25 April 2024, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin, Zaidah Zakaria, Hanafi Mohd Yusof dan Adib Zulkifli

Kuala Lumpur – Pelaksanaan program Majalah Dalam Kelas (MDK) membantu melestarikan pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan didik hibur dengan menggunakan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terutamanya majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar.

Demikian jelas Ketua Pengarah DBP; Dr. Hazami Jahari dalam ucapan perasmian Program Gerak Gempur MDK Kembali ke Sekolah Zon Tengah (Peringkat Kebangsaan) yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir pada hari ini.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Kebangsaan (Zon Tengah).

Beliau turut menyatakan hasrat agar rakan pendidik menggunakan majalah terbitan DBP dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Hal ini demikian kerana selain menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul, majalah ini juga mempunyai kandungan yang menarik dan pelbagai, serta merangkumi pelbagai bidang. Memetik ucapan beliau lagi,

DBP menawarkan bahan penerbitan dan kandungan majalah terbaik untuk dijadikan sebagai bahan pembelajaran dan kaedah yang dapat mengembalikan kepentingan penggunaan majalah di dalam bilik darjah.

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Kebangsaan (Zon Tengah).

Program MDK dilaksanakan sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar para pelajar terlibat dalam proses pembudayaan ilmu dengan menjadikan pembacaan sebagai budaya hidup. Memetik ucapan Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa:

Melalui penganjuran program MDK, para guru dapat mendidik para pelajar untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai saluran pengungkapan buah fikiran dan ilmu pengetahuan yang berkesan, betul dan indah. Selain itu, usaha tersebut dapat mengasah bakat dan potensi diri pelajar dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif.

Beliau turut berharap agar peserta yang hadir dalam program ini dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap program yang berkonsepkan didik hibur yang dilaksanakan.

Para peserta terutamanya para pelajar perlu mengambil kesempatan yang ada untuk melontarkan pertanyaan atau mendapatkan sebarang pencerahan kepada para pengendali program kerana mereka sememangnya arif dalam bidang penerbitan majalah DBP.

Selepas Majlis Pelancaran Program Gerak Gempur MDK Kembali ke Sekolah, turut diadakan tiga program untuk guru, pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah, iaitu Bengkel MDK untuk Guru, Program MDK Dewan Siswa dan Bengkel MDK Dewan Pelajar.

Bengkel Majalah dalam Kelas untuk Guru telah diadakan bagi mendedahkan peserta tentang kaedah, teknik dan penggunaan majalah sebagai satu daripada alat bantu mengajar dalam mempelbagaikan subjek menggunakan bahasa Melayu.

Penceramah Bengkel MDK untuk Guru, Encik Abdul Ghani Abu menyampaikan taklimat kepada para guru.

 

Encik Abdul Ghani Abu bersama-sama peserta Bengkel MDK untuk Guru.

Sebanyak 59 orang guru yang terdiri daripada guru sekolah rendah dan guru sekolah menengah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya turut menyertai bengkel tersebut. Encik Abdul Ghani bin Abu, Ketua Bahagian Perkamusan merupakan penceramah bagi bengkel tersebut.

Editor Dewan Siswa memberikan penerangan kepada para pelajar sewaktu aktiviti meneruskan cerpen.

Program MDK Dewan Siswa yang dikendalikan oleh editor majalah Dewan Siswa bersama-sama karyawan editor majalah telah dihadiri oleh 148 orang pelajar dari sekolah menengah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Program yang berlangsung selama tiga jam itu telah dimulakan dengan taklimat berkenaan peluang penerbitan dalam majalah Dewan Siswa dan diikuti dengan aktiviti berkumpulan seperti kuiz bahasa Melayu, pilih perkataan yang betul, menukarkan rencana kepada pantun, meneruskan cerpen dan diakhiri dengan kuiz menara belon.

Editor Dewan Pelajar memberikan penerangan kepada para pelajar berdasarkan pembentangan yang dihasilkan oleh ahli kumpulan.

Manakala Program MDK Dewan Pelajar pula dihadiri oleh 172 orang pelajar dari sekolah rendah sekitar Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Program ini telah dikendalikan oleh editor majalah Dewan Pelajar dan dibantu oleh karyawan editor majalah yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Program tersebut dimulakan dengan taklimat berkenaan dengan majalah Dewan Pelajar dan seterusnya aktiviti secara berkumpulan. Antara aktiviti yang diadakan termasuklah menukarkan komik kepada karangan, biasakan yang betul dan betulkan yang biasa dan diakhiri dengan kuiz menara belon.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.