Oleh Nurul Athirah
31 Ogos 2022, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31 Ogos 1957. 


Setelah dua tahun menantikan sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan pada 31 Ogos pada setiap tahun, dengan kali terakhir sambutan itu diadakan pada tahun 2017, pada pagi ini seluruh rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 sama ada dengan turun ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur atau menghadiri sambutan yang diadakan  pada peringkat negeri.

Kemeriahan Hari Kebangsaan 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama, bermula sebaik-baik sahaja detik 12.00 tengah malam 31 Ogos 2022 bermula apabila laungan merdeka kedengaran di banyak lokasi, antaranya termasuklah Putrajaya. Percikan bunga api di beberapa kawasan seperti di Selangor dan Kuala Lumpur  turut menandakan penantian dan kerinduan rakyat terhadap sambutan Hari Kebangsaan.

Di Kuala Lumpur, seawal pukul 8.00 pagi 31 Ogos 2022, lautan manusia dari pelbagai kaum, bangsa dan agama membanjiri Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2022 dengan menyaksikan acara perbarisan dan perarakan oleh hampir 20 ribu perserta daripada pelbagai kontijen yang mempamerkan komponen kenegaraan, barisan hadapan, urus tadbir negara, komponen Keluarga Malaysia, dan persembahan yang amat dinanti-nantikan, iaitu pertunjukan udara.

“Alhamdullilah, pada tahun ini, Keluarga Malaysia di seluruh negara kembali berpeluang meraikan sambutan kemerdekaan secara besar-besaran, sebagai sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera,” ucap Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, bersempena dengan perutusan Hari Kebangsaan 2022.

Beliau yang turut mengajak rakyat Malaysia untuk tidak lupa akan sejarah mengingatkan agar semangat dan perjuangan yang wujud sejak dulu, khususnya dalam Rundingan Kemerdekaan pada tahun 1956, di Kota London terus mengalir dalam jiwa rakyat Malaysia. Nilai kemerdekaan inilah pada akhirnya yang telah berjaya memupuk perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, selain integrasi nasional dan silang budaya merentas Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tiada ungkapan yang dapat dizahirkan untuk menggambarkan sanjungan dan rasa terima kasih ke atas perjuangan serta pengorbanan pejuang negara terdahulu termasuklah anggota keselamatan, tentera dan polis.

Tambah Perdana Menteri, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Rahmat dan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil perjuangan titisan darah, keringat dan air mata. Tidak terhitung banyaknya nyawa yang terkorban dan tidak terkira nilai kerugian harta benda dalam mencapai sebuah erti kemerdekaan. Ketika perjuangan menentang penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun, ramai pejuang yang aulia rebah demi mempertahankan pertiwi. Nama-nama seperti Mat Kilau, Datuk Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Rentap, Datuk Maharajalela, Dato’ Sagor, Haji Abdul Rahman Limbong, Datu Mat Salleh, Rosli Dhobi merupakan antara tokoh yang telah berkorban demi tanah air tercinta.

Mat Kilau pernah berpesan; perjuangan mesti diteruskan oleh generasi muda, jangan biar tanah air tergadai, jangan sesekali mudah dipicit sehingga terbelah dua. Kalau beragama, jangan sekadar pakaiannya (syariat), biar tentu bersih juga tubuhnya (hakikat). Kalau belajar, jangan sekadar ilmunya, biar tentu kukuh juga adabnya. Kalau beramal, jangan sekadar ayatnya, biar tentu juga berbulat dengan rahsia-Nya. Itulah antara amanat pahlawan Mat Kilau yang boleh dijadikan sebagai azimat.

Pada era modenisasi ini, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa bentuk penjajahan tidak lagi sama seperti era kolonial. Justeru, jika kita tidak mempertahankan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh wira-wira terdahulu, maka sejarah mungkin akan berulang dan kita kembali dijajah semula. Bentuk penjajahan moden yang muncul pada ketika ini dan semua negara di dunia terkena dampaknya, yakni penjajahan baharu dalam bidang ekonomi, teknologi dan budaya. Anasir luar ini menggunakan pelbagai cara untuk menjajah semula dalam bentuk yang lebih canggih. Meskipun ancaman penjajahan baharu ini bukanlah dari segi fizikal, namun sangat berbahaya dan merupakan cara yang paling mudah untuk menjarah minda dan jati diri bangsa, seterusnya mampu menghancurkan sesebuah negara.

“Hanya rasa cinta akan negara membolehkan kita terus bekerjasama dan bersatu padu untuk mempertahankan nilai-nilai kedamaian, keamanan dan kemerdekaan bagi membangun dan menjaga kedaulatan kita. Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkeluarga, keluarga dilindungi; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan; sesungguhnya kita semua satu keluarga; Keluarga Malaysia penyambung warisan,” ucap Perdana Menteri.

Mengimbas tarikh keramat 31 Ogos 1957, yang menyaksikan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan secara rasmi tepat pukul 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957. Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan ini berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih daripada 20 ribu orang orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata. Pada upacara bersejarah ini wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri yang menandakan berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu. Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan merdeka sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka. Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan Negaraku. Sebanyak 101 das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Perjalanan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu bermula pada 18 Januari 1956 apabila Persidangan Meja Bulat antara wakil-wakil Kerajaan UMNO-MCA-MIC wakil Raja-raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British Lancaster House, London kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu diadakan. Delegasi menuntut ini diketuai oleh Ketua Menteri YTM Abdul Rahman Putra, Dato’ Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Encik T.H.Tan Encik Bahaman Shamsuddin selaku Setiausaha Bersama. Manakala empat wakil bagi Raja-raja Melayu Dato’ Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Majid dan Mohd. Seth Mohd Said. Persidangan yang berlangsung selama tiga minggu ini merundingkan beberapa kemerdekaan Tanah Melayu, hal-hal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal-ehwal Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan bagi mengkaji semula perlembagaan mengenai kedudukan Melayu yang perlu dikekalkan. Misi rombongan menuntut kemerdekaan berjaya mendapatkan persetujuan Kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Pada hari ini, kita menghela nafas 65 tahun merdeka. Cabaran yang datang silih berganti menjadikan kita lebih matang, utuh dan kukuh. Kita tidak akan dapat mempertahankan, membangunkan, memajukan dan memakmurkan negara ini secara bersendirian. Maka itu, di bahu setiap warganegara Malaysia harus memikul tanggungjawab yang sama, iaitu menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara ini agar perjalanan Keluarga Malaysia menuju negara maju yang mampu bersaing dan disegani di persada dunia mampu digenggam bersama-sama. Ayuh Keluarga Malaysia kita  teguh bersama. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.