18 Oktober 2022, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan yang berkenan untuk menyempurnakan Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 memperlihatkan sokongan baginda terhadap mereka yang berusaha untuk pulih daripada penagihan dadah.

Keberangkatan DYMM Pemangku Raja Pahang ke Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

Kementerian Dalam Negeri melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sentiasa mempertingkatkan usaha untuk memerangi penyalahgunaan dadah sebagai musuh nombor satu negara. Selain membantu klien, AADK turut membantu ahli keluarga yang dibelenggu dengan masalah dadah.

Berucap dalam program tersebut, Yang Berhormat Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri mengatakan bahawa program ini merupakan satu daripada komponen yang terkandung dalam model rawatan dan pemulihan yang digunakan oleh AADK untuk merawat dan memulihkan dadah di seluruh negara.

Yang Berhormat Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri.

Tambahan beliau lagi, AADK komited menganjurkan Program AADK Bersama Komuniti: Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 yang bertujuan untuk menghimpunkan sebanyak 2000 orang sahabat kepulihan dari seluruh negara dalam kalangan pejuang kepulihan, ahli keluarga dan komuniti. Perhimpunan ini sebagai simbolik solidariti dalam usaha mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.

Jelas Dato’ Seri Hamzah Zainudin,

Secara tidak langsung, program ini dapat memberikan pengiktirafan kepada keluarga yang sentiasa menyokong dan membantu klien ke arah pemulihan sepanjang hayat, khususnya yang melibatkan ahli keluarga masing-masing.

Sejajar dengan perubahan semasa yang memperlihatkan trend penyalahgunaan dadah daripada jenis organik kepada jenis sintetik, AADK telah mengubah pendekatan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah, iaitu daripada pendekatan tough and rugged kepada pendekatan yang lebih holistik dan prihatin. Pendekatan tersebut merangkumi aspek biologi, psikologi, sosial, spiritual seseorang klien dan keluarganya dikenali sebagai Model i – Pulih AADK.

Dalam hal ini, kajian menunjukkan bahawa sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam proses merawat dan memulihkan penagihan dadah dan menghindari klien daripada kembali menagih atau relaps.

Memetik ucapan Dato’ Seri Hamzah Zainudin lagi, beliau mengatakan bahawa komponen sokongan keluarga yang lebih berstruktur telah diperkenalkan sejak tahun 2020 dan terbukti berkesan apabila tahap pengekalan kepulihan klien yang hanya 20 peratus pada tahun 2015 berjaya ditingkatkan kepada 71 peratus pada September 2022.

Inisiatif Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga (KSKK) merupakan instrumen sokongan yang menyediakan ruang dan peluang kepada ahli keluarga untuk berkongsi permasalahan dan mencari penyelesaiannya.

Dalam program ini juga, DYMM Pemangku Raja Pahang turut berkenan menyempurnakan pelancaran “Kelompok Sokongan Keluarga Kepulihan (KSKK) Peringkat Kebangsaan bersama-sama mentor kepulihan yang dilantik oleh AADK. Melalui sokongan daripada KSKK, AADK melihat usaha ini mampu mengurangkan stigma negatif terhadap isu penagihan dadah sekali gus bersama-sama kerajaan untuk membendung masalah penagihan dadah dalam negara.

DYMM Pemangku Raja Pahang turut berkenan menyempurnakan pelancaran “Kelompok Sokongan Keluarga Kepulihan (KSKK) Peringkat Kebangsaan bersama-sama mentor kepulihan yang dilantik oleh AADK.

Program ini memfokuskan sokongan masyarakat untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela sama ada mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) ataupun Program Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi (RPDI) di bawah kelolaan AADK tanpa stigma negatif masyarakat.

Pelancaran logo baharu Kelompok Sokongan Keluarga Kepulihan (KSSK).

AADK percaya usaha ini mampu mewujudkan kesejahteraan psikologi, sosial dan kognitif seluruh Keluarga Malaysia. Program ini diharapkan mampu mengurangkan stigma terhadap isu penagihan dadah sekali gus mengiktiraf peranan keluarga sebagai elemen sokong bantu pemulihan klien sepanjang hayat. Penyertaan dalam program seperti ini secara tidak langsung memberikan isyarat positif bahawa klien berazam untuk berubah dan kembali menyumbang kepada masyarakat.

Program tersebut dimeriahkan dengan pameran oleh AADK. DYMM Pemangku Raja Pahang, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan tetamu kehormat yang lain turut meluangkan masa menyantuni pihak yang terlibat dengan pameran di reruai pameran masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.