23 April 2022, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia terus melaksanakan tanggungjawabnya menerusi Dasar Kebudayaan Negara, iaitu merujuk kepada teras yang pertama mewujudkan Budaya Nilai Tinggi. Antara pengisiannya adalah untuk menyemarakkan tabiat atau amalan membaca kepada seluruh rakyat Malaysia agar dapat melahirkan insan yang mempunyai budaya tinggi, berilmu dan beradab sopan.

Bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2022 yang berlangsung pada hari ini, Perpustakaan Negara Malaysia dan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) berkolaborasi mengadakan perkongsian di Selamat Pagi Malaysia yang menampilkan Puan Suhaila Abd. Rahman, Pengarah Perkhidmatan Korporat PNM dan Encik Kamal Kormin, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MyIPO.

Menurut Puan Suhaila, program Jom Baca 10 minit yang dianjurkan oleh PNM yang bermula 2014, pada tahun ini masuk kali kesembilan pelaksanaannya pada tahun ini. Program ini turut diraikan serta mendapat kerjasama daripada perpustakaan di seluruh negara, termasuklah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri-negeri, perpustakaan di institut pengajian tinggi awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan juga perpustakaan-perpustakaan khusus.

Puan Suhaila Abd. Rahman, Pengarah Perkhidmatan Korporat PNM.

Walaupun hanya 10 minit, masyarakat haruslah memahami konsep yang hendak diterjemahkan oleh PNM dalam memupuk tabiat membaca secara menyeluruh dalam kalangan Keluarga Malaysia. Sekiranya diamalkan secara konsisten, tabiat membaca 10 minit pada setiap hari dalam kalangan rakyat Malaysia, impak daripada budaya ini sudah tentu akan dapat merealisasikan teras satu dalam Dasar Kebudayaan Negara melalui amalan membaca.

Sehubungan dengan itu, isu hak cipta amat rapat dengan penghasilan sesebuah karya oleh individu atau kumpulan tertentu sama ada dalam bentuk buku atau medium lainnya, kesedaran umum kepada hak cipta juga antara yang diberikan tumpuan dalam kempen meningkatkan budaya membaca ini. Di samping memperkasa budaya membaca, pihak penerbit atau pengkarya mestilah celik akan undang-undang berkaitan dengan pengkaryaan khususnya berkaitan dengan hak cipta.

Mengupas isu ini, Encik Kamal Kormin menjelaskan bahawa bagi melindungi hak cipta karya yang dihasilkan, sesebuah karya itu mestilah dizahirkan dalam bentuk material atau bahan karya. Penghasilan sedemikian ini barulah dikategorikan sebagai harta intelek secara automatik ataupun dengan cara pemberitahuan sukarela kepada badan ini untuk didaftarkan sebagai hak kepada pencipta atau pengkarya.

Encik Kamal Kormin, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MyIPO.

Dengan cara ini, sekiranya berlaku perlanggaran hak cipta kepada sesebuah karya, pendaftaran sebagai harta intelek itu amat penting menjadi bahan bukti di mahkamah. Pelanggaran hak cipta ini merupakan satu aktiviti atau tingkah laku yang dilakukan oleh individu, kumpulan atau organisasi yang menggunakan atau mengguna pakai karya tanpa mendapat persetujuan atau kebenaran daripada pemilik karya. Hal ini dikatakan demikian satu jenayah kerana karya yang telah dilindungi pemiliknya berhak mengambil tindakan mahkamah kepada sesiapa yang melakukan jenayah ke atas karyanya.

Susulan daripada itu, kedua-dua badan intelektual ini berhasrat agar orang ramai lebih peka serta cakna kepada isu berkaitan hak cipta dan juga menyumbangkan kepada perkembangan yang sihat dalam dunia penerbitan buku di negara ini bagi membekalkan bahan bacaan yang berkualiti dan terpelihara daripada isu plagiat, peniruan, pencerobohan hak cipta dan sebagainya.

Bersempena dengan hasrat melahirkan Budaya Nilai Tinggi yang digagaskan oleh DAKEN, PNM menganjurkan 40 program sepanjang tahun ini, antaranya termasuklah Wacana Manuskrip Melayu, Kalam Karyawan, Program Dariku Untukmu, Bicara Penerbit Malaysia, Persidangan/Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu, Program Semarak Merdeka Sempena Hari Kebangsaan, Program Semarak Bahasa bersempena dengan Bulan Bahasa, Program Bicara Intelektual khusus untuk perkongsian literasi kepada seluruh rakyat, Persidangan Literasi Media dan Maklumat, Uji Jawi secara dalam Talian dan Eksplorasi Digital.

Penebusan baucar diskaun RM10 boleh didapati dalam tempoh 1 April hingga 31 Ogos 2022.

Menerusi Program Semarak Membaca pada tahun ini, baucar buku bernilai RM10 berjumlah RM2 juta dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia untuk membeli bahan bacaan khususnya untuk menyemarakkan kembali pembelian buku yang dua tahun kebelakangan ini terjejas akibat pandemik COVID-19. Orang ramai boleh menebus baucar diskaun RM10 mulai 1 April hingga 31 Ogos 2022 di 371 buah kedai buku seluruh negara termasuk kedai buku dalam talian yang terpilih.


Maklumat berkaitan dengan Program Semarak Membaca boleh dicapai melalui laman portal PNM atau portal u-Pustaka, dan baucar buku melalui laman portal BBSM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.