23 Disember 2021, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YBhg. Datuk Abang Sallehuddin bersama-sama Pasukan Sukarelawan DBP turun padang untuk bergotong-royong membersihkan rumah karyawan ekoran banjir yang teruk melanda negara.

Hulu Langat, Selangor – YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini mengetuai Pasukan Sukarelawan DBP dengan mengadakan lawatan ke rumah karyawan yang terjejas di kawasan Hulu Langat ekoran banjir terburuk yang melanda negara. Beliau turun padang untuk menyantuni karyawan terbabit bersama-sama Ketua-ketua Bahagian dan pasukan sukarelawan untuk sama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan tersebut selain menyerahkan sumbangan kepada karyawan terbabit.

Usaha ini bukan sahaja dapat membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung, malah sekurang-kurangnya dapat meringankan beban emosi yang ditanggung oleh karyawan yang terlibat susulan musibah yang melanda. Lebih-lebih lagi, ada dalam kalangan karyawan DBP yang diduga dengan kemusnahan harta benda sekelip mata sehingga terpaksa menanggung kerugian besar.

Karyawan DBP yang berkelapangan turut serta bagi menghulurkan bantuan dan dapat merasai sendiri pengalaman berada di kawasan berkenaan, selain turut menghulurkan sumbangan peribadi masing-masing. Meneliti situasi di kawasan terbabit, keadaan yang terjejas menyebabkan mangsa turut mengalami trauma.

Karyawan yang menjadi mangsa banjir perlu dibantu dari sudut fizikal dan emosi kerana berada dalam keadaan kurang bermaya dan semangat mereka perlu dipulihkan dengan secepat yang mungkin.

Walau bagaimanapun, misi sukarelawan yang dilakukan masih lagi tertakluk pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan agar keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Tambah beliau, pasukan sukarelawan masih perlu merujuk pihak polis, bomba, Pejabat Daerah serta Majlis Keselamatan Negara agar usaha yang dijalankan dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Beliau juga turut berharap agar mangsa banjir tidak berputus asa dan semua pihak akan terus berusaha membantu sedaya yang termampu agar musibah yang melanda dapat ditangani dengan pelaksanaan kaedah terbaik.

Pada masa yang sama, beliau menasihati agar seluruh mangsa dapat bertenang dan tidak akan menyerah kalah serta berharap agar pihak majikan juga dapat memahami situasi ini dengan bertindak secara rasional supaya mangsa banjir dapat dipulihkan trauma mereka secara berperingkat.

Kegigihan dan usaha terpuji pasukan sukarelawan yang ditubuhkan serta-merta, iaitu bukan sahaja di DBP namun di seluruh kawasan terjejas melambangkan keprihatinan rakyat Malaysia dalam usaha membantu mangsa yang terlibat dengan musibah banjir.

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.