15 Mac 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Penduduk tempatan yang tinggal sepanjang sungai mahupun dari hulu atau hilir sungai perlulah sentiasa berganding bahu untuk sama-sama membantu meningkatkan kebersihan di sepanjang sungai masing-masing dan tidak membuang sampah sarap ke dalam sungai sesuka hati.

Tanggungjawab buat semua pihak juga perlu ditekankan dalam melaksanakan usaha memelihara sungai daripada tercemar seperti sentiasa membantu mengutip sampah atau kotoran, serta tidak membuang sampah ke dalam saliran sungai.

Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DTYM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersempena dengan kempen “Perlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan” oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi memperingati Sambutan Hari Tindakan Sungai Sedunia yang diadakan pada 14 Mac setiap tahun untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan sungai.

Tambah baginda lagi, “Gotong-royong perlulah sentiasa diadakan pada setiap masa dalam usaha untuk memastikan sungai kekal bersih dan terpelihara”.

Baru-baru ini baginda seisi keluarga meraikan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-21 anakanda kedua baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia Sharifah Farah Adriana Jamalullail pada 4 Mac dengan cara yang berbeza dengan menelesuri keindahan alam semula jadi Sungai Perlis dari Pengkalan Tok Kuning ke Kuala Perlis dan balik menaiki bot memancing ikan. Berangkat sama ialah Yang Amat Mulia Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Yang Amat Mulia  Syed Sirajuddin Jamalullail.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail seisi keluarga semasa meraikan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-21 anakanda kedua baginda, iaitu Yang Amat Mulia Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra,

Masih tidak terlewat untuk kita memelihara dan memulihara sungai kita, walaupun sebahagian sungai sedia ada mungkin telahpun dicemari, namun usaha untuk memulihara sungai yang tercemar itu masih boleh dilaksanakan dan memulihkan semula sungai-sungai yang telah dicemari, agar ianya pulih dan menjadi pedoman buat generasi masa akan datang dalam memupuk semangat cinta akan sungai.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!