22 April 2022, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, KSU KPM ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 serta Pelancaran Manual Kewangan Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Kuala Lumpur – Bagi mengekalkan iklim organisasi yang positif dan produktif, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saban tahun mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan (AP) dan Anugerah Perkhidmat Cemerlang (APC) bagi meraikan pekerja yang telah berkhidmat dan mencapai prestasi cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatan.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, hari ini menyempurnakan dua agenda dalam satu majlis, iaitu penghargaan kepada 157 penerima anugerah AP dan APC Tahun 2021, serta pelancaran buku Manual Prosedur Kerja Perolehan dan Bayaran Dewan Bahasa dan Pustaka, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Dalam majlis tersebut, YBhg. Datuk Yusran menyeru semua penjawat awam khususnya warga DBP agar bergerak seiring dengan peralihan fasa ini dan sentiasa peka terhadap perubahan semasa.

YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, KSU KPM.

Ekspektasi pelanggan atau rakyat terhadap perkhidmatan awam semakin hari semakin tinggi dan ini sudah tentunya memerlukan kita membuat pembaharuan yang berterusan supaya kita sentiasa responsif, relevan dan berkesan.

‘Budaya Kerja Kelas Pertama’ mestilah menjadi pegangan kepada setiap warga DBP supaya menjalankan tugas dengan berintegriti, berdisiplin dan bertanggungjawab.

Maka itu, adalah penting bagi warga DBP untuk membekalkan diri dengan ilmu, kemahiran dan kebolehan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan, lantas memenuhi kehendak pemegang taruh.

Dalam konteks ini, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan mengatakan bahawa strategi yang paling ampuh yang akan menghasilkan lonjakan besar adalah dengan memperkasakan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan.

YBhg. Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Pegawai yang cemerlang seharusnya mempunyai tahap kecerdasan dan kecekapan yang tinggi, berkebolehan merancang dan mengendalikan program, serta menetapkan keutamaan dalam menyelesaikan masalah.

Tambah Datuk KSU,

Profesionalisme sebagai penjawat awam perlu diangkat martabatnya melalui kredibiliti dan imej yang ditonjolkan. Warga DBP haruslah menjaga dan mencipta keperibadian diri yang unggul, serta mempertahankan nilai integriti dalam perkhidmatan.

Pada masa yang sama, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Salehuddin Abg Shokeran mengatakan bahawa isu integriti dan kecekapan merupakan antara fokus utama DBP dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan dengan baik.

YBhg. Datuk Abang Salehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP.

Pada 5 Ogos 2021 lalu, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato‘ Seri. Mohd Zuki Ali telah melancarkan Pelan Anti Rasuah DBP 2021–2025, dan melalui pelan ini DBP beriltizam untuk menghindar dan menghapuskan segala bentuk rasuah di institusi ini.

Hal ini merupakan iltizam dan komitmen DBP untuk menghasilkan budaya integriti dan kecekapan dalam semua bidang, termasuklah isu-isu berkaitan dengan kewangan wajib dipatuhi tanpa kompromi.

Sepertimana masyarakat sedia maklum, kerajaan telah menunjukkan iltizam dalam usaha mengangkat bahasa dan persuratan Melayu melalui ucapan penggulungan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri di Dewan Rakyat. YAB Dato’ Sri Ismail menyatakan kesediaan untuk meminda Akta DBP bagi membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu ke peringkat antarabangsa dengan lebih proaktif.

“Pindaan akta ini akan memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja dalam sekitar kerajaan, malahan turut merangkumi sektor swasta dan luar negara.”

“Mandat yang bakal diberikan ini tidak boleh disia-siakan dan saya yakin dengan tampuk kepimpinan dan warga kerja sedia ada mampu melaksanakan dasar ini dengan berkesan.”

Demikianlah ucapan YBhg. Datuk Yusran dengan saranan agar warga DBP bersiap sedia untuk menggembleng tenaga, memberikan sepenuh komitmen dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sementara itu, YBhg. Datuk Seri Profesor Dr. Awang berkata, “Setiap pegawai mestilah memiliki kesabaran, bersemangat kental dalam memastikan matlamat dan agenda memartabatkan bahasa Melayu tetap dilestarikan terutamanya ketika berhadapan dengan saat-saat yang sukar seperti penularan pandemik COVID-19”.

Sesi bergambar YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof, KSU KPM bersama-sama penerima anugerah.

YBhg. Datuk Yusran merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada 64 orang penerima APC dan 93 orang penerima AP bagi tahun 2021 serta semua warga DBP kerana telah berbakti dan banyak menyumbang kejayaan kepada organisasi.

“Jadikanlah penghargaan dan pengiktirafan ini sebagai pemangkin untuk terus bersemangat dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam memartabatkan bahasa dan sastera melalui pelbagai wahana,” kata beliau mengakhiri ucapan perasmian dalam majlis pada pagi ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.