9 Julai 2022, 01:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Tuanku Raja Muda berangkat ke kilang T.H. Mineral Water Industries (M) Sdn. Bhd. bagi melihat penghasilan air mineral hinggalah proses pelabelan produk tersebut. 

Kaki Bukit – T.H. Mineral Water Industries (M) Sdn. Bhd. menyumbang sebanyak 3600 liter air mineral kepada mangsa bencana kejadian kepala air dan banjir lumpur di Baling, Kedah melalui Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, hari ini.

Sementara itu, sebanyak 2400 botol air mineral berjenama “Star Cool” diserahkan kepada pihak YTSP Perlis dan terus dihantar segera ke Sungai Lata Celak, Kampung Iboi melalui Misi Bantuan Baling oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan sukarelawan Majlis Belia Negeri Perlis semalam.

Sekitar tinjauan yang diperkenan oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis.

Pengarah Eksekutifnya, Loh Kien Hin mempersembahkan sumbangan tersebut kepada Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena keberangkatan baginda menyempurnakan majlis perasmian program Production Line 250 ml TH Mineral Water, di kilang mereka yang beroperasi di Jalan Tasoh, Kaki Bukit.

Menurut Loh, warga T.H. Mineral menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama anakandanya, DYTM Sharifah Farah Adriana Jamalullail yang berkenan berangkat bagi menyempurnakan perasmian tersebut.

Sebagai tanda syukur atas perkenan dan kesudian baginda yang terkenal sebagai pewaris takhta yang amat prihatin dan berjiwa rakyat, pihak syarikat berbesar hati untuk membantu mereka yang terkesan dengan banjir di negeri jiran itu.

Pihak syarikat juga berharap agar sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat ini terus membantu meringankan beban masyarakat, khususnya golongan yang terkesan.

Turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Titi Tinggi yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Teh Chai Aan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.