27 Mac 2022, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Buat julung kalinya setelah hampir tiga tahun dilanda pandemik COVID-19, program MDK kini tampil secara bersemuka di Educity, Nusajaya, Johor.

Nusajaya – Program Majalah Dalam Kelas (MDK) buat julung kalinya diadakan secara bersemuka selepas hampir tiga tahun dilaksanakan secara dalam talian disebabkan pandemik COVID-19. MDK yang diadakan di Educity, Nusajaya, Johor adalah bersempena dengan Program IFLA (Innovative, Futuristic, Library and Academia) yang menghimpunkan para guru pusat sumber yang terkenal di negeri Johor.

Menyingkap sejarah, Program MDK yang dilaksanakan oleh Bahagian Majalah dan Bahagian Perniagaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1989 merupakan program yang diadakan bagi membantu guru bahasa Melayu, khasnya dalam mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu di sekolah. Modul MDK telah diperkenalkan oleh Azizul Rahman Abdul Rahman. Sebelum ini, beliau merupakan guru  bagi mata pelajaran bahasa Melayu.

Sejak diperkenalkan, MDK telah dilaksanakan dengan editor majalah DBP, khususnya editor majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar turun padang menyantuni guru dan para pelajar di sekolah yang terpilih untuk memberikan penerangan tentang dua majalah tersebut dan melaksanakan aktiviti berkaitan dengan penggunaan majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar di dalam kelas.

Antara aktivitinya adalah seperti “Menukarkan Cerpen, Rencana atau Visual kepada Pantun”, “Menterjemahkan Puisi kepada Bentuk Visual”, “Menulis Ulasan Cerpen”, “Membina Silang Kata”, “Melagukan Sajak” dan “Mengenal Pasti Watak dan Perwatakan dalam Cerpen.

Sesi pengenalan majalah Dewan Siswa oleh editornya, Puan Siti Noorisa.
Sesi pengenalan majalah Dewan Pelajar oleh editornya, Puan Fansurina.

Dalam program IFLA, para guru diberikan penerangan tentang pengenalan majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar oleh Puan Siti Noorisa Abdul Khlil (Editor Dewan Siswa) dan Puan Fansurina Ramli (Editor Dewan Pelajar). Seterusnya, para guru dikehendaki menukarkan komik kepada cerpen dan menukarkan rencana kepada pantun sebagai tugasan semasa MDK berlangsung. Bahan untuk aktiviti yang dilaksanakan adalah menggunakan majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar sepenuhnya.

Para guru mengakui bahawa aktiviti MDK begitu menyeronokkan dan sesuai dengan keperluan semasa pelajar.

Para guru begitu teruja kerana menurut mereka, kedua-dua majalah ini bukanlah asing bagi mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka melanggan majalah ini dan dibaca untuk menambahkan pengetahuan semata-mata. Walhal mereka tidak mengetahui bahawa setiap ruangan dalam majalah tersebut boleh dijadikan aktiviti pembelajaran bersama-sama pelajar di dalam bilik darjah.  Selain itu, para guru ini mengakui bahawa aktiviti MDK begitu menyeronokkan, dan sesuai dengan keperluan semasa pelajar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.