3 Oktober 2022, 18:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Program MBA Universiti Utara Malaysia (UUM) kekal berada pada kedudukan ke-201 hingga ke-250 dalam QS Global MBA Rankings 2023, sekali gus menjadi satu-satunya universiti di Malaysia yang tersenarai dalam kedudukan berkenaan.

Dua bidang pengkhususan graduan program MBA Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), iaitu perundingan dan pengurusan operasi, berada dalam senarai 100 terbaik dunia apabila tersenarai pada kedudukan ke-91 hingga ke-100 bagi “QS Global MBA by Career Specialization Rankings 2023”. Penarafan ini berdasarkan kepada kerjaya graduan, pandangan majikan dan kekuatan penyelidikan.

Naib Canselor, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah.

Naib Canselor, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata,

Pencapaian ini amat membanggakan memandangkan UUM merupakan universiti berfokus dalam bidang pengurusan berbanding dengan universiti lain yang bersifat komprehensif.

Jelas beliau, pengiktirafan ini pasti dapat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa dan tempatan untuk menyertai program MBA UUM.

Beliau menyifatkan kejayaan ini merupakan satu pencapaian terbaik sebagai asas untuk mempromosikan program MBA dan beliau optimis program lain juga akan mendapat sambutan apabila pelajar di luar melihat UUM dalam kedudukan tersendiri.

Saya ingin menyatakan rasa gembira atas kejayaan UUM dan kita satu-satunya program MBA di Malaysia yang tersenarai dalam kedudukan ke-201 hingga ke-250 dunia jadi tahniah kepada OYAGSB dan seluruh warganya serta warga UUM yang menyumbang kepada kejayaan ini.

“OYAGSB mempunyai nama dan kualiti tersendiri dengan pencapaian dalam kedudukan berkenaan secara tidak langsung telah menjulang universiti itu di persada dunia,” ujarnya pada Bengkel Pemantapan Pelan Strategik dan Bajet Tahun 2023 yang berlangsung di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Staf UUM sekitar Bengkel Pemantapan Pelan Strategik dan Bajet Tahun 2023 yang berlangsung di Pulau Pinang.
Provos UUMKL, Profesor Dr. Hassan Abu Bakar.

Sementara itu, Provos UUMKL merangkap Dekan OYAGSB, Profesor Dr. Hassan Abu Bakar berkata,

Kejayaan ini menunjukkan kualiti pengajaran dan pembelajaran OYAGSB setaraf dengan universiti antarabangsa.

Antaranya dalam aspek aplikasi pengetahuan praktikal dan teori dalam pembelajaran, menggunakan kes ‘Harvard Business Review’ dalam kelas, komposisi pelajar yang sepenuhnya mempunyai pengalaman bekerja, mereka juga bekerja di syarikat terbilang juga berjawatan tinggi, dan keterlihatan OYAGSB.

“Program MBA sepenuh masa melengkapkan pelajar dengan kemahiran penting untuk landskap perniagaan global yang terus berkembang. Jadi, tidak hairanlah kebanyakan pelajar memiliki pengalaman kerja, malah ada yang berkerjaya hebat menjawat jawatan tertinggi seperti ketua eksekutif dan pengarah,” ujarnya.

Beliau berharap momentum itu dapat diteruskan dan dikekalkan agar UUM terus melangkah ke hadapan dan dapat merealisasikan misi untuk memastikan OYAGSB berstatus “Triple Crown”, selain “Top Business School”.

Untuk mencapai ‘Triple Crown’, kita sedang bergerak ke arah EQUIS menjelang tahun 2025 dan impian ini sudah pasti akan menjadi kenyataan setelah kita memperoleh AACSB dan AMBA.

“Terima kasih kepada semua, terutamanya Profesor Dr. Sany Sanuri Mohd Mokhtar yang merintis usaha ini sehingga kita menempa reputasi cemerlang dalam kedudukan dunia, terutamanya dari aspek pertambahan jumlah pelajar,” ucapnya.

Program MBA OYAGSB mendapat akreditasi antarabangsa oleh AACSB dan AMBA, selain Chartered Management Institute (CMI) sebagai badan profesional terkemuka dunia dalam pengurusan dan kepimpinan.

MBA memberi tumpuan kepada membangunkan pemimpin perniagaan masa depan dengan kemahiran, serta kecekapan untuk menangani persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah dengan cara yang cekap dan berkesan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.