23 April 2024, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto : Khairul Azhar Baharuddin

Putrajaya – Bagi menghidupkan semula Kempen Bulan Membaca Kebangsaan, Karnival Baca Perdana anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan diadakan buat pertama kali pada Julai kelak. Demikian jelas Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata bahawa pelaksanaan karnival itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat MADANI, selain menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menjurus ke arah pembelajaran berkualiti, berilmu pengetahuan dan berbudaya nilai tinggi. Pelaksanaan karnival tersebut juga diadakan untuk menyokong gagasan Dekad Membaca Kebangsaan yang diperkenalkan sebelum ini dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030.

Lafaz ikrar budaya membaca oleh tetamu kenamaan dan para peserta sebelum majlis perasmian berlangsung.

“Karnival anjuran PNM ini dipercayai dapat membangunkan budaya membaca yang mampan dengan mewujudkan perkongsian dan inisiatif untuk memastikan impak jangka panjang serta mewujudkan tabiat membaca yang berkekalan,” jelas beliau dalam ucapan perasmian program Jom Baca Bersama 10 Minit di Sekolah Kebangsaan Presint 9 (2) anjuran PNM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kempen Jom Baca Bersama 10 Minit ini diadakan bersempena dengan sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun.

Menyentuh tentang kadar pembacaan rakyat Malaysia, YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata bahawa Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/23023 yang dijalankan oleh PNM menunjukkan kadar peningkatan yang ketara, iaitu dari dua naskhah kepada 24 naskhah setahun.

“Peningkatan ini hasil daripada program pemerkasaan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa,” jelas YB Datuk Aaron Ago Dagang lagi.

Difahamkan bahawa PNM bersama-sama perpustakaan desa, komuniti dan negeri telah melaksanakan sebanyak 73 406 program galakan membaca yang disertai oleh 2.32 juta peserta.

Pada masa yang sama, sehingga Februari lalu, sebanyak 678 616 rakyat di negara ini telah mendaftar sebagai ahli u-Pustaka, iaitu sebuah perkhidmatan oleh PNM yang menjurus pada perkhidmatan rujukan dan bacaan secara dalam talian.

Simbolik Majlis Perasmian Jom Baca Bersama 10 Minit.

Majlis perasmian Jom Baca Bersama 10 Minit pada pagi tadi turut dihadiri oleh Ketua Pengarah PNM, YBrs Puan Salasilah Abdul Wahab; Ketua Pengarah DBP, YBrs Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Tuan Mohamad Sobri Mat Daud mewakili Ketua Setiausaha; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Noraini Abu Othman, mewakili Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), serta para pegawai kanan kerajaan.

Kemeriahan terpancar dalam kalangan murid dan warga pendidik sejurus selepas majlis perasmian.

Terdahulu, majlis tersebut diserikan oleh persembahan Bicara Berirama oleh kumpulan pelajar sekolah rendah, selain diadakan pengisian program seperti Pertandingan Inovasi dan Forum Tokoh.

YB Datuk Aaron Ago Dagang diiringi oleh Ketua Pengarah PNM, Puan Salasiah Abdul Wahab melawat pameran yang diadakan di dewan perasmian.

 

Ketua Pengarah DBP, YBrs Dr. Hazami Jahari dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd. Salahuddin Datuk Paduka Mohamed turut meluangkan masa melawat gerai buku sebelum acara perasmian bermula.

Majlis diakhiri dengan penandatangan pada plak perasmian dan penyerahan sumbangan buku kepada pihak pengurusan sekolah sebagai simbolik majlis perasmian serta penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Inovasi yang disertai oleh pelajar sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.