1 Julai 2022, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Sebagai usaha menggalakkan amalan membaca dalam kalangan Keluarga Malaysia, Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) telah mengadakan Program Komuniti “Merakyatkan Perpustakaan” di Perpustakaan Desa, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Taman Rambai Jaya.

Encik Rosli Abdullah menyampaikan cenderamata kepada Datuk Rais Datuk Wira Yasin.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Paya Rumput, Datuk Rais Datuk Wira Yasin dan turut dihadiri oleh Pengerusi PERPUSTAM, Encik Rosli Abdullah; Pengarah PERPUSTAM, Encik Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris; Pengarah Prasarana, Ilmu dan Maklumat PNM mewakili Ketua Pengarah PNM, Encik Mohd Azmi Aziz;  Pengerusi Perpustakaan Desa Taman Rambai Jaya, Kapten (B) Mohamad Bujal; dan lebih daripada 250 orang pengunjung.

Pertandingan mewarna antara program yang menjadi perhatian para pengunjung, khususnya kanak-kanak.

Program yang bertujuan untuk mendekatkan masyarakat setempat dengan perpustakaan melalui perkhidmatan dan aktiviti pembacaan yang disediakan itu telah memberikan peluang pengunjung untuk menyertai beberapa acara menarik yang disediakan. Antaranya termasuklah Pertandingan Mewarna Mari Membaca Kanak-kanak, Pertandingan Mewarna Keluarga Malaysia Dewasa, Pertandingan Cekap Jawi Tahap 2, Pertandingan Keratan Akhbar Belia, Pertandingan Masakan Lauk Pauk Kampung Dewasa, Pameran dan Kuiz Kenali Perpustakaan Anda, Teka Jumlah Muka Surat Buku, Teka Berat Buku dan Pengunjung Bertuah.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Rais menyeru agar masyarakat di negeri Melaka menjadikan amalan membaca sebagai satu daripada budaya dalam kehidupan harian kerana budaya tersebut akan dapat membantu meningkatkan pemikiran masyarakat secara kritis dan kreatif.

Tambahnya lagi, dari aspek perkembangan kanak-kanak, amalan membaca dapat membantu pertumbuhan kognitif serta menguatkan memori seseorang, manakala bagi golongan dewasa, membaca akan dapat membantu masyarakat untuk membuka minda. Tidak lupa, beliau turut mengingatkan pengunjung yang hadir ke program tersebut untuk memilih bahan bacaan yang baik dan  dilengkapi dengan fakta yang tepat agar ilmu yang diperoleh dapat menjadi panduan yang berguna dalam kehidupan.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.