Oleh Nurul Athirah
21 Jun 2022, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada tahun 2021, apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ada pihak yang bersetuju dan ada juga yang kurang bersetuju dengan pemansuhan tersebut. “UPSR merupakan peperiksaan terpenting dan proses pembelajaran masa hadapan murid di sekolah rendah.” Itu antara alasan yang diberikan atas ketidaksetujuan terhadap pemansuhan UPSR.

Walau bagaimanapun, KPM tekad dengan keputusan tersebut setelah mengkaji dan meneliti secara holistik pelaksanaan peperiksaan UPSR, termasuk mengambil kira amalan terbaik sistem Pentaksiran Sekolah Rendah (PSR) di pelbagai negara maju seperti Finland, Norway, New Zealand dan Scotland. Ternyata KPM menyedari bahawa kita tidak seharusnya berada di takuk lama. Kepompong peperiksaan yang menekan murid selama ini perlu segera dipecahkan dan digantikan dengan PSR yang lebih terarah demi melahirkan pewaris negara yang lebih berdaya saing yang bakal membawa negara ke mercu kemajuan dan kejayaan.

Menteri Kanan Pendidikan sentiasa ingin memastikan generasi yang dilahirkan oleh KPM merupakan generasi hebat yang mampu mengemudi negara pada masa akan datang.

Pada ketika itu, KPM memberikan 100 peratus jaminan bahawa walaupun UPSR dimansuhkan, ibu bapa tidak perlu berasa bimbang kerana kementerian mempunyai sistem pentaksiran yang terbaik untuk menilai kelayakan kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh yang sebenarnya telah terbukti berjaya apabila diaplikasikan dalam pengambilan murid sesi 2021.

Selepas pemansuhan UPSR pada tahun lalu dimuktamadkan, pada Jun 2022, KPM menerusi Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, mengumumkan pula pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diguna pakai sejak tahun 2014. Pemansuhan tersebut digantikan pula dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang lebih insklusif.

Umum mengetahui bahawa sejak tahun 1993, pelajar tingkatan tiga akan melalui Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang merupakan peperiksaan kebangsaan yang ditadbir secara berpusat, manakala elemen penilaian kerja kursus pula dinilai oleh sekolah pada peringkat menengah rendah. Setelah 21 tahun pelaksanaan PMR, pada tahun 2014, KPM memperkenalkan PT3 untuk menggantikan PMR. Walau bagaimanapun, sebelum itu, iaitu pada tahun 2012, PBS sudah diaplikasikan. Tujuannya adalah untuk mengurangkan tumpuan yang keterlaluan terhadap peperiksaan semata-mata. Kini, PT3 yang berusia kurang daripada lapan tahun dimansuhkan sepenuhnya dan digantikan dengan PBS.  Dalam perkara ini, perancangan KPM dilihat amat sistematik kerana kementerian ini mempunyai perancangan yang amat menumpukan kemenjadian murid dengan memperkenalkan PBS yang sudah dilaksanakan sembilan tahun yang lalu. Kaedah pembelajaran baharu menerusi PBS bagi menggantikan PT3 dilihat lebih inklusif dalam menilai potensi sebenar pelajar pada peringkat sekolah. Hal ini amat penting dalam membina generasi baharu yang hebat meliputi semua aspek pendidikan.

Pada hakikatnya, banyak yang telah kita belajar pada tahun 2020 dan tahun 2021 apabila PT3 tidak dapat dilaksanakan ekoran daripada pandemik COVID-19 yang memaksa sistem pendidikan negara berubah kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Selepas dua tahun PT3 terpaksa ditangguhkan, pada akhirnya (2022), KPM memansuhkan PT3, iaitu bermula pada tahun ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Kokurikulum), YBhg. Datuk Pkharuddin Ghazali, KPM memperkenalkan PBS menerusi tiga komponen, iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) yang diyakini akan mampu memberikan indikasi yang tepat bagi pencapaian dan kelemahan pelajar. Pentaksiran berdasarkan tiga komponen itu akan membolehkan pelajar melalui proses pembelajaran secara berterusan (formatif) dan peperiksaan pada akhir tahun yang membolehkan guru serta ibu bapa mengambil langkah intervensi bagi memperkasakan pencapaian pelajar.

“Guru-guru akan memberikan ulasan dan penilaian berdasarkan pencapaian dan usaha anak murid mereka dalam sesuatu mata pelajaran. Penilaian itu akan dihimpunkan oleh guru kelas menjadi satu bentuk laporan penilaian kepada guru dan ibu bapa. Hal yang demikian juga dengan PAJSK, dari segi pelibatan sukan, kokurikulum dan pertandingan, semua itu akan dinilai dan diberikan gred. Setiap murid akan mempunyai laporan penilaian yang bersifat tulen. Maka itu, ibu bapa akan mengetahui apakah mata pelajaran yang akan dikuasai oleh anaknya, kemahirannya dan apa-apa yang perlu ditambah,” katanya ketika mengulas topik Pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Tahun 2022 dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.

Datuk Pkharuddin turut menjelaskan bahawa usaha itu juga mampu memantapkan sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih berkualiti dengan adanya standard baharu menerusi pelaksanaan Bank Soalan oleh KPM yang akan menghimpunkan soalan yang berkualiti daripada guru di seluruh negara. Dalam usaha KPM mendepani perubahan tersebut, beliau turut menjelaskan bahawa panduan pentaksiran untuk guru dan kesiapsiagaan pada peringkat struktur sudah dilaksanakan.

“Dari segi struktur, kita sudah ada pegawai kokurikulumnya, mereka akan membantu guru-guru untuk mentaksir. Kita ada pelatih untuk memberikan bimbingan kepada guru-guru. Panduan dan dokumen juga kita sudah ada. Benar, mungkin ada cabarannya tetapi saya yakin guru-guru kita mempunyai keupayaan yang tinggi. Guru-guru juga diyakini boleh dilatih dan akan diberikan kemahiran baharu. Saya yakin mereka akan menjaga integriti dalam mentaksir murid. Apabila kita sudah lihat penilaian formatif dan sumatif itu, pada ketika itu saya yakin ibu bapa akan sedar bahawa sistem dan pelaporan yang baharu ini adalah jauh lebih berkualiti,” katanya.

Diyakini bahawa PBS bukan sahaja mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan kepada pelajar dengan pendekatan bersifat eksplorasi, malah berpotensi melahirkan generasi yang berkeyakinan tinggi. Tidak hairanlah sistem sedemikian sudah lama diterapkan di negara maju yang lebih mengutamakan pembentukan sahsiah murid dari peringkat awal; pembelajaran melalui eksplorasi; inkuiri dan berasaskan projek bagi meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif serta inovatif. Selamat Tinggal PT3! Ayuh murid sekalian, serlahkan kompetensi diri, bakat, ilmu dan kebolehan masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.