Oleh Aminudin Mansor
29 Ogos 2022, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cabaran globalisasi dan kepantasan teknologi digital masa kini telah menyebabkan buku kurang diminati berbanding dengan telefon pintar. Budaya cinta akan buku perlu dipupuk semula bagi mengelakkan kanak-kanak terpengaruh dengan telefon pintar yang menyajikan pelbagai permainan digital yang boleh diakses dengan mudah dan melalaikan mereka. Kanak-kanak juga akan mudah terpengaruh dengan penggunaan telefon pintar sekiranya ibu bapa sentiasa menggunakannya dalam tempoh 24 jam sehari.

Minat membaca sangat penting untuk dipupuk dan dikembangkan pada peringkat awal kanak-kanak. Jika minat ini tidak dipupuk dan kanak-kanak didedahkan dengan telefon pintar sejak kecil, mereka tidak akan berminat lagi untuk membaca naskhah fizikal. Ibu bapa yang bijak dan faham tentang minat kanak-kanak yang ingin membaca tidak akan mendedahkan mereka dengan telefon pintar. Kajian menunjukkan minat kanak-kanak untuk membaca dan melihat gambar bermula pada usia empat hingga tujuh tahun. Oleh itu, minat ini perlu disemai dan kanak-kanak perlu dididik dan dibimbing supaya mereka terus berminat untuk membaca. Pendedahan pada peringkat awal adalah penting dan buku yang mempunyai jalan cerita, gambar dan ilustrasi yang menarik tentunya dapat memupuk minat anak-anak.

Melalui pembacaan, kanak-kanak akan dapat memperkaya perbendaharaan kata, mendapat pengalaman daripada cerita dan seterusnya menjadikan amalan membaca sebagai suatu minat yang membahagiakan. Pembacaan mestilah diikuti dengan berfikir dan mengambil teladan daripada apa-apa yang dibaca. Begitulah kanak-kanak dapat membaca dan memahami isi cerita serta memahami maksud tersurat dan tersirat sesuatu bahan bacaan itu. Bacalah seribu buku supaya mendapat sejuta ilmu hasil daripada pembacaan yang tekun dan dapat mengisi masa lapang.

Ibu bapa juga boleh bercerita mengenai cerita dalam buku tersebut sambil mengajar anak-anak membaca dengan suku kata yang mudah serta ayat yang mudah dan pendek. Penulis dan pengkarya sastera buku cerita kanak-kanak pula perlu cuba berusaha menulis cerita mengikut zaman terkini yang mempunyai unsur humor, seni pantun dan gurindam, bahasa bersajak dan bersyair yang dapat menarik minat kanak-kanak untuk terus membaca. Sebagai penulis, seseorang itu perlu juga mengetahui jenis buku kanak-kanak yang mendapat tempat di pasaran. Penulis berperanan menjadikan buku sebagai daya penarik dengan ilustrasi serta gambar dan cerita yang menarik. Penerbit juga berperanan menerbitkan buku yang lebih sesuai dengan keadaan semasa termasuk isi kandungan dan bentuk buku tersebut.

Penyair William Shakespeare pernah mengatakan bahawa:

Aku memuji orang yang dapat membaca dan selalu mengingati apa yang dibacanya, tetapi lebih ku puji lagi orang yang mengerti maksud apa yang dibacanya

 

Dalam menyemai dan mendidik anak-anak supaya mempunyai minat membaca, ibu bapa seharusnya membawa anak-anak ke kedai buku, perpustakaan dan membeli buku yang mereka minati supaya minat membaca itu sentiasa kekal dalam diri mereka. Buku tersebut juga mestilah sesuai dengan peringkat umur mereka.

Buku-buku yang baik bukan sahaja dapat memberikan ilmu, pendidikan dan pengajaran malah dapat dijadikan panduan dalam kehidupan. Berilah galakan dalam bentuk hadiah jika anak-anak dapat membaca lebih banyak buku dalam sehari, seminggu atau sebulan, dan hadiah tersebut boleh juga diberikan dalam bentuk buku.

Amalan membaca mestilah ditanam dalam hati dan jiwa anak-anak. Oleh itu, anak-anak yang minat membaca dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah daripada melepak dan merayau tanpa arah tujuan.

Sebagai ibu bapa, kita berperanan mendidik anak-anak dengan membaca buku yang sesuai dengan peringkat umur mereka. Jangan sesekali mendedahkan mereka dengan telefon pintar pada setiap masa sehingga menyebabkan mereka tidak lagi mempunyai minat untuk membaca buku yang sesuai dengan perkembangan mental dan sosial mereka.

Kuat dan jayanya sesuatu bangsa ialah kerana banyak masyarakatnya yang membaca buku yang berilmu. Pembacaan akan memacu ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan. Ilmu yang diperoleh melalui pembacaan buku lebih kekal dan mudah diperoleh kembali melalui pembacaan bagi kanak-kanak.

Oleh itu, anak-anak sewajarnya dididik, dibimbing dan digalakkan bagi mempunyai jiwa insani yang cinta akan ilmu pengetahuan terutamanya melalui pembacaan buku yang bermanfaat. Perkembangan personaliti yang baik dapat dibentuk apabila kanak-kanak mempunyai minat untuk membaca buku.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.