18 April 2022, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Keteri – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan dan mengucapkan syabas atas taat setia yang dicurahkan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah Rejimen Perlis.

Dalam ucapan baginda menitahkan rasa bangga dengan semangat, komitmen dan kesatuan yang ditunjukkan oleh seluruh warga rejimen itu sepanjang tempoh melalui era pandemik yang lalu.

“Semua anggota angkatan tetap yang berkhidmat di rejimen ini merupakan jurulatih kepada Askar Wataniah di negeri Perlis. Maka itu, sayangi dan ajarilah anggota sukarela dengan sepenuh jiwa,” titah Raja Muda Perlis merangkap Brigedier Jeneral ketika berkenan berangkat menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama warga rejimen.

Dalam masa yang sama, baginda menegaskan Askar Wataniah perlu peka dalam melaksanakan tugas hakiki yang diamanahkan demi kesejahteraan negara, khususnya di negeri Perlis itu sendiri.

Hal ini dikatakan demikian dapat melahirkan angkatan tentera yang berkredibiliti dalam melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Majlis Berbuka Puasa dan Santapan Malam Tuanku Komander bersama Warga lR504AW 2022 turut dihadiri oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak, para pegawai dan warga rejimen.

Tuanku Raja Muda turut berkenan solat maghrib, isyak dan sunat tarawih di Surau Al-Watani kem tersebut sebelum sama-sama berangkat menyertai jamuan santapan moreh di Kelab Perwira rejimen.

Raja Muda menyaksikan penyerahan Sumbangan Amilin Petugas Lebaran kepada pihak rejimen.

Terdahulu daripada itu, diadakan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta penyerahan Sumbangan Amilin Petugas Lebaran kepada pihak rejimen berjumlah RM2400 daripada pihak MAIPs.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.