3 November 2021, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setelah menunggu hampir empat tahun, pada akhirnya Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa 18 tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menemui ajal akibat kecederaan parah. Ketika kejadian pada tahun 2017, Zulfarhan baru berusia 21 tahun.

Kematian Zulfarhan membongkar dan mengheret 18 orang rakan sepengajiannya sendiri yang tergamak menyeksa mangsa sehingga membawa maut. Apa-apa yang berlaku merupakan tragedi yang cukup menyedihkan, malah menyaksikan harapan ibu bapa yang mahu melihat anak berjaya hancur hanya kerana satu peristiwa. Akibat terikut-ikut dengan budaya buli, sekumpulan mahasiswa terlibat dengan satu pembunuhan tragis yang menggemparkan negara.

Pada akhirnya, kematian Zulfarhan memperoleh pembelaan yang sewajarnya apabila Hakim menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara ke atas enam orang suspek utama. Mereka terlepas hukuman gantung kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh. Hakim, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali selepas mendapati kesemua mereka bersalah mencederakan Zulfarhan sehingga menyebabkan kematian.

Berikutan dengan itu, keenam-enam mereka yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian terhadap Zulfarhan. Dalam pada itu, keenam-enam mereka turut didapati bersalah bersama-sama 12 orang lagi tertuduh atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Pada hakikatnya, apa-apa yang berlaku ke atas Zulfarhan wajar dijadikan peringatan dan iktibar oleh semua khususnya individu yang suka membuli. Ini bukan kes buli pertama berlaku di negara ini, malah sebelum ini sudah pernah ada kes buli sehingga mangsa meninggal dunia atau mengalami pelbagai komplikasi kesihatan dan kecederaan fizikal serta mental yang teruk.

Perbuatan buli boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu buli secara mental dan buli secara fizikal. Antara perbuatan buli secara mental termasuklah pelaku suka kutuk-mengutuk, ejek-mengejek, dan menyindir mangsa secara berterusan dan boleh jadi sepanjang masa sehingga menjejaskan emosi dan perasaan mangsa, manakala buli secara fizikal melibatkan tindakan agresif seperti pukul dan sepak serta menggunakan peralatan lain untuk mencederakan mangsa. Kes Zulfarhan tergolong dalam kategori ini. Selain itu, berlaku juga buli secara tidak langsung seperti buli siber dan juga buli secara lisan.

Apa-apa yang pasti, perbuatan buli meninggalkan kesan yang cukup mendalam ke atas mangsa khususnya dan menyebabkan gangguan kesihatan mental yang cukup serius. Mangsa akan berasa tertekan, murung, kesunyian, takut dan cemas, mempunyai harga diri yang rendah serta berfikir untuk membunuh diri atau cuba membunuh diri. Ringkasnya, buli boleh memberikan kesan terhadap kesihatan fizikal dan emosi dalam kehidupan sama ada untuk tempoh yang pendek atau berpanjangan.

Justeru, perbuatan buli ini baik di sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu dihalang, dikekang dan ditangani sepenuhnya. Hal ini dikatakan demikian kerana secara prinsipnya, kita tidak mahu masyarakat terus melabel IPT dan sekolah terutamanya sekolah berasrama di negara kita tidak selamat. Persepsi negatif tersebut akan merugikan semua pihak dan merupakan satu penilaian yang tidak adil sama sekali kepada IPT dan juga sekolah berasrama di negara kita.

Dalam konteks ini, kita perlu melihat latar belakang pembuli terbabit. Pada kebiasaannya, mereka ini datangnya daripada keluarga yang bermasalah termasuk pernah didera oleh ahli keluarga semasa kecil. Hal ini dikatakan demikian kerana agak tidak logik apabila pelajar cemerlang yang layak masuk ke sekolah berasrama dan IPT boleh bertindak sangat agresif, kejam dan di luar batas kemanusiaan.

Nasib malang yang menimpa Zulfarhan dan beberapa orang mangsa buli sebelum ini sewajarnya membuka mata kita untuk bertindak lebih agresif bagi menangani isu ini. Di samping kita harap pihak sekolah berasrama dan juga IPT akan memperketat usaha yang sedia ada untuk menangani kes buli supaya dapat mencegah kejadian buli berlaku lagi, kita juga berharap agar para ibu bapa dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam mendidik dan membentuk anak mereka agar tidak menjadi pembuli. Perkara ini penting kerana asuhan di rumah ternyata akan memberikan impak yang lebih besar sebelum anak dididik dan dibentuk di sekolah dan juga IPT. Hal ini dikatakan demikian kerana antara punca anak menjadi pembuli adalah kerana kurangnya perhatian dan kasih sayang dalam keluarga, berasal daripada keluarga yang bermasalah, serta kurangnya didikan agama. Semua isu ini boleh diselesaikan oleh ibu bapa jika mereka benar-benar prihatin dan mengambil berat tentang anak masing-masing.

Pada masa sama, pihak sekolah dan IPT juga boleh memainkan peranan yang efisien dalam membantu menangani masalah buli ini. Elemen pendidikan boleh dijadikan senjata utama untuk membanteras gejala buli dalam kalangan murid di sekolah. Pihak sekolah dan IPT boleh menganjurkan pelbagai program dan aktiviti berbentuk kesedaran secara berkala dan konsisten supaya murid memahami fenomena buli ini secara menyeluruh.

Dalam pada itu, aspek pemantauan di asrama penginapan seperti pemeriksaan mengejut secara berkala serta langkah penguatkuasaan hukuman yang sewajarnya perlu diperkasakan supaya anak takut serta sedar perbuatan buli itu merupakan satu kesalahan yang besar. Dalam hal ini, besarlah juga harapan kita agar pihak sekolah mahupun IPT tidak sama sekali merahsiakan sebarang perbuatan buli yang berlaku di tempat masing-masing.

Sebelum lebih banyak lagi menjadi mangsa buli serta sebelum lahir lebih banyak lagi pembuli, eloklah semua pihak berganding bahu menjayakan agenda menangani masalah buli di negara kita. Semoga nasib malang yang menimpa Zulfarhan serta hukuman yang dikenakan terhadap pembulinya dijadikan iktibar dan peringatan kepada semua.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.