8 Februari 2022, 20:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
UPNM berpegang pada citra pertahanan dan kedaulatan negara.

Kuala Lumpur – Kehadiran Ts. Wan Azizul Faiz Zulkifli, Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang merangkap sebagai mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPNM dan Encik Vivek Appalanaidu yang merupakan Pengarah Minggu Perkasa Jati Diri (MPDJ) 2021/2022 adalah juga pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan UPNM, telah menghidupkan suasana studio Bernama TV menerusi slot Darah Muda yang dikendalikan oleh hos, Irfan Faruqi dengan perbincangan yang bertajuk Pemimpin Intelektual Berkarakter.

Perbincangan ini memerihalkan tentang budaya komited dan disiplin yang tinggi berupaya melahirkan mahasiswa yang lengkap dengan pakej sebagai seorang pemimpin yang mempunyai daya intelek yang tinggi dan berkarisma.

Ts. Wan Azizul Faiz Zulkifli.

Dimulai dengan perkongsian Ts. Wan Azizul, beliau mengatakan bahawa tarikan utama untuk beliau melanjutkan pengajian di UPNM berikutan citra pertahanan dan kedaulatan negara khususnya menerusi bidang ketenteraan yang ditonjolkan oleh institusi ini menggamit semangatnya untuk turut sama meraih kejayaannya di sini.

Keistimewaan UPNM berbanding dengan institusi lain ialah budaya antara pelajar, tenaga pengajar dan juga persekitaran kampus yang menerapkan budaya pertahanan tinggi untuk membina serta menyediakan pelajar sebagai modal insan yang bersedia dengan pasaran kerja sama ada dalam bidang ketenteraan ataupun bidang awam yang lainnya.

Tambahnya lagi, perkara yang paling istimewa berkaitan dengan UPNM ialah melahirkan banyak pemimpin intelektual berkarakter, malah mempunyai daya pemikiran tinggi, berintegriti serta penampilan dan peribadi yang berakhlak. UPNM mengasah pelajarnya yang berpotensi intelektual karakter dengan pelbagai panduan, yakni nilai yang dibangunkan dan dibina melalui program yang dilaksanakan oleh institusi ini seperti Program Minggu Perkasa Jati Diri.

Program ini dilaksanakan kepada semua mahasiswa baharu, agar pendedahan awal diberikan serta menerapkan penghayatan kepada citra UPNM. Dengan wujudnya citra intelektual karakter dalam kalangan mahasiswa dan graduan ini, institusi UPNM pastinya akan menjadi kebanggaan kepada masyarakat yang bukan sahaja warga institusi ini.

Encik Vivek Appalanaidu.

Encik Vivek berkongsikan pengalamannya sebagai pengarah MPJD mengatakan bahawa melalui pelaksanaan MPJD, UPNM berjaya menerapkan nilai yang diperlukan untuk melengkapkan pakej sebagai pelajar dan graduan UPNM. Menurut beliau, nilai seorang pemimpin itu sebenarnya hadir dalam diri individu dan sifat ini hendaklah dibina sejak kecil lagi. Ciri atau sifat kepimpinan yang ada pada setiap individu dapat disuburkan lalu dipraktikkan dalam kehidupan mereka kelak.

Dalam cabaran mendepani pandemik COVID-19 ini, nilai MPJD yang dibangunkan oleh UPNM sememangnya menghadapi halangan dan kekangan untuk dihayati oleh pelajar apatah lagi program dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya. Namun begitu, saya percaya bahawa pelajar pada hari ini sudah pun dapat menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu pembelajaran dan budaya pengajian sebegini. Maka itu, pelajar terus tekal komited untuk memastikan nilai tersebut sebati dalam diri mereka.

Bukan itu sahaja, perkongsian daripada alumni yang berwibawa seperti Ts. Wan Azizul juga menjadi satu daripada slot terpenting MPJD untuk memahami hala tuju mahasiswa UPNM. Slot perkongsian serta pengalaman daripada alumni adalah pakej pengetahuan yang amat penting dibekalkan kepada para pelajar baharu UPNM. Provokasi Irfan Faruqi berkaitan dengan era kini mungkin akan menyebabkan institusi melahirkan mahasiswa yang tidak lengkap pakejnya dari segi intelektual dan karakter,

Ts. Wan Azizul berpendapat bahawa cabaran ini bukan dihadapi oleh UPNM sahaja, namun pada institusi pendidikan seluruh negara. Kelumpuhan sistem pendidikan ini perlu segera ditangani dan beliau yakin usaha UPNM dan institusi lain dalam membina karakter masyarakat dan pelajar khususnya akan dapat direalisasikan.

Pendekatan berterusan dan sentiasa inovasi dengan kaedah dapat membantu banyak pihak, khususnya dalam membangunkan semangat cintakan pendidikan dalam kalangan pelajar. Pesanan beliau lagi cabaran bukanlah alasan untuk berputus asa dan proses membina pemimpin intelektual berkarakter ini bukanlah berlaku hanya dalam MPJD, tetapi akan dilaksanakan secara berterusan dan menjadi budaya dalam UPNM.

Menariknya lagi, di sini, pelajar berpeluang mengikuti pengajian dan meraih pengalaman daripada komposisi pensyarah dalam kalangan intelektual berlatarbelakangkan kepimpinan ketenteraan berserta pakar awam.

Pada akhir perkongsian, Encik Vivek berharap agar mahasiswa bijak menguruskan masa dan komited untuk memajukan diri. Walaupun terlibat dengan pelbagai program yang dianjurkan universiti, misalnya menyantuni mangsa banjir baru-baru ini, tetap tidak menghalang mahasiswa untuk bertanggungjawab dengan pengajian mereka.

Pelajar mestilah memandang jauh ke hadapan sekiranya mahu berjaya, dan sudah pasti tindakan untuk berjaya itu seiring dengan harapan dan cita-cita yang telah pun disematkan dalam hati pelajar. Pengaruh rakan sebaya yang positif dan optimis amat dituntut bagi mengekalkan budaya cemerlang dalam kalangan pelajar tambahnya lagi.

Begitu juga dengan Ts. Wan Azizul, beliau berharap pelajar UPNM serta mahasiswa dapat meningkatkan azam untuk memajukan diri agar warisan sebagai bangsa atau benih daripada tamadun yang hebat, iaitu warisan Kesultanan Melayu Melaka yang terkenal di serata dunia dapat direalisasikan.

Generasi yang hebat ini kelak akan melihat cabaran sebagai satu keadaan melonjakkan lagi mereka ke atas dan bersedia memikirkan solusi pada setiap halangan dan cabaran yang datang demi membangunkan negara Malaysia tercinta ni. Pada masa yang sama, generasi ini akan muncul sebagai pemimpin intelektual berkarakter yang menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.