Oleh RYAN SOFEA
31 Oktober 2022, 19:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Industri penerbangan merupakan pemacu ekonomi global yang menyokong lebih 58 juta pekerjaan dan AS$2.4 trilion menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global. Satu pertiga daripada semua perdagangan global dihantar melalui udara, menjadikan penerbangan sebagai komponen utama perniagaan global. Di Asia Pasifik, industri penerbangan telah mewujudkan sebanyak 34 juta pekerjaan serta aktiviti ekonomi bernilai A.S.$700 bilion dan ini dijangka menokok lebih daripada dua kali ganda dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Di Malaysia, industri penerbangan dijangka menyumbang kira-kira A.S.$1.97 bilion secara langsung kepada negara dan memberi hasil sebanyak AS$6.3 bilion kepada industri pelancongan. Industri penerbangan di Malaysia menyumbang kira-kira 3.3 peratus kepada KDNK dengan mencipta lebih 460 000 peluang pekerjaan. Oleh itu, pengangkutan udara merupakan pemacu kepada perdagangan antarabangsa dan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Daripada perniagaan yang pelbagai terutamanya e-dagang dalam rantaiannya secara tidak langsung mampu meningkatkan perolehan dalam industri penerbangan.

Pengumuman kelonggaran merentas negeri dan pembukaan banyak sektor pelancongan dilihat memberi ‘nyawa’ kepada industri penerbangan negara, lalu membolehkan pesawat untuk kembali terbang tinggi. Sudah pasti hal tersebut menjadi khabar gembira buat semua pemain industri penerbangan negara yang terjejas teruk sejak kemunculan pandemik COVID-19. Dua tahun lalu, paparan imej deretan pesawat tersadai di serata lapangan terbang negara susulan sekatan perjalanan dan penutupan sempadan demi membendung penularan COVID-19, terbukti menjadi realiti permulaan buruk untuk industri penerbangan negara. Keadaan ini disusuli dengan permintaan yang menjunam selepas negara di seluruh dunia dilanda gelombang kedua, ketiga malah ada yang mencecah gelombang keempat jangkitan virus COVID-19 yang terus menyukarkan lagi prospek untuk perjalanan udara kembali beroperasi.

Berikutan itu, aliran pendapatan menjadi lumpuh, barisan tenaga kerja diarah bercuti daripada tugas masing-masing, lapangan terbang ditutup, penghantaran pesawat baharu ditangguhkan manakala pengeluaran pesawat turut digantung. Ironinya, ketika beberapa sektor dan industri lain mula menampakkan sinar baharu atau pulih sepenuhnya, keadaan ternyata sebaliknya untuk industri penerbangan yang dilihat belum bernasib baik. Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), syarikat penerbangan global dianggarkan mengalami kerugian sehingga A.S$84.3 bilion, sekali gus menjadikan 2020 sebagai tahun terburuk dalam sejarah penerbangan dunia.

Industri penerbangan negara dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM13 bilion pada 2020, termasuk kerugian RM10.9 bilion yang ditanggung syarikat penerbangan tempatan Malaysia Airlines Bhd, Air Asia Group Bhd dan Malindo Airways Sdn Bhd. Menurutnya, pengendali lapangan terbang seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd pula dianggarkan mencatat kerugian berjumlah RM2.1 bilion pada 2020. Dari segi sejarahnya, peristiwa yang berlaku terhadap industri penerbangan adalah yang terburuk pernah terjadi. Realitinya, ketika banyak industri lain meniti proses pemulihan berikutan pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), industri penerbangan negara masih tidak menentu dari segi tempoh untuk membolehkannya terbang semula berikutan pasaran domestik yang tidak memadai untuk mengekalkan kelangsungannya.

Namun kini, prospek industri penerbangan semakin baik dan dilihat telah kembali menemui rentak kebangkitan dan dilihat beransur-ansur bangkit dengan jumlah penumpang pesawat mula melonjak apabila banyak negara mula menerima kehadiran pengembara. Lonjakan pergerakan penumpang antarabangsa dicatatkan di lapangan terbang seluruh negara berikutan permintaan lebih tinggi selepas pembukaan semula sempadan dan syarikat penerbangan yang giat menyambung semula laluan penerbangan antarabangsa. membayangkan prospek memberangsangkan bagi industri penerbangan negara untuk mencatatkan pemulihan lebih cepat. Jumlah trafik penumpang di lapangan-lapangan terbang seluruh negara telah meningkat lebih enam kali ganda kepada 20.25 juta orang penumpang pada separuh pertama 2022.

Pada Jun 2022, jumlah pergerakan trafik penumpang Malaysia berjumlah 4.54 juta orang penumpang yang membentuk 63 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang yang mencecah 7.21 juta. Secara keseluruhannya, Malaysia merekodkan 1.29 juta orang penumpang trafik antarabangsa, manakala trafik domestik ialah 3.24 juta orang penumpang dalam separuh pertama 2022. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa industri penerbangan berada di landasan yang tepat untuk mencatatkan lebih penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Pertumbuhan jumlah penumpang di rantau Asia Pasifik juga diramalkan akan mewakili 53 peratus pertumbuhan global dalam tempoh dua tahun akan datang. Pada 2040, Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) meramalkan pusat penerbangan akan beralih ke bahagian timur apabila tujuh daripada 10 buah negara bagi pegangan pasaran penumpang global datang dari wilayah Asia Pasifik. Dengan kemudahan perhubungan syarikat penerbangan yang kukuh dan penawaran yang lebih meluas ke lebih 130  buah destinasi di seluruh dunia, ditambah lagi dengan kelebihan geografi yang terletak di tengah-tengah rantau Asia Pasifik, Malaysia bersedia memanfaatkan pertumbuhan ini. Malaysia juga mempunyai kelebihan apabila menawarkan perkhidmatan syarikat penerbangan tempatan dan luar negara dengan menawarkan penerbangan kos rendah dan penuh, sekali gus meletakkan negara ini pada landasan kukuh sebagai hab yang kukuh dan berdaya saing.

Walau bagaimanapun, kos perniagaan dan penyelenggaraan boleh memberikan cabaran besar kepada pemain industri terutamanya syarikat penerbangan, dari segi tempoh berlakunya pemulihan keuntungan. Harga bahan api jet yang lebih tinggi bermaksud, terdapat keperluan untuk melindung nilai harga bahan api. Harus diingat, lindung nilai turut memerlukan kos. Selain itu, inflasi yang meningkat bermakna, pelancong Malaysia akan menjadi lebih berkira-kira dengan perancangan perjalanan mereka. Isu kekurangan pelancong domestik ke Langkawi dan kecenderungan pelancong Malaysia melancong ke Thailand serta kenaikan harga tambang ke Sarawak dan Sabah menjelang Pilihan raya Umum ke-15 adalah ‘gangguan’ kepada rentak kebangkitan yang harus diberikan perhatian oleh pemain industri. Gangguan kepada rentak kebangkitan ini turut boleh menjejaskan pelbagai industri lain. Syarikat penerbangan secara jelasnya tidak terlindung daripadanya. Oleh itu, permintaan merupakan kunci kepada kejayaan syarikat penerbangan. Namun, terdapat faktor pemangkin lain yang boleh menjejaskan prestasi keseluruhan industri yang diunjurkan untuk pulih sepenuhnya pada 2024.

Menurut Ketua Pengarah IATA, syarikat penerbangan berdaya tahan dan orang ramai terbang dalam jumlah yang lebih besar. Kargo menunjukkan prestasi yang baik walaupun dengan latar belakang ketidaktentuan ekonomi yang semakin jelas meningkat. Perkara yang penting ialah prasarana sedia ada mampu meningkatkan kecekapan dan prestasi ketepatan masa sekali gus membolehkan syarikat penerbangan meningkatkan jumlah penerbangan pada satu-satu masa. Situasi ini akan memberi potensi dalam usaha pengembangan operasi syarikat di lapangan terbang kami dan menyumbang kepada pertumbuhan industri penerbangan tempatan secara keseluruhannya.

Kerajaan menyedari cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan tempatan, sekali gus mencari kaedah untuk membantu industri tersebut menanganinya, terutamanya dari segi mengembangkan dan mengekalkan perniagaan. Industri penerbangan disifatkan sebagai antara pemacu utama untuk mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Selepas pembukaan semula sektor ekonomi, amat penting bagi Kerajaan Persekutuan merangsang kembali pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan dalam sektor strategik seperti industri penerbangan.

Pada masa akan datang, pertumbuhan industri penerbangan Malaysia dijangka terus mendapat sokongan daripada aktiviti sosial dan ekonomi yang teguh, serta permintaan domestik dan asing yang kukuh berikutan peralihan negara ke fasa endemik COVID-19 dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Momentum pertumbuhan industri penerbangan diunjurkan kekal kukuh pada suku keempat 2022 dengan dipacu oleh kemajuan yang memberangsangkan dalam sektor pelancongan dan perdagangan luaran.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.