14 Januari 2022, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kadar Bantuan Awal Persekolahan (BAP) telah dinaikkan kepada RM150 berbanding dengan RM100 pada tahun-tahun sebelumnya.

Pengagihan BAP kepada murid yang bakal memasuki tahun dua hingga tingkatan lima pada 21 Mac 2022 bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023 akan dilaksanakan mulai 17 Januari (Isnin) ini.

Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, agihan ini dibuat lebih awal bagi membolehkan persiapan untuk anak-anak dapat dibuat sebelum sesi persekolahan baharu bermula.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari terdapatnya keperluan ibu bapa atau penjaga untuk membuat persiapan awal anak-anak, khususnya bagi memulakan sesi persekolahan 2022/2023 pada 21 Mac 2022,” kata Datuk Dr. Mohd. Radzi dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook peribadinya pada hari ini.

Seramai tiga juta penerima BAP yang terdiri daripada pelajar tahun satu hingga tingkatan empat yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3000 dan ke bawah akan mendapat manfaat daripada bantuan ini.

Sementara itu, bagi murid tahun satu yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai. Pemberian BAP boleh dilakukan secara bayaran tunai atau dikreditkan ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.

Bagi pemberian secara tunai, pengagihan dilaksanakan di sekolah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebelum ini, KPM telah menerima peruntukan BAP bagi tahun 2022 sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2022.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi