5 April 2024, 09:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bermain mercun atau bunga api merupakan antara aktiviti yang dilakukan oleh kebanyakan masyarakat pada masa ini untuk memeriahkan sambutan perayaan di negara kita. Namun begitu, kecederaan yang dialami akibat bermain mercun sering kali berlaku apabila tiba penghujung Ramadan atau menjelang sambutan Aidilfitri. Boleh dikatakan saban tahun, ada sahaja kes kecederaan akibat bermain mercun yang terpapar dalam akbhar dan media massa. Selain kecederaan yang mengakibatkan kecacatan kekal, terdapat juga kes kematian yang dilaporkan gara-gara kecuaian bermain mercun seperti yang berlaku di Pendang, Kedah, pada tahun 2023. Keadaan ini menunjukkan bahawa keseronokan bermain mercun atau bunga api dalam kalangan remaja dan kanak-kanak pada musim perayaan boleh mengundang padah jika tidak berhati-hati atau tiada pemantauan daripada orang dewasa.

Di Malaysia, mercun umumnya dimainkan semasa sambutan perayaan seperti Hari Kemerdekaan, Hari Deepavali, Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Menurut Kamus Dewan Perdana, 2021, mercun ialah sejenis bunga api yang meletup apabila dibakar. Mercun juga merujuk sejenis perkakas letupan kecil yang direka terutamanya untuk menghasilkan bunyi bising yang amat kuat serta mempunyai sumbu dan dibalut dengan longsongan kertas yang sangat tebal agar dapat menampung letupan besar. Mercun dan bunga api dipercayai berasal dari China dan di negara kita terdapat pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dijual menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Penjualan mercun bukan sahaja dibuat di tepi jalan, namun turut diiklankan dengan rancak dalam media sosial.

Antara mercun yang paling popular dan menjadi kegemaran kanak-kanak dan remaja ialah mercun bola kerana bunyinya yang sangat kuat. Walaupun kecil, namun mercun bola sangat berbahaya terutamanya kepada golongan kanak-kanak. Mercun lain yang popular dan menjadi pilihan dalam kalangan masyarakat Malaysia termasuklah mercun das, mercun ketupat, mercun gasing, mercun lebah, mercun naga, mercun mancis dan mercun pop pop. Antara kesemua mercun tersebut, mercun pop pop merupakan mercun yang paling sesuai dimainkan oleh kanak-kanak kerana tidak memerlukan api untuk dibakar seperti mercun-mercun lain. Walaupun dilihat tidak begitu mencabar tetapi mercun ini juga menjadi kegemaran masyarakat kerana boleh digunakan untuk mengusik individu yang melatah dan sebagainya. Kita boleh melihat suasana kanak-kanak, remaja dan orang dewasa mula bermain mercun seawal hari pertama Ramadan dan semakin rancak menjelang sambutan Aidilfitri.

Tahukah anda bahawa pembakaran mercun di negara kita adalah diharamkan seperti yang termaktub dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991. Hal ini disebabkan oleh peningkatan kadar kecederaan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya masyarakat Melayu semasa menjelang sambutan Aidilfitri pada setiap tahun. Tindakan undang-undang juga boleh dikenakan terhadap individu yang bermain mercun melebihi pukul 12.00 tengah malam sekiranya mengganggu ketenteraman awam. Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), DCP Alzafny Ahmad dalam satu kenyataan pada Februari 2023 berkata, sekiranya ada pihak yang ingkar, tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) atau Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957, yang boleh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Budaya bermain mercun seolah-olah sudah sebati dalam kalangan masyarakat kini dan menjadi antara hiburan atau aktiviti santai bersama-sama keluarga, terutamanya ketika pulang berhari raya di kampung. Dalam Islam juga melarang umatnya bermain mercun kerana boleh perbuatan tersebut boleh mengundang bahaya dan kebinasaan. Mercun bukan hanya boleh mendatangkan kecederaan kecil malahan kecederaan parah seperti kecacatan kekal serta boleh mengundang maut. Buktinya, pada awal tahun 2024, seorang pekerja pemasangan bunga api telah meninggal dunia di Port Dickson, gara-gara letupan bunga api yang berlaku.

Tidak hanya berbahaya kepada anggota fizikal, namun tindakan kimia dalam mercun juga akan menghasilkan banyak asap hasil daripada bahan kimia beracun yang boleh membahayakan kesihatan. Kita boleh melihat begitu banyak asap yang terhasil terutamanya semasa bermain bunga api. Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Mohd. Hasni Jaafar dalam tulisannya bertajuk “Bahaya Asap Mercun” menyatakan bahawa di sebalik keindahan warna percikan serta dentuman mercun merupakan hasil tindakan kimia yang melibatkan pelbagai bahan serta logam berat. Selain pelbagai warna, mercun juga mengeluarkan asap yang sangat halus dan boleh memasuki sistem darah seseorang melalui peparu. Asap ini boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti kegagalan pernafasan, penyakit pernafasan, atau mungkin kematian jika terdedah dalam jangka masa yang panjang.

Di samping itu, mercun juga boleh menyumbang kepada pencemaran bunyi yang mengganggu-gugat keharmonian dan kententeraman jiran tetangga. Dentuman bunyi mercun yang kuat boleh menyebabkan sebahagian orang terkejut terutamanya bayi, kanak-kanak dan warga emas. Bahkan, bunyi dentumannya yang gegak gempita juga menyebabkan ibu bapa yang mempunyai anak kecil berasa terganggu dan marah dengan individu yang bermain mercun di kawasan kejiranan. Malahan, mercun yang dimainkan berdekatan masjid juga boleh mengganggu tumpuan imam dan makmum yang sedang beribadah. Sedangkan, Islam mewajibkan kita untuk memuliakan jiran tetangga dan sesiapa sahaja tidak boleh mengganggu dan melakukan perkara yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian hidup bermasyarakat. Saban tahun, kita boleh melihat keluhan masyarakat dalam media sosial yang terpaksa menadah telinga mendengar letupan mercun tanpa mengira masa menjelang musim perayaan.

Budaya bermain mercun secara tidak langsung membawa kepada pembaziran wang dan masa. Kita membeli mercun dengan duit yang kita peroleh daripada bekerja, kemudian kita membakarnya untuk tujuan keseronokan, padahal wang tersebut boleh digunakan untuk keperluan yang lebih penting. Pada zaman kos sara hidup yang semakin meningkat ini, wajarlah kita berbelanja secara berhemah termasuklan dalam soal membeli mercun dan bunga api. Berbelanja untuk bermain mercun bukan sahaja sia-sia tetapi juga boleh mendatangkan mudarat tanpa diduga, Walau bagaimanapun, pesta bermain mercun dilihat masih rancak di seluruh negara.

Budaya bermain mercun walaupun memberikan kesan yang negative, namun budaya ini seolah-olah telah sebati dan menjadi kewajipan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Suasana sesuatu perayaan dirasakan kurang seri dan meriah tanpa warna-warni dan dentuman mercun. Ibu bapa perlu mengambil langkah sewajarnya jika membenarkan anak-anak bermain mercun. Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak dan tidak membiarkan mereka hanya bermain bersama-sama rakan sebaya. Bukan itu sahaja, tempat yang selamat seperti di kawasan lapang merupakan antara pilihan kawasan yang sesuai bagi mereka yang ingin bermain mercun serta memastikan pakaian yang dikenakan oleh mereka adalah bersesuaian agar tidak mengundang bahaya kebakaran dan sebagainya.

Budaya bermain mercun dalam kalangan masyarakat tidak seharunysa dijadikan kelaziman kerana keseronokan tersebut hanya sementara dan boleh mengundang padah. Pada tahun 2016, kempen raya tanpa mercun telah digerakkan tetapi kurang mendapat sambutan daripada masyarakat kerana mereka berasakan bahawa sambutan Aidilfitri tidak meriah tanpa mercun. Padahal, sambutan Aidilfitri tetap meriah tanpa dentuman bingit mercun kerana perkara yang lebih penting ialah budaya ziarah-menziarahi bagi mengeratkan silaturahim antara sanak saudara dengan jiran tetangga. Budaya ini perlu diubah kerana bermain mercun lebih banyak membawa kemudaratan kepada kita. Ingat, malang tidak berbau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.