29 April 2024, 21:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
TYT YDP Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada delegasi DBP yang diketuai oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, hari ini.

Kuching – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua (YDP) Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Bilik Menghadap Utama, Astana Negeri Sarawak pada pagi ini.

Menurut YBrs. Dr. Hazami, pertemuan yang diadakan pada pukul 10.30 pagi itu bertujuan untuk memaklumkan secara ringkas tentang beberapa program yang bakal diadakan oleh DBP, serta mengundang Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi bagi menghadiri program tersebut.

DBP berbesar hati untuk mengundang Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi secara rasmi dalam acara Pertandingan Forum Remaja Piala TYT yang akan diadakan pada bulan Jun.

“Kita juga turut mengundang Tun Pehin bersama-sama isteri beliau, Toh Puan Fauziah Mohd. Sanusi untuk hadir ke Majlis Anugerah Sastera Negeri Sarawak, Syarahan Negarawan dan bicara negarawan.

Berkaitan dengan pelaksanaan program itu, YBrs. Dr. Hazami memaklumkan bahawa Majlis Anugerah Sastera Negeri Sarawak akan diadakan pada penghujung tahun ini.

Manakala, Syarahan Negarawan bakal berlangsung pada bulan Ogos di Ibu Pejabat Kuala Lumpur yang akan membicarakan buku bertajuk Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia terbitan DBP, yang pernah ditulis oleh Tun Pehin sendiri.

DBP perlu terus melaksanakan program berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai asas perpaduan dan pengukuhan jati diri” – Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi.

Kongsi beliau,

Tun Pehin pernah berkhidmat sebagai ahli politik dan terlibat secara langsung dalam perundangan. Beliau sangat berpengalaman untuk memberikan nasihat dan pandangan tentang hal undang-undang perlembagaan.

“Itulah antara perkara yang akan kami rangkumkan dalam siri Syarahan Negarawan nanti.

Demikianlah kata-kata Ketua Pengarah DBP dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat bagi menyerahkan buku Hikayat Hang Tuah pada pagi tadi.

TYT YDP Negeri Sarawak menerima buku Hikayat Hang Tuah sebagai cenderamata daripada DBP.
Buku Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang lahir pada zaman kegemilangan masyarakat Melayu tradisional.

Ujar beliau, TYT YDP Negeri Sarawak itu telah bersetuju untuk menghadiri ke semua acara yang diundang dan mencadangkan agar DBP giat merencanakan program berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai asas perpaduan dan pengukuhan jati diri.

Oleh hal yang demikian, YBrs. Dr. Hazami meletakkan keyakinan tinggi bahawa pertemuan tersebut mampu memberikan penghormatan kepada pemenang anugerah, selain mengembangkan dan menyebarluaskan bahasa Melayu dan persuratan Melayu dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Delegasi DBP yang hadir dalam rombongan tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Abang Julai, serta para pegawai kanan DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.