Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHari ini, sebanyak 249 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berasal dari Perak pulang ke kampung halaman menaiki lapan buah bas percuma yang diselaraskan oleh Kelab Patriot Chapter Perak UUM untuk memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab untuk mengundi buat kali pertama.
Mereka merupakan antara 21 juta pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Naib Canselor, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berharap setiap pelajar dapat memainkan peranan sebaik-baiknya dalam memilih calon yang benar-benar menepati kriteria selaku pemimpin.
Bagi pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Iqmal Qamil Mawar, beliau berasa teruja kerana dapat membuang undi buat kali pertama dalam PRU-15 ini.
Perasaan ini turut dikongsi pelajar Sarjana Muda Sains (Statistik Industri), Chan Wen Hui yang sedang menunggu bersama-sama rakannya seawal pukul 7.30 pagi untuk pulang ke kampung halaman di Teluk Intan, Perak.
“Pada pilihan raya kali ini, saya ingin memilih kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab dan bijak dalam mentadbir negara dan penting agar dapat memenuhi aspirasi, serta kehendak dan keperluan rakyat,” kata beliau.
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Reenha Rajendran bertekad untuk memanfaatkan peluang ini untuk turun mengundi, selain meluangkan masa bersama-sama keluarga sempena cuti semester hingga 26 November ini.
“Pada pandangan saya, pilihan raya merupakan satu daripada proses untuk memilih calon yang sesuai untuk memerintah. Calon ini akan menjadi wakil kepada rakyat. Mengundi pula menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia yang wajib dilaksanakan sebagai tanda sayang pada negara,” katanya.
Pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Nur Qistina Aqilah berkata, dia berpandangan bahawa pemilihan pemimpin yang bersih, berintegriti, boleh berkhidmat untuk rakyat adalah sangat penting, dan bukannya membuat sesuatu untuk kepentingan diri.
Beliau turut menyambut baik tindakan kerajaan yang menukar polisi pengundian dalam pilihan raya daripada umur 21 kepada 18 tahun bagi memilih dalam PRU kali ini.
“Pendekatan undi 18 tahun amat bagus kerana suara orang muda dapat didengari dan mahasiswa dapat memainkan peranan dalam memilih kerajaan.
“Saya berharap kerajaan baharu yang akan menerajui negara ini dapat memperkasakan sistem pendidikan dan melaksanakan pemerintahan yang adil kepada rakyat tanpa mengira bangsa,” ujarnya yang pulang ke Ipoh.
Pada PRU-15 ini, dijangka sebanyak 33 ribu pelajar UUM dapat melaksanakan amanah buat kali pertama sebagai pengundi apabila Undi18 diwarta dan dikuatkuasakan bermula pada 15 Disember 2021.