10 Oktober 2022, 12:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang – Festival Seni dan Alam (FESA) merupakan program yang julung-julung kali diadakan dengan kerjasama sektor swasta, sepertisyarikat Desa Dairy Farm, WalaiTokou Homestay Kundasang, Instant Exhibitions (Sabah) Sdn. Bhd., Kumpulan BTC, Iris Publishing & Distributors dan Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia dengan kerjasama daripada agensi kerajaan iaitu, Pejabat Daerah Ranau, Majlis Daerah Ranau, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau dan Pejabat Penerangan Daerah Ranau. Festival ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Negara dan Dekad Bahasa Kebangsaan yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun.Festival ini bermula pada 5 hingga 7 Oktober 2022, di beberapa lokasi, iaitu SMK Mat Salleh, SMK Timbua dan Pentas Budaya, Pekan Kundasang dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Antara pengisian festival ini ialah Wakaf Buku DBP di Sekolah Menengah Kebangsaan Timbua, Bersahabat dengan Kamus di Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh kategori sekolah menengah, Kuiz Bahasa di Pentas Budaya Pekan Kundasang yang melibatkan sekolah rendah dan menengah di sekitar daerah Ranau dan Kundasang.

Selain itu, turut diadakan ialah Pertandingan Melukis dan Mewarna, Pertandingan Reka Cipta Bahan Terbuang, Pertandingan Gubahan Alam, Pertandingan Cabaran Fotografi Berpantun dan Sayembara Deklamasi Puisi Alam. Dengan tema “Alam Dilestasi, Seni Dijiwai” sambutan FESA yang buat julung-julung kalinya diadakan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat di sekitar daerah Ranau dan Kundasang. Festival ini dimeriahkan lagi cabutan bertuah setiap hari yang disumbangkan oleh Desa Dairy Farm, Instant Exhibitions (Sabah) Sdn. Bhd., dan Iris Publishing & Distributors. Hadiah buah tangan 300 bungkus roti disumbangkan oleh Kumpulan BTC. Manakala, Walai Tokou Homestay menaja penginapan kepada enam orang peserta Sayembara Deklamasi Puisi Alam (peringkat akhir) selama dua malam. Dua buah khemah turut disumbangkan oleh Desa Dairy Farm sepanjang festival berlangsung. Turut memeriahkan acara festival ialah kempen derma darah, pameran dan jualan buku terbitan DBP.

Objektif penganjuran FESA adalah untuk memupuk semangat cinta bahasa kebangsaan dan alam sekitar melalui beberapa pengisian program dan menjalin sinergi antara DBP dengan khalayak umum dan agensi swasta yang lain. Festival yang bersifat santun, berinformasi, harmoni dan menghiburkan ini dapat mendekatkan masyarakat terutamanya golongan muda dengan DBP. Selain itu, pelaksanaan program yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak ini dapat memperluas rangkaian kerjasama DBP untuk mengembangkan bahasa dan persuratan di Sabah.

Majlis penutupan FESA dan penyampaian hadiah pada 7 Oktober 2022 (Jumaat), pukul 9.00 pagi di Pentas Budaya, Pekan Kundasangdisempurnakan olehYang Berhomrat Datuk Amisah Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik). Turut hadir semasa majlis penutupan ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah, DBP Cawangan Sabah, Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP, merangkap Presiden, BAHASA, Encik Jumain Abdul Ghani, Pegawai Daerah Ranau, Encik Jamius Agang, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau wakil kepada Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Encik Kohadie Watman, Penyelaras WalaiTokou Homestay Kundasangmerangkap Timbalan Presiden Homestay Malaysia.Encik Farid Mohd. Zaini, Pengurus Desa Dairy Farm Cawangan Kundasang.Encik Sathiq Am Jailani, wakil Pengurus Besar Kumpulan BTC.

Memetik ucapan perasmian Yang Berhormat Datuk, “festival seumpama ini dapat memberikan semangat dan suntikan baharu kepada pelajaruntuk memulihara alam sekitar sekali gus memupuk kesedaran untuk melestarikan bahasa kebangsaan yakni bahasa perpaduan di Malaysia. Jika diteroka melalui sudut harfiah alam dan bahasa ialah tunjang dalam kehidupan manusia. Kedua-duanya saling berpaut antara satu sama lain. Misalnya, manusia sudah menduduki muka bumi berjuta tahun dahulu, dek revolusi yang berlaku telah mengubah alam semula jadi menjadi panas, cuaca tidak menentu sekali gus mengundang pelbagai bencana alam.Manakala, daripada sudut bahasa pula, manusia juga telah mengalami revolusi bahasa, iaitu bermula daripada bahasa isyarat sehinggalah ke bahasa dan persuratan yang dapat kita tuturkan pada hari ini. Oleh itu, festival seumpama ini sewajarkan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha untuk memulihara alam sekitar dan memartabatkan bahasa kebangsaan”.

Tuntasnya, kegiatan seumpama ini jugasebagai wadah untuk menyemarakkan rasa cinta akan bahasa, sastera dan budaya kebangsaandan sekali gus memupuk kesedaran untuk memulihara alam sekitar daripada tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Ingatlah bahawa bumi ini ialah pinjaman kepada anak cucu pada masa hadapan. Oleh yang demikian, jika dibiarkan nafsu menguasai diri dan wang ringgit menjadi taruhan, maka peribahasa ada mengingatkan “hulu malang pangkal celaka”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.