakkan budaya membaca, sekali gus memartabatkan bahasa dan sastera Melayu serta memperluaskan ilmu pengetahuan menerusi penggunaan majalah.

Aktiviti penggerak budaya membaca ini turut melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah, sekolah rendah, guru-guru dan ibu bapa. Mereka diberikan pencerahan tentang cara untuk mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan rujukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas atau di rumah. Motivasi dan galakan yang diberikan semasa aktiviti ini bukan sahaja mampu melahirkan minat kesusasteraan dan bidang penulisan kreatif, malah dianggap kritikal untuk mengasah minat sedia ada dalam diri pelajar.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah pengenalan puisi moden dan puisi tradisional, teka peribahasa dan simpulan bahasa, kuiz mengenali istilah semasa dan biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Pemenang kuiz diberikan hadiah majalah dan buku terbitan DBP sebagai permulaan kepada membudayakan amalan membaca.

Sewaktu menyambut pegawai DBP Cawangan Sabah, Pengetua SMK Entabuan menyampaikan hasrat untuk menjadikan aktiviti sebegini sebagai batu loncatan dalam usaha untuk menyemarakkan aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan, khususnya dalam kalangan pelajar SMK Entabuan dan anak-anak kelahiran daerah Tenom. Bak kata pepatah, melentur biarlah waktu rebung.

Fasilitator sedang memberikan taklimat berkaitan dengan Program Majalah Dalam Kelas.

Program ini telah dijayakan dengan pelibatan sebanyak 26 orang pelajar Tingkatan 4 Progresif dan 24 orang pelajar Tingkatan 5 Progresif serta empat orang guru SMK Entabuan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.