Oleh Rahimah Jais
12 Oktober 2022, 17:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Tahun 2022, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah menganjurkan Pertandingan Buku Skrap. Program ini yang diadakan dari 22 Jun 2022 hingga 16 Ogos 2022 merupakan anjuran kali ketiga sejak mula dilaksanakan pada tahun 2020.

Pertandingan ini bertujuan untuk memupuk budaya membaca dan mencintai ilmu melalui pembacaan bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat di samping meningkatkan kreativiti murid berdasarkan pemerhatian mereka terhadap alam sekeliling. Pertandingan Buku Skrap pada kali ini membawakan tema “Haiwan Kesayangan Saya”.

Sebanyak 33 penyertaan diterima daripada pelajar tahap dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina [SJK(C)] dari sekitar Zon Kota Kinabalu. Tempat pertama dimenangi oleh Rex Ng Kar Hen dari SK(C) Anglo Chinese, Kota Kinabalu. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 dan sijil penyertaan. Naib johan pula disandang oleh Chang Cheng Chun dari SJK(C) Yick Nam, Inanam yang menerima hadiah wang tunai bernilai RM300 dan sijil penyertaan.  Manakala Muhammad Kely dari SJK(C) Lok Yuk, Menggatal muncul sebagai pemenang tempat ketiga. Beliau menerima hadiah wang bernilai RM200 dan sijil penyertaan.

Johan pertandingan (dua dari kiri), Rex Ng Kar Hen dari SK(C) Anglo Chinese, Kota Kinabalu, Sabah.

Penerima hadiah sagu hati pula dimenangi oleh Hazel Lou Yan Ling dari SJK(C) St James, Kota Kinabalu; Chan Ka Hyun dari SK(C) Anglo Chinese, Kota Kinabalu dan Kim Yea Eun dari SJK(C) Lok Yuk, Likas. Masing-masing membawa pulang wang bernilai RM100 dan sijil penyertaan. Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBPCS.

Naib johan, Chang Cheng Chun dari SJK(C) Yick Nam, Inanam dan tempat ketiga, Muhammad Kely dari SJK(C) Lok Yuk, Menggatal, masing-masing menerima wang tunai dan sijil penyertaan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.