3 Ogos 2022, 21:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Ketika berkenan berangkat merasmikan Hari Anugerah Cemerlang bagi Sesi Akademik 2022/23 di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah masalah rasuah perlu dibanteras dari peringkat sekolah lagi.

Pendidikan mengenai ancaman dan kesan rasuah haruslah ditanam dalam setiap jiwa anak-anak muda seperti, ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Berdasarkan kajian dari Universiti Malaya yang bertajuk “Voices from the Ground: The Corruption Complex in Malaysia” pada tahun lalu, baginda menzahirkan rasa terkilan apabila mendapati sebanyak 51 peratus responden bersetuju bahawa rasuah merupakan budaya yang sedang berakar di negara kita.

DYMM Tuanku Raja Perlis berkenan menandatangani buku lawatan sebagai tanda ingatan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Derma.

DYMM Tuanku Raja Perlis menegaskan bahawa,

Semua rakyat khususnya, remaja perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan jati diri yang kukuh agar mereka menjadi insan yang dihormati.

“Dalam hal ini, tanggungjawab ibu bapa juga adalah amat penting supaya anak-anak menjadi insan yang bukan sahaja hebat dari aspek intelektual, malah dilengkapi dengan rohani dan jati diri yang kukuh.

Dalam hal berlainan, baginda menitahkan  berasa amat berdukacita atas perbuatan menghina kaum dan agama yang berlaku baru-baru ini. Perkara sebegini wajar dicegah supaya tidak menjejaskan perpaduan dalam kalangan rakyat. Setiap provokasi terhadap agama dan kaum harus ditangani secara berhemah.

“Remaja kini dilihat sangat terdedah dengan perkara negatif daripada media sosial, seperti fitnah, berita palsu, pornografi, malah pengaruh LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transjantina).”

Baginda berpesan,

Jauhilah perkara sebegini dan tanamlah sifat saling menghormati. Ingatlah bahawa perpaduan adalah amat penting dalam memastikan negara stabil dan terus maju demi masa depan generasi akan datang.

Demikian dititahkan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan majlis pada hari ini setelah dua tahun tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Keberangkatan baginda yang diiringi Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan alumni sekolah kluster berkenaan dari tahun 1980–1982 itu disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Pengetua sekolah, Fauziah Abd. Hamid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.