30 Disember 2021, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan keseluruhan berjumlah RM1.4 bilion kepada mangsa banjir yang terjejas di beberapa negeri baru-baru ini.

Bantuan ini dianggarkan dapat dinikmati oleh sejumlah 30 000 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Bagi tujuan ini, saya mengarahkan pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini.

BWI banjir ini memperuntukkan RM1000 bagi setiap KIR yang terjejas akibat banjir, termasuklah mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), manakala waris mangsa yang meninggal dunia akan menerima bantuan berjumlah RM10 000.

BWI boleh dituntut setiap kali berlaku bencana berbanding dengan sebelum ini yang memperuntukkan bantuan hanya untuk sekali.

Untuk rekod, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengagihkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri dan 25 waris kes kematian pula telah menerima bantuan RM10 000 bagi setiap seorang. Peruntukan sebanyak RM100 juta juga telah dikeluarkan bagi pelaksanaan kerja-kerja pascabanjir, selain peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta khusus untuk negeri Selangor dan Pahang.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) sehingga RM500 000 kepada pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta RM75 000 kepada usahawan mikro. Bank Simpanan Nasional pula menawarkan pembiayaan sehingga RM10 000 pada kadar 0 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun termasuk moratarium bayaran balik selama enam bulan.

Agensi dan syarikat berkaitan kerajaan serta pelaburan juga mengambil inisiatif untuk membantu mangsa banjir. Beliau berkata,

Seperti diketahui, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah menubuhkan GLIC/GLC Disaster Response Network (GDRN) bertujuan menggerakkan usaha menangani dan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Setakat ini, GDRN telah membantu kira-kira 15 000 buah keluarga sejak 19 Disember 2021.

Syarikat motokar, Perodua pula mengambil inisiatif meringankan beban mangsa banjir dengan menyediakan perkhidmatan tunda kereta ke pusat servis Perodua secara percuma. Diskaun sehingga 50 peratus bakal dinikmati pengguna bagi pembelian alat ganti, selain daripada kos upah dan baik pulih secara percuma.

Tindakan yang sama dilaksanakan oleh pihak Proton buat pengguna mereka yang mendapatkan servis di pusat servis Proton yang berdaftar.

Kerajaan berharap agar kesemua daya usaha yang dijalankan dapat membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terjejas akibat banjir. Kerajaan juga menggesa agar semua rakyat berusaha dan berdoa agar implikasi bencana ini dapat ditangani secepat mungkin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.