31 Mei 2022, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Program WMIK-DAPUR ILMU dapat meningkatkan kemahiran komunikasi mahasiswa.

The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) bersama-sama Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur Kampus Cawangan Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL-MITEC), berkongsi pengalaman berkaitan dengan pengurusan sajian dalam logistik tentera dan pergudangan melalui Program Pemindahan Ilmu WiLAT Malaysia Inspire Kitchen (WMIK) atau DAPUR ILMU.

Keunikan program WMIK-DAPUR ILMU sebagai satu daripada program memasak yang dilakukan secara bergotong-royong antara WiLAT Malaysia dengan staf dan pelajar UniKL MITEC jurusan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Logistik Industri dengan kerjasama Young Professional Club (YPC) UniKL MITEC.

Program pemindahan ilmu sebegini dapat membimbing dan melahirkan mahasiswa secara holistik, bertetapan dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mempergiat program di Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Kampus Sejahtera. Hal ini memerlukan sokongan yang penuh daripada seluruh warga kampus.

Logistik juga perkataan yang berkaitan dengan bidang ketenteraan dan pertahanan. Perkataan ini pertama kali digunakan pada tahun 1838 dalam buku “The Art of War”, yang ditulis oleh Jeneral Perancis dalam tentera Napoleon. Dalam program pemindahan ilmu ini, Lt. Kol. Mohd Ramzi Mohd Nor (Bersara), Ketua Seksyen Logistik Industri, UniKL MITEC sebagai tetamu WMIK berkongsi pengalaman semasa beliau berkhidmat dalam Misi Bantuan Keamanan di Lubnan. Rantaian bekalan dan kerjasama semua negara amat penting dengan perpaduan globalisai untuk memastikan makanan yang disediakan menepati masa, bersih dan halal.

Perancangan secara tertib amatlah perlu dilaksanakan dalam merancang serta melakukan pergerakan dan menjalankan penyelenggaraan pasukan tentera. Dalam erti kata yang paling komprehensif dalam disiplin pertahanan, hal ini demikian dikatakan merupakan satu aspek atau operasi ketenteraan yang berurusan dengan reka bentuk, pembangunan, pemerolehan, penyimpanan, pengedaran, penyelenggaraan, pemindahan, dan pelupusan material.

Sementara itu, Tuan Hj. Muhamad Zani Muhamad, Pensyarah Kanan UniKL MITEC berkata, “Adab dan etika perlu diutamakan semasa berada di gudang yang dianggap sebagai bidang yang memerlukan tenaga fizikal lebih daripada minda.”

“Pengurusan Gudang kini penuh persaingan dengan pengenalan konsep ‘Tepat Pada Masa’ (JIT), strategi ‘Menguruskan Inventori oleh Pembekal’ (VMI) dan ogistik Pihak Ketiga’ (3PL). Teknik-teknik dan pengetahuan yang perlu dan cara mencipta dan menubuhkan pengurusan stor yang berkesan. Operasi stor secara keseluruhan, juga dengan tujuan merangsangkan amalan yang cekap dan berkesan di perusahaan pengilangan,” jelas beliau dalam membicarakan tajuk mengenai kepentingan pengurusan pergudangan.

Menurut Ahmad Fakhruddin Ahmad Dailami, Penasihat YPC UniKL MITEC, mahasiswa perlu lebih mahir dalam berkomunikasi dengan memahami kepentingan logistik. Para pelajar perlu lebih berani menampilkan diri ke hadapan, terutamanya menjadi pemimpin bagi menyuarakan pendapat berkaitan dengan kepentingan martabatkan bahasa Melayu dan semangat patriotisme dan cintakan negara yang tinggi.

Selain itu, isu kesejahteraan emosi juga dibincangkan dalam DAPUR ILMU dalam melahirkan mahasiswa bijak yang mampu menilai situasi pembelajaran di universiti. Kasih sayang yang diberikan melalui masakan yang disediakan oleh WMIK kepada pelajar berjaya mengubat rindu pelajar yang merindui masakan ibu bapanya.

Pesanan DAPUR ILMU kepada pelajar-pelajar untuk terus mengejar ilmu dengan penuh keberkatan dengan memetik kata-kata Bung Zaman, “Jadilah jauhari yang mengenal manikam, mampu menangkap kilat di dalam kilau, mengimbau beras di dalam padi dan membaca niat di dalam hati”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!