Oleh Aninah Janang
3 Februari 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tiada sesiapa menduga bahawa banjir yang melanda sebahagian kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur pada Disember lalu telah meninggalkan kesan yang amat luar biasa kepada mereka yang terlibat – kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, dan trauma yang terpaksa ditanggung.

Hal ini dikatakan demikian kerana kejadian banjir kilat yang disifatkan antara yang terburuk itu berpunca daripada taburan hujan yang lebat daripada kebiasaan. Hal ini juga mengakibatkan semua pihak – mangsa yang terlibat, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat sukar untuk menjangkakan impak yang dibawa daripada banjir kilat yang melanda negara.

Meskipun tragedi ini bukanlah yang pertama melanda Lembah Klang, namun keadaannya agak berbeza daripada banjir yang sebelumnya, khususnya banjir besar yang melanda Kuala Lumpur pada tahun 1971. Pada ketika itu, hampir 60 peratus kawasan bandar raya Kuala Lumpur ditenggelami air. Keadaan ini telah memaksa kerajaan pimpinan Perdana Menteri kedua, Yang Amat Berhormat (YAB) Tun Abdul Razak Hussein ketika itu mengisytiharkan Darurat Banjir Kebangsaan di seluruh negara pada 5 Januari 1971.

Selepas itu (tahun 1971), beberapa kali bencana banjir turut direkodkan sebagai antara yang terburuk melanda Lembah Klang, iaitu pada Oktober 2001, Jun 2003, Jun 2007, Januari 2013 (Kuala Lumpur); Mac 2006 (Shah Alam); dan Februari 2013 (Puchong).

Ternyata bencana banjir yang melanda Lembah Klang baru-baru ini turut melanda beberapa buah negeri yang lain, antaranya termasuklah beberapa kawasan di Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Daripada kesemua bencana banjir yang melanda, kerajaan mengumumkan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara mencecah RM6.1 bilion atau bersamaan dengan 0.40 peratus berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kerugian tertinggi direkodkan melibatkan tempat kediaman, iaitu RM1.6 bilion dengan Selangor merekodkan jumlah kerugian tertinggi, iaitu sebanyak RM1 bilion. Hal ini diikuti dengan kerugian yang melibatkan kenderaan (RM1.0 bilion), pembuatan (RM900 juta), premis perniagaan (RM500 juta), pertanian (RM90.6 juta) dan aset awam serta infrastruktur (RM2 bilion).

Jumlah kerugian ini sudah cukup membuktikan bahawa bencana banjir sememangnya meninggalkan kesan yang dahsyat kepada mereka yang terlibat. Oleh itu, selain agensi kerajaan yang bertanggungjawab membantu mangsa banjir, khidmat sukarelawan juga ditagih.

Pada ketika ribuan mangsa banjir menanti bantuan yang tiba, sesungguhnya negara amat berbangga apabila tidak terhitung banyaknya bantuan sukarelawan yang tiba. Dari Perlis sampai ke Sabah, tanpa mengenal bangsa dan agama, serta fahaman politik, mereka tampil membantu mangsa sebagai tanda sebuah Keluarga Malaysia – menyelamatkan nyawa dengan memindahkan mangsa, menghulurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian, membersihkan bangunan dan rumah mangsa banjir yang terjejas, dan memberikan khidmat kepakaran yang diperlukan oleh mangsa yang terlibat.

Yang Berhormat Datuk Mohamad Haji Alamin, Timbalan Menteri Pendidikan II, turut memberikan sokongan kepada Pasukan Sukarelawan MESCA KPM di SK Pogoh dan SK Kuala Paya, Johor.

Daripada individu, kepada badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta – semuanya menadah tangan dan membanting tulang bersama-sama membantu bukan sahaja mangsa banjir yang terlibat, tetapi operasi membersihkan bangunan yang terjejas – sekolah, rumah ibadat dan sebagainya. Hal yang sedemikian turut dilakukan oleh Pasukan Sukarelawan Biro Sosial dan Kebajikan Persatuan Sukan dan Kebudayaan (MESCA), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ditubuhkan pada 1 Januari 2022 bertujuan membantu sekolah yang terkesan akibat banjir. Pasukan yang terdiri daripada beberapa bahagian dan agensi di bawah KPM berjaya mengumpulkan 133 orang sukarelawan merangkumi Jemaah Nazir, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Institut Aminuddin Baki (IAB), Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) dan Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas).

Pengerusi Pasukan Sukarelawan MESCA KPM, Tuan Haji Shafruddin Ali Hussin.

Menurut Pengerusi Pasukan Sukarelawan MESCA KPM, Tuan Haji Shafruddin Ali Hussin, MESCA berusaha mengambil inisiatif merealisasikan misi pembersihan operasi sekolah ini dengan menggerakkan pasukan sukarelawan bagi membantu lima buah sekolah yang terjejas akibat banjir, iaitu SMK Taman Sri Muda, Selangor (3 Januari 2022); SMK Bentong, Pahang (4 Januari 2022); SK Kuala Paya dan SK Pogoh, Johor (9 Januari 2022); serta SMK Clifford, Pahang (10 Januari 2022). Antara aktiviti yang dijalankan di sekolah tersebut termasuklah membersihkan kawasan pertanian, dan mencuci bilik darjah, bilik khas serta persekitaran kawasan sekolah. Selain bantuan tenaga, pasukan sukarelawan juga turut menyumbang peralatan seperti mesin pencetak dan bahan bacaan untuk dimanfaatkan oleh warga sekolah.

Kerja memindahkan barangan yang terjejas akibat banjir oleh sukarelawan MESCA.

“Pasukan Sukarelawan MESCA KPM telah melaksanakan lima aktiviti sukarelawan melibatkan lima lokasi yang dilanda banjir merangkumi Selangor, Pahang dan Johor,” ujar Tuan Haji Shafruddin Ali Hussin.

Tambah beliau lagi, kumpulan sukarelawan yang digerakkan telah dibahagikan mengikut lokasi, iaitu Jemaah Nazir di SMK Taman Sri Muda, Selangor yang melibatkan 25 orang sukarelawan; Jemaah Nazir di SMK Bentong, Pahang dengan pelibatan 24 orang sukarelawan; DBP, BPI dan IAB di SK Kuala Paya, Johor yang disertai oleh 22 orang sukarelawan; Bahagian Pembangunan Kurikulum, BPLTV, dan BPKhas  di SK Pogoh, Johor dengan penyertaan 42 orang sukarelawan; dan Jemaah Nazir di SMK Clifford, Pahang yang melibatkan 20 orang sukarelawan.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 133 orang sukarelawan telah berusaha sedaya upaya membersihkan lima buah sekolah yang terlibat. Saya percaya usaha murni ini sedikit banyak dapat membantu warga sekolah tersebut untuk bersama-sama mengharungi pascabanjir yang lebih mencabar bagi memastikan sekolah yang terlibat dapat beroperasi seperti biasa,” jelas Tuan Haji Shafruddin Ali Hussin.

Pasukan Sukarelawan MESCA turut menyampaikan bantuan kepada sekolah yang terjejas akibat banjir.

Ternyata usaha keras sukarelawan di seluruh Malaysia banyak membantu meringankan beban mangsa banjir untuk bangkit semula menghadapi kehidupan yang mendatang. Sehubungan dengan itu, jasa  mereka ini sewajarnya dihargai oleh semua pihak. Malah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut menzahirkan pujian atas semangat  para sukarelawan yang tampil membantu dalam bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

“Terima kasih kepada badan bukan kerajaan dan sukarelawan yang terbabit untuk membantu. Saya (Beta) difahamkan ada kawan-kawan dari Kelantan dan Pahang pun turun untuk bantu. Ini menunjukkan semangat mereka untuk membantu mereka yang memerlukan.” Baginda bertitah sedemikian ketika menyantuni mangsa banjir di Masjid Taman Sri Muda, Shah Alam,  pada 25 Disember lalu.

Selain itu, Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut memuji keprihatinan sukarelawan di negara ini dan beliau mengharapkan kerja sukarelawan akan tetap diteruskan pada waktu yang sukar, iaitu ketika menghadapi pascabanjir.

“Kerajaan sangat menghargai komitmen dan keprihatinan kakitangan pelbagai agensi, badan bukan kerajaan dan sukarelawan yang sangat menitikberatkan kebajikan mangsa banjir, bukan hanya semasa bencana itu sebaliknya diteruskan sehingga pascabanjir,” ujar beliau.

Kepentingan semangat sukarelawan tidak dapat dinafikan, lebih-lebih lagi dalam keadaan bencana yang tidak pernah dijangka. Sebagai sebuah Keluarga Malaysia, membantu sesama kita pastinya akan mengukuhkan hubungan antara kaum, membentuk jati diri yang tinggi nilainya, dan akan menjadikan kita sebagai sebuah bangsa yang “kuat” dan disegani.

Kerja pembersihan sekolah yang terjejas akibat banjir merentasi jabatan dan agensi di bawah KPM.

 

Pasukan Sukarelawan MESCA berusaha membersihkan peralatan muzik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.