Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Program Deklamasi Puisi Islam dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman DBP-KUIP’s telah diadakan semalam di Auditorium Kolej Universiti Islam Perlis (KUIP’s). Program tersebut disempurnakan dengan keberangkatan tiba Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Canselor KUIP’s.
Program tersebut juga turut dihadiri oleh tetamu kehormat, iaitu Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Nor, Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIP’s), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah KUIP’s, dan Prof. Madya Dr. Abdul Basir Awang @ Ramli, Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa KUIP’s.
Program dimulakan dengan deklamasi puisi Islam oleh pemuisi-pemuisi dari KUIP’s, Persatuan Penulis Perlis, Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA), Datin Seri Haryani Haron, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Sasterawan Negara, Dato’ Rahman Shaari.
Selepas deklamasi puisi tersebut, majlis diteruskan dengan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman antara DBP dengan KUIP’s. Pihak KUIP’s diwakili oleh Prof. Madya Dr. Abdul Basir Awang @ Ramli, iaitu Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa KUIP’s manakala DBP pula diwakili oleh Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran selaku Ketua Pengarah DBP.
Dalam program tersebut juga DBP turut menyumbangkan buku kepada pihak KUIP’s. Program ini berakhir dengan pemberian cenderamata kenang-kenangan kepada Raja Muda Perlis oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.