25 Februari 2022, 18:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Kini warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) boleh berbangga dengan mercu tanda baharu yang berada gah di atas bukit. Bangunan yang mula dibina pada 15 Ogos 2016, dan siap sepenuhnya pada bulan Disember 2019 ini telah dimasyhurkan dengan nama Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin UniMAP. Majlis pemasyhurannya telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, pada 24 Februari 2022.

Ketika mencemar duli dalam majlis pemasyhuran bangunan canselori ini, Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin telah bertitah bahawa baginda mengingatkan warga UniMAP supaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh termasuklah pelajar, pihak industri dan komuniti.

Raja Perlis bertitah dalam Majlis Pemasyhuran Canselori Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Malaysia Perlis.

Hal ini disebabkan oleh kekuatan sesebuah organisasi bukan terletak pada kekuatan individu semata-mata, tetapi berhasil melalui gabungan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak daripada pelbagai peringkat usia, pangkat dan pendidikan.

“Apabila sesebuah pusat pentadbiran berada di dalam satu bangunan atau secara berpusat, maka bangunan itu menjadi penanda aras bagi mengembalikan kegemilangan UniMAP,” demikian titah baginda lagi.

Hal ini dikatakan demikian kerana bangunan baharu canselori ini mempunyai aura tersendiri untuk menarik minat orang luar mendekati UniMAP serta menjadi mercu tanda kegemilangan UniMAP melalui pelbagai pendekatan.

“Walaupun kedudukan bangunan canselori ini berada jauh di atas bukit, namun jangan sesekali membiarkan bangunan ini terasing daripada yang lain. Bangunan ini sepatutnya boleh diakses oleh orang ramai termasuklah staf, pelajar dan masyarakat tanpa melanggar hak dan undang-undang bangunan. Selain itu, bangunan ini harus berkonsep mesra pelanggan agar para pengunjung berasa dekat dengan pengurusan tertinggi UniMAP.”

“Pihak UniMAP harus melaksanakan aktiviti berkala bersama-sama komuniti agar dapat memberikan peluang kepada mereka untuk berada dekat dengan UniMAP,” titah baginda yang pada masa yang sama turut berkenaan menyempurnakan perasmian Galeri Universiti sebagai nilai tambah kepada Canselori Tuanku Syed Sirajuddin.

Berangkat sama dalam majlis itu, Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.