11 Mei 2022, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Program Bersama Johan Jaaffar: Melayu “Malu” Martabat Bahasa Melayu? menampilkan Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang mengupas tentang isu berkaitan dengan bahasa kebangsaan.

Shah Alam – Menyedari akan signifikan bahasa Melayu kepada negara, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menegaskan betapa pentingnya Keluarga Malaysia memartabatkan bahasa Melayu sebagai lambang semangat nasionalisme linguistik.

Hasrat Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN merupakan suatu kesedaran untuk mengangkat maruah negara.

“Saya melihat hal ini sebagai suatu penjelmaan kesedaran untuk mengangkat maruah negara, seperti dalam ucapan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim di Glasgow dalam bahasa Melayu merupakan permulaan yang baik,” ulas tokoh bahasa ini ketika menjawab soalan Tan Sri Johan Jaaffar dalam program “Bersama Johan Jaaffar” yang berlangsung secara maya.

Mengulas lanjut berkenaan kerelevanan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperjuangkan bahasa Melayu, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyatakan bahawa DBP telah mencapai usia emas yang melambangkan kematangan agensi kerajaan ini dalam membuat keputusan.

Oleh sebab itu, DBP amat berbesar hati apabila penegasan YAB Perdana Menteri tentang pentingnya untuk meminda Akta DBP 1959 (Perkara 6) agar kuasa DBP tidak hanya terhad kepada memberikan teguran, nasihat, bimbingan dan sekadar menjadi badan dakwah bahasa semata-mata.

 “Kita tidak bermaksud untuk mengambil alih tugas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau mana-mana agensi kerajaan, tetapi kita berharap agar agensi kerajaan dan badan-badan lain turut melihat isu bahasa Melayu sebagai isu jati diri, maruah dan kedaulatan negara,” jelas Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Tambahnya lagi, pengiktirafan bahasa kebangsaan dalam setiap aspek kehidupan seperti bahasa ilmu, bahasa penyiaran dan bahasa undang-undang merupakan satu daripada bukti kesedaran kebangsaan yang kuat.

“Negara maju seperti Jerman masih mempertahankan bahasa kebangsaan mereka sebagai tanda memiliki semangat nasionalisme yang tinggi. Begitu juga di Indonesia, mereka mengangkat bahasa Indonesia sebagai jati diri dan menunjukkan semangat patriotisme dengan memastikan seluruh rakyatnya menggunakan bahasa Indonesia tanpa mengira kaum. Umum mengetahui bahawa dari awal, Indonesia telah meletakkan dasar negara seperti Sumpah Pemuda bertarikh 28 Oktober 1928, iaitu ‘Kami mengaku bertanah air yang satu, negara Indonesia berbangsa yang satu, bangsa Indonesia dan berbahasa satu, bahasa Indonesia’.

“Maka itu, seluruh warga Indonesia daripada pelbagai etnik turut mengalami proses penyerapan sebagai bangsa Indonesia,” jelas Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan lagi.

Dalam konteks Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berpendapat bahawa pemimpin dan rakyat termasuklah mereka yang bukan dalam kalangan bangsa Melayu perlu memiliki kebijaksanaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sebagai contoh, bahasa Melayu perlu digunakan dalam semua pengajaran dan pembelajaran di sekolah jenis kebangsaan yang bukan terhad penggunaannya pada mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.

Hal ini dikatakan demikian kerana perkara ini menunjukkan usaha ke arah membina sebuah negara yang meraikan kepelbagaian dan pada masa yang sama harus diimbang dengan menyuburkan perasaan masyarakat untuk memperkukuh dasar negara.

Sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga yakin bahawa bahasa kebangsaan pada hari ini mampu kembali bugar berdasarkan peristiwa bersejarah pada zaman Tun Abdul Razak dan Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub yang berjaya mengubah aliran sekolah jenis kebangsaan Inggeris kepada sekolah kebangsaan.

Beliau berpendirian dan tetap optimis dengan melihat satu gerakan bersepadu perlu diwujudkan bukan sahaja tertumpu pada kepimpinan politik, malah terhadap institusi pendidikan termasuklah penjawat awam.

“Jika penjawat awam melaksanakan tanggungjawab menggerakkan dasar negara, saya yakin peralihan pimpinan politik tidak akan banyak menjejaskan dasar negara termasuklah soal bahasa kebangsaan,” akhiri beliau dalam sesi wacana Sinar “Bersama Johan Jaaffar” pada petang ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.