22 November 2021, 12:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Malaysia berada pada kedudukan ke-57 daripada 180 buah negara berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke-23 bagi tahun 2020.

Dewasa ini kita mendapati isu berkaitan integriti, khususnya penyalahgunaan kuasa dan rasuah sering berlegar di media massa. Penafian dan penjelasan diberikan oleh pihak yang disyaki dan dituduh, namun hal ini tidak membantu memulihkan imej negara di mata masyarakat dunia, sebaliknya reputasi negara terus terjejas apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke-23 bagi tahun 2020 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-57 daripada 180 buah negara yakni turun enam anak tangga berbanding dengan tahun sebelumnya. Tambahan pula, menurut laporan CPI tahun 2020, negara Rwanda yang baru bangkit daripada konflik perang saudara dikatakan demikian lebih baik prestasi persepsi rasuahnya, iaitu berada pada kedudukan ke-49 berbanding dengan Malaysia yang lebih maju serba-serbi.

Walau bagaimanapun, tanpa perlu menuding jari kepada mana-mana pihak, perkara utama yang perlu dilakukan ialah merenung kembali dalam diri kita dan bertanya: “Adakah kita sudah melakukan usaha yang secukupnya untuk menjadikan negara kita lebih berintegriti?” Hakikat pahit yang perlu diterima ialah Indeks CPI yang kita peroleh jelas menunjukkan bahawa masih banyak usaha yang perlu dilakukan bersama-sama jika mahu berjaya dalam memerangi segala tindakan yang tidak berintegriti, sekali gus menjadikan negara kita lebih bersih dan disegani oleh semua pihak.

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah membudayakan amalan integriti pada setiap masa seperti menerapkan pembudayaan nilai integriti dalam diri, keluarga, masyarakat dan organisasi.

Mengapakah nilai integriti penting untuk dibudayakan? Adakah semata-mata untuk memperbaiki Indeks Persepsi Rasuah negara kita? Jawapannya sudah pasti tidak!

Hal ini kerana integriti sememangnya diperlukan dalam kehidupan kita. Kehidupan seseorang tanpa integriti seperti amanah, jujur, menepati janji, bertanggungjawab dan berakhlak dengan sifat-sifat mahmudah umpama hilang keimanan dari dalam dirinya.

Rasulullah SAW menegaskan dalam hadis yang bermaksud:

“Tiada iman bagi orang yang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang janjinya.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Dailami)

Sehubungan dengan itu, pelaksanaan pembudayaan integriti sangat penting dalam peribadi seseorang individu dan organisasi kerana bukan sahaja untuk memelihara maruah dan harga diri seseorang, malah dapat meningkatkan produktiviti organisasi dan mengangkat martabat sesebuah negara.

Jika dilihat kepada data sedia ada, sememangnya terdapat kaitan yang signifikan antara sikap berintegriti dengan prestasi produktiviti. Data menunjukkan negara yang mempunyai kedudukan yang lebih baik indeks persepsi rasuahnya mempunyai prosedur yang lebih cekap dan memudahkan pengoperasian perniagaan di negara tersebut. Kesan langsungnya pelabur akan memilih negara berkenaan sebagai destinasi pelaburan, sekali gus membantu meningkatkan hasil dalam bentuk cukai.

Jadual Hubungan Prestasi CPI dengan DB dan Nisbah Kutipan Cukai berbanding dengan KDNK.

Negara Kedudukan

Indeks Persepsi

Rasuah (CPI)*

Skor Ease of Doing

Business (DB) **

Nisbah Kutipan

Cukai Berbanding

KDNK***

New Zealand Skor 88, Rank 1 Skor 86.8, Rank 1 32.3%
Denmark Skor 88, Rank 1 Skor 85.3, Rank 4 46.3%
Singapura Skor 85, Rank 3 Skor 86.2, Rank 2 13.3%
Malaysia Skor 51, Rank 57 Skor 81.5, Rank 12 12.4%

*CPI: Indeks Persepsi Rasuah
**DB:  Ease of Doing Business Ranking, Tahun 2020
***Nisbah Tax-to-GDP

Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya

Mendidik generasi muda biarlah dari peringkat awal. Umpama rebung, apabila sudah menjadi buluh susah pula hendak dilenturkan. Dalam konteks manusia, apabila sudah tua, maka susahlah pula hendak ditegur, hatta untuk mendengar arahan dan nasihat juga susah kerana mereka sudah banyak kata dan pandai berhujah.

Begitulah proses menerap dan membudayakan nilai integriti dalam organisasi. Realitinya, hasil kejayaan sesebuah organisasi adalah bermula daripada warga kerja yang berintegriti. Oleh hal yang demikian, setiap organisasi hendaklah menyediakan satu pelan tindakan yang lengkap berkaitan dengan pembinaan integriti dalam kalangan pekerja. Pelan tindakan ini perlu mencakupi semua peringkat pekerja, bermula dari peringkat pekerja sokongan sehinggalah peringkat pengurusan dan pemimpin atasan. Hal ini dikatakan demikian kerana nilai integriti perlu wujud dalam diri setiap ahli organisasi tanpa mengecualikan sesiapa pun. Lebih-lebih lagi dalam kalangan pemimpin yang sentiasa menjadi perhatian dan ikutan pekerja bawahan. Jelaslah, integriti menjadi antara tonggak utama yang menentukan keberkesanan kepimpinan mereka.

Seseorang pemimpin yang berintegriti bukan sahaja perlu “bersih”, malah mereka juga perlu kelihatan “bersih” pada setiap masa. Integriti pemimpin yang boleh dipersoalkan akan mengakibatkan integriti organisasi dan pekerja yang mereka pimpin turut dipertikaikan. Pada masa yang sama, pemimpin yang diragui integritinya berkemungkinan bakal berhadapan dengan tentangan dan sikap tidak setia dalam kalangan para pekerjanya. Jika ini berlaku adalah mustahil untuk sesebuah organisasi mencapai kejayaan yang diimpikan kerana tiadanya kesatuan dan semangat berpasukan dalam sesuatu organisasi tersebut.

“Kita Jaga Kita”

Ungkapan “Kita Jaga Kita” umpama sudah sebati dalam diri kita semua. Bahkan, ungkapan ini bagaikan satu ungkapan wajib bagi seluruh rakyat Malaysia semenjak penularan pandemik COVID-19 pada penghujung tahun 2019 sehingga kini sebagai peringatan agar setiap rakyat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan prihatin dengan nasib masyarakat di sekeliling.

Bersangkutan dengan integriti, “Kita Jaga Kita” ini turut boleh digunakan sebagai langkah membudayakan integriti dalam organisasi. Apa tidaknya, ungkapan ini juga menggambarkan bahawa setiap daripada kita wajib menegur dan menasihati orang lain untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Maka mengambil semangat daripada ungkapan ini, setiap pihak perlu memainkan peranan sebagai “penasihat” kepada orang di sekeliling, begitu juga sebaliknya agar tindak-tanduk kita sentiasa berada atas landasan yang benar dan tidak terpesong.

Sesungguhnya Allah memberikan janji-Nya akan kejayaan kepada hamba-Nya yang beriman, sentiasa melakukan amal kebaikan dan saling ingat-mengingati perkara yang benar dengan penuh kesabaran.

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.

(Surah al-‘Asr 103:1–3)

Dalam konteks ini, setiap manusia perlu mempunyai dorongan untuk memartabatkan integriti. Tanpa dorongan, nescaya semua program, pelan, ikrar dan peraturan berkaitan dengan integriti menjadi sia-sia kerana tiadanya pegangan yang jitu dalam kehidupan.

Integriti Hancur, Organisasi Lebur

Integriti sangat dituntut, lebih-lebih lagi dalam agensi dan jabatan kerajaan kerana sebagai organisasi yang dananya datang daripada rakyat, penjawat awam hendaklah sentiasa berkhidmat dengan penuh beretika demi kesejahteraan masyarakat dan negara. Namun begitu, integriti tidak hanya ditekankan kepada penjawat awam semata-mata, pihak swasta dan setiap rakyat juga turut tidak terkecuali daripada menghayatinya. Kesalinghubungan dan kerjasama antara pihak kerajaan, swasta dengan setiap rakyat sangat perlu dalam memartabatkan dan membudayakan integriti dalam negara kita.

Perbuatan tidak berintegriti seperti penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah hendaklah dielakkan sama sekali. Setiap daripada kita juga hendaklah mengamalkan budaya kerja yang penuh berintegriti umpamanya dalam hal ketepatan waktu, penyampaian maklumat, kerahsiaan organisasi dan perhubungan dengan majikan serta rakan sekerja. Nilai-nilai murni dan pegangan agama yang kuat boleh menjadi benteng kepada diri daripada terjebak dengan aktiviti haram dan tindakan yang merosakkan organisasi serta negara.

Dari sudut agama, tidak ada agama dalam dunia yang menghalalkan perbuatan tidak berintegriti. Dalam Islam, jelas bahawa rasuah dan semua bentuk penyelewengan lain seperti penipuan, salah guna kuasa, pemalsuan dan penindasan adalah diharamkan.

Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

(Surah al-Baqarah 2:188)

Betapa seriusnya kesan buruk perbuatan tidak berintegriti seperti rasuah ini turut jelas dipaparkan melalui hadis nabi yang melaknat pemberi dan penerima rasuah. Abdullah Ibn ‘Amr R.A meriwayatkan: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (HR Abu Daud, Al-Tirmizi, Ibn Majah).

Hal ini kerana penyelewengan dan rasuah bukan sahaja memberikan ketidakadilan kepada pihak yang ditindas, malah turut boleh merugikan organisasi kerana berlakunya ketirisan dan pembaziran. Selain itu, dapat digambarkan betapa terkesannya budaya rasuah dan amalan penyelewengan yang dilakukan oleh segelintir pekerja mampu mencemarkan imej baik organisasi bak peribahasa, “seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit”. Lebih malang lagi, amalan ini boleh menjurus kepada kehancuran negara apabila maruah dan kedaulatan negara boleh menjadi taruhan akibat daripada ketamakan wang dan kekayaan.

Sebagai seorang manusia yang beriman, adakah kita langsung tidak gentar dengan ancaman laknat oleh Rasulullah ini? Apabila dilaknat oleh Rasulullah SAW, bagaimanakah seseorang umat ingin mendapatkan syafaat daripada baginda kelak? Kita tidak akan mendapat pertolongan di akhirat, jika kita melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Secara kesimpulannya, bersandarkan kepada hujah yang dinyatakan, integriti memberikan impak yang amat signifikan kepada kesejahteraan negara apabila hal ini dapat menghasilkan keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian, sekali gus mampu meningkatkan produktiviti organisasi.

Dengan pembudayaan integriti dalam organisasi, bukan sahaja Indeks Persepsi Rasuah negara dapat diperbaik, lebih daripada itu hasil negara turut diyakini akan dapat ditingkatkan apabila setiap penjawat bekerja dengan penuh amanah dan bersungguh-sungguh, manakala rakyat pula tanpa banyak soal akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk membangunkan negara dengan penuh sukarela.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.