Oleh Dr. Rosmani Omar
11 November 2021, 08:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan lima negeri, iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin lalu.

Menerusi peralihan fasa tersebut, pengoperasian sekolah di Perlis melibatkan tingkatan 1 hingga tingkatan 4 di peringkat sekolah menengah serta tahun 1 hingga tahun 6 sekolah rendah akan bermula pada 22 November secara penggiliran. Kumpulan A akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada 22 November manakala Kumpulan B adalah pada 29 November.

Sehubungan dengan itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menitahkan rakyat di Perlis terutamnya guru dan ibu bapa agar membuat persiapan yang menyeluruh sebelum pengoperasian sekolah bermula. Menurut baginda, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia perlu dipatuhi dalam usaha untuk terus mengekang penularan virus COVID-19 dalam kalangan kakitangan sekolah dan pelajar sebaik-baik sahaja sesi persekolahan secara bersemuka dimulakan secara sepenuhnya.

Pihak sekolah di Perlis hendaklah membuat persiapan awal bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat dan para guru bersedia sepenuhnya untuk pengoperasian institusi pendidikan pada PPN tidak lama lagi.

Hal ini demikian kerana hanya tinggal kurang daripada dua minggu sekolah di Perlis akan beroperasi semula pada Fasa Empat PPN yang melibatkan kehadiran murid tahun 1 hingga tahun 6, kelas peralihan dan tingkatan 1 hingga tingkatan 4.

Dalam membuat persiapan tersebut, baginda memberikan penekanan terhadap kepentingan keadaan pengudaraan yang secukupnya di kawasan sekolah terutamanya di bilik darjah, kawasan sekolah yang perlu sentiasa disanitasi, pemakaian pelitup muka dalam kalangan warga sekolah yang hadir ke sekolah, pengamalan penjarakan fizikal, penyaringan suhu badan dan penyediaan laluan pergerakan murid serta pematuhan peraturan semasa waktu rehat.

Pihak sekolah disarankan memulakan persediaan rapi segera bagi memastikan pembukaan sekolah secara bersemuka sepenuhnya ini berjalan lancar dan warga sekolah, murid-murid serta ibu bapa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Titah baginda Tuanku Raja Muda lagi,

Selain persiapan awal dan menyeluruh, penubuhan jawatankuasa untuk menguruskan prosedur pencegahan jangkitan COVID-19 di peringkat sekolah juga dapat membantu para pelajar menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka dalam persekitaran yang kondusif dan selamat serta mengembalikan semangat untuk hadir secara bersemuka dengan rakan dan guru.

Bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar, baginda juga mengharapkan ibu bapa agar memberikan kerjasama kepada pihak sekolah untuk memastikan kehadiran penuh murid dan pada masa yang sama tidak menghantar murid yang bergejala ke sekolah.

Baginda bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat meninjau projek pembangunan jeti yang sedang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran di Pengkalan Tok Kuning, Kayang dan kerja-kerja yang berkaitan sempena Program MAIPs Peduli baru-baru ini. Kerja-kerja tersebut melibatkan pengorekan alur masuk dan kemudiannya pembinaan persiaran pejalan kaki dan jeti di situ.


Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau projek pembangunan jeti di Pengkalan Tok Kuning, Kayang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi