Oleh Fatimah Ahmad
8 Ogos 2022, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sudah empat bulan kerajaan memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia, iaitu sejak pelancarannya pada 22 April 2022, di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya. Lebih awal daripada itu, konsep ini sudah sering kedengaran khususnya dalam pelbagai ucapan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Namun begitu, perincian konsep ini pada ketika itu hanya berkisar tentang bagaimana kerajaan menghimpunkan kebersamaan rakyat di negara ini dalam satu ruang lingkup Keluarga Malaysia. Itulah juga fahaman awal yang turut bermain di minda penulis.

Ternyata sebaik-baik sahaja konsep ini dilancarkan, Keluarga Malaysia yang diperkenalkan membawa maksud yang lebih menyeluruh daripada apa-apa yang dibayangkan. Benar, konsep sebegini telah lama kita amalkan, namun Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri pada kali ini mempunyai keterangkuman yang diwakili oleh seluruh rakyat Malaysia.

Pada hakikatnya, konsep Keluarga Malaysia bersifat lebih inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Menurut Perdana Menteri, kita menyedari bahawa kewujudan sebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Maka itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana keutuhan negara yang terikat dengan nilai-nilai didikan yang sempurna dalam sebuah keluarga.

Perdana Menteri berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sarawak.

“Kita ialah satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Konsep ini merangkumi kesemua lapisan usia, sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia. Jelaslah bahawa konsep ini merupakan satu entiti yang saling melengkapi umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” jelas Perdana Menteri.

Untuk itu, terdapat tiga nilai utama yang mendasari konsep Keluarga Malaysia, iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. Menurut Perdana Menteri, Keterangkuman bermaksud saling menghormati dan mengasihi sesama ahli keluarga menerusi pengayaan nilai yang telah digariskan, iaitu menyemai budaya integriti dalam keluarga; Menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga; Menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga; Menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga; Menyuburkan budaya komunikasi yang berhemah dalam kalangan keluarga dan masyarakat; dan membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga.

Nilai kedua yang diangkat dalam konsep Keluarga Malaysia ialah Kebersamaan yang bermaksud bersatu padu dan prihatin. Menerusi ucapan sulung Perdana Menteri pada 22 Ogos 2021, beliau menyeru agar rakyat di negara ini sentiasa mencari titik persamaan dalam segenap perkara; memiliki fikiran yang terbuka dan senang untuk bekerjasama; bertoleransi terhadap sebarang perbezaan secara berprinsip; dan bersepakat dan bersatu dalam menghadapi cabaran. Nilai pengayaan yang turut digariskan termasuklah Kebertanggungjawaban terhadap keluarga; Membudayakan amalan ihsan dalam memupuk semangat kebersamaan keluarga; Memastikan suasana harmoni dapat dikecap keluarga; Menyemai budaya khidmat dalam keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan; Menjaga kehormatan dan maruah keluarga; Menyemai semangat prihatin untuk membantu ahli keluarga; Menerapkan budaya kesabaran dalam mengekalkan keharmonian keluarga; dan menyemai semangat keamanan dan kesejahteraan dalam diri ahli keluarga.

Sementara itu, dalam nilai ketiga, iaitu Kesyukuran, nilai ini dikaitkan dengan nilai keharmonian dan kecintaan. Nilai ini membawa rakyat Malaysia untuk sentiasa bersyukur dan berterima kasih dan tidak lupa untuk menghargai dan memahami sejarah tanah air. Antara nilai pengkayaan yang terkandung dalam Kesyukuran termasuklah Beriman; Membudayakan amalan sihat fizikal dan mental; Mengekalkan tradisi dan adat kekeluargaan; Kasih sayang; dan hormat serta taat.

Dengan visi memulihkan negara dan mencapai status Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi, matlamat konsep Keluarga Malaysia akan menjadi aspirasi jangka masa panjang yang kalis cabaran masa hadapan. Sementara itu, hala tuju strategik yang digariskan adalah untuk memastikan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk terus berganding bahu memulihkan negara daripada impak negatif akibat COVID-19. Maka itu, bidang tumpuan utama yang digariskan termasuklah Memulihkan dan merapatkan semula jurang ekonomi; Menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia; dan Mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan.

Dalam ucapan Perasmian Keluarga Malaysia, Perdana Menteri menjelaskan bahawa aspirasi Keluarga Malaysia bermatlamat untuk memastikan ahli keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dapat hidup dalam suasana yang mesra dan harmoni sambil berkongsi tiga nilai utama yang dibincangkan sebentar tadi.

“Amalan hidup bersama ini telah pun berterusan sejak enam dekad lalu dan perlu dikekalkan malah diperkukuh walau apa-apa pun cabaran yang mendatang. Sebagai kerajaan, sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai pemimpin untuk sentiasa menyuburkan semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan, mencari titik persamaan dalam kepelbagaian,” ucap Perdana Menteri.

Selain itu, pada masa yang sama, pengupayaan Keluarga Malaysia perlu mengimbangi kepentingan spiritual dan rohani dengan pembangunan fizikal dan pengukuhan ekonomi. Sekiranya tumpuan hanya diberikan kepada pembangunan fizikal tanpa menekankan aspek spiritual, yang dibimbangkan akan wujud adalah kepincangan dalam usaha memperkukuh perpaduan negara.

“Sebagai pembuat dasar, kerajaan perlu memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dalam menyusun atur segala langkah bagi menterjemahkan konsep kesejahteraan agar dapat meresap ke dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia,” jelas Perdana Menteri.

Tambahnya lagi, agama merupakan benteng pertahanan jiwa yang menjadi petunjuk dalam memelihara hubungan antara kaum. Oleh itu, beliau berpandangan perbezaan agama bukanlah suatu halangan untuk bersatu-padu. Malah, Islam sendiri mengangkat nilai kebersamaan dalam kepelbagaian rumpun, bangsa dan budaya. Oleh itu, Perdana Menteri berpandangan bahawa untuk menikmati kesejahteraan dalam sesebuah negara, satu mekanisme ampuh perlu dijadikan landasan.

 

Saya mendapati memelihara kemaslahatan merupakan manifestasi kesejahteraan. Hal ini dikatakan demikian kerana kemaslahatan itu sendiri merupakan inti pati dalam objektif syariat Islam yang sentiasa disebutkan sebagai pendekatan Maqasid Syariah. Dalam satu persidangan anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada September 2021, saya telah menyatakan bahawa Maqasid Syariah perlu dijadikan teras dalam setiap dasar pembentukan sesebuah negara yang adil, sejahtera dan harmoni. Pada hari ini pula, kita diperjelaskan tentang pendekatan Maqasid Syariah dalam tadbir urus Keluarga Malaysia.

Ternyata prinsip Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri pada April lalu menekankan banyak perkara yang universal yang dilihat amat sesuai untuk seluruh ahli Keluarga Malaysia yang mendambakan kesejahteraan dan keharmonian antara kaum dengan penganut pelbagai agama di negara ini. Pastinya hal ini tidak akan mengehadkan amalan dan kepercayaan agama yang lain, tetapi menuntut nilai kebersamaan dalam memelihara hubungan sesama kita.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!