16 September 2022, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Permatang Pauh – Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan pada 13 hingga 15 September 2022. Bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, sebanyak 130 orang murid sekolah menengah dari seluruh Malaysia berhimpun dalam program pembinaan penulis muda. Melalui program ini, mereka dibimbing untuk menghasilkan sajak dan anekdot yang bermutu serta menepati syarat.

Penganjur dan peserta Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang.

Penulisan sajak dibimbing oleh Haji Zainuddin Abdul, penulis dan deklamator tersohor di Pulau Pinang. Menurut beliau, tidak ada cara terbaik yang dapat digunakan oleh penulis atau bakal penulis untuk menulis. Namun begitu, terdapat panduan terbaik yang boleh dijadikan pedoman ketika menulis. Aspek-aspek yang menjadi teras kepada pembinaan sesebuah sajak seperti tema dan persoalan, aliran pemikiran, gaya bahasa serta diksi haruslah dihadam secara tuntas.

Nasihat Zainuddin kepada penulis muda, belajarlah daripada penulis-penulis tersohor yang telah berjaya dalam bidang penulisan jika ingin berjaya seperti mereka.

Sementara itu, penulisan anekdot pula dikendalikan oleh Dr. Husairi Hussin, pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Husairi menjelaskan bahawa antara buku yang paling laris dalam pasaran kini termasuklah buku dalam genre anekdot kerana sifatnya yang santai. Tambah beliau, sesebuah anekdot itu, lazimnya menggambarkan kisah yang benar-benar dialami oleh penulis atau melalui pemerhatian penulis. Walau bagaimanapun, biarpun anekdot itu sifatnya santai namun kesannya mampu membangkitkan emosi pembaca sehingga mengundang rasa sedih, sayu insaf dan sebagainya.

Husairi juga mengingatkan kepada peserta agar menjauhi tindakan memplagiat atau meniru karya orang lain kerana akan menjatuhkan maruah diri sendiri.

Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan dilaksanakan secara santai dengan pelibatan penulis muda dari seluruh negara.

Pada hari kedua, semua peserta dibawa menaiki Bukit Bendera untuk mendapatkan suasana yang berbeza daripada suasana bilik darjah. Mood suasana sangat mempengaruhi emosi dan idea seseorang penulis untuk berkarya.

Dalam ucapan penutupan, Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Haji Mustafa Sidi, menyarankan kepada semua peserta supaya dapat meneruskan lagi usaha untuk bergelar penulis apabila kembali ke tempat tinggal masing-masing. Ujarnya lagi, diharapkan ilmu penulisan yang diperoleh melalui program ini dapat dikembangkan lagi pada masa akan datang.

Semasa Majlis Penutupan, telah diumumkan peserta terbaik kategori lelaki dan perempuan. Adik Nurul Huda Abdul Wahab dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah dan Adik Amir Muhtar Aziz Samshul Amry dari SMK Tun Syed Zahiruddin, Melaka telah dinobatkan sebagai peserta terbaik keseluruhan Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2022 pada kali ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.