27 Disember 2021, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Statistik menunjukkan bahawa sembilan peratus daripada jumlah perkahwinan pada tahun 2018 membabitkan perkahwinan campur.

Perkahwinan campur dilihat sebagai satu daripada budaya yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Barangkali dari sudut pandangan tertentu, perkahwinan campur dianggap sebagai perkahwinan yang penuh dengan keunikan, lebih-lebih lagi sekiranya hal tersebut bukan sahaja dapat menyatukan dua budaya yang berbeza, malah turut melibatkan agama dan negara yang berbeza.

Dewasa ini, memilih pasangan yang berasal daripada kaum atau negara lain disebabkan mengikut trend seluruh dunia. Menerusi laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Jabatan Statistik Malaysia, sembilan peratus daripada jumlah perkahwinan pada tahun 2018 membabitkan perkahwinan campur.

Mengikut laporan yang dikeluarkan pada November 2019 itu, daripada 18 509 perkahwinan campur pada tahun 2018 didapati 48.3 peratus ialah masyarakat beragama Islam dan 51.7 peratus membabitkan bukan Islam dalam perkahwinan antara kaum.

Walau bagaimanapun, individu yang memilih untuk meneruskan perkahwinan campur mempunyai tanggungjawab dan peranan besar dalam menyatukan kedua-dua buah keluarga yang berbeza dari segi agama, budaya dan bangsa.

Sekiranya penyatuan ini gagal, maka gagallah sebuah perkahwinan campur yang semakin menjadi ikutan kebanyakan golongan muda pada hari ini. Perkahwinan dalam semua agama dianggap sebagai ikatan suci yang menyatukan dua buah hati. Oleh itu, untuk mendapatkan kebahagiaan dan keharmonian berpanjangan, pasangan yang berkahwin campur haruslah berpijak pada realiti kehidupan apabila ada ketikanya terdapat perkara yang memerlukan pengorbanan dan penerimaan dengan hari terbuka.

Penulis sempat menemu bual pasangan kahwin campur, iaitu Muhammad Hariz Ramesh Pillai Abdullah, yang memilih pasangan Melayu sebagai teman hidup sejak tahun 2008. Pilihan atas dasar cinta ini menjadikan Muhammad Hariz cekal berdepan dengan tanggungjawab terutama dalam meniti kehidupan sebagai seorang Islam dan mengadaptasi budaya Melayu dalam kehidupannya. Pada masa yang sama, sebagai seorang adik lelaki bongsu kepada empat kakaknya, Muhammad Hariz juga memainkan peranan demi memastikan silaturahim mereka sentiasa terjalin walaupun berlainan agama, lebih-lebih lagi selepas kehilangan ibu tersayang pada April lalu.

Muhammad Hariz menjelaskan, dalam usia perkahwinan yang kini mencecah 13 tahun beliau tidak berdepan dengan cabaran dan dugaan berat berikutan kedua-dua pihak memainkan peranan masing-masing dalam penyatuan kedua-dua keluarga. Sebagaimana beliau dapat menyantuni keluarga mentuanya begitulah juga dengan isterinya, Azlin Azmi yang sentiasa menghormati keluarga dan budayanya.

Saya bersetuju bahawa perkahwinan campur bukan trend semata-mata tetapi perlu sentiasa memainkan peranan besar sepanjang hayat. Memang wujud apabila sebaik-baik sahaja berkahwin, pasangan akan menarik keluar satu daripada ahli keluarga dengan menjauhkannya daripada keluarga kandung.

“Cara itu salah sama sekali walaupun atas alasan budaya dan agama yang berbeza. Tidak salah sekiranya kita sebagai orang Islam menghormati agama dan budaya keluarga mentua yang bukan Islam. Dalam Islam sendiri mengharamkan kita untuk memutuskan silaturahim malah diharuskan untuk kita menziarahi keluarga, meraikan perkahwinan dan memberikan penghormatan terakhir dalam upacara kematian.

Mencari Kebahagiaan dalam Perkahwinan

Bahagia tidak datang bergolek, maka kita perlu mencari dan membina sebuah kebahagiaan dalam perkahwinan walaupun berdepan dengan cabaran dan dugaan hadir bersilih ganti. Pasangan berkahwin campur lebih terdedah kepada cabaran terutamanya dalam menerima gaya hidup dan budaya yang berlainan. Pastinya salah faham boleh tercetus sekiranya pasangan tidak memahami dan mendalami kehidupan asal masing-masing.

Dalam hal ini, mempelajari agama dan budaya pasangan sebelum berkahwin menjadi satu keperluan supaya rasa kekok atau salah faham dapat dielakkan.

Penerimaan dan keterbukaan terhadap sosiobudaya kedua-dua belah keluarga sememangnya perlu terutamanya dalam soal hormat-menghormati agama yang dianuti. Dalam situasi ini, sikap tolak ansur, memahami dan menyantuni adat dan budaya serta menghormati kepercayaan dan agama masing-masing, wajar dititikberatkan berikutan perkahwinan campur bukan sahaja dapat meluaskan susur galur keluarga dan melahirkan genetik yang baik, malah dapat menyatukan ikatan kedua-dua belah pihak (keluarga) melalui penerapan nilai budaya dalam diri anak-anak selain dapat mempelajari cara hidup dan adat budaya yang berlainan.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi