Oleh Aninah Janang
19 November 2022, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang


Pagoh – Meskipun banyak pihak yang menjangkakan peratusan keluar mengundi di seluruh negara pada Pilihan Raya Utama Ke-15  (PRU-15) mampu mencecah 85 peratus, namun melihat data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat pukul 2.00 petang ini, jumlah peratusan keseluruhan pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi hanya berjumlah 58 peratus. Perkara ini memberikan petanda bahawa sasaran 85 peratus berkemungkinan besar tidak mampu dicapai.

Di seluruh negeri Johor, hingga pukul 3.00 petang ini, jumlah peratusan pengundi yang keluar mengundi adalah sebanyak 57.58 peratus.

Setakat pukul 5.00 petang ini, pusat pengundian mula lengang.

Menurut penganalisis politik, Profesor Dr. Kassim Thukiman, jumlah 85 peratus pengundi yang keluar mengundi pada PRU-15 sukar untuk dicapai disebabkan banyak faktor yang perlu diambil kira. Antaranya termasuklah faktor cuaca di beberapa buah negeri yang dilanda hujan pada petang ini. Malah menurutnya lagi, hingga pukul 3.00 petang, kebanyakan pusat mengundi di Johor mula lengang. Daripada tinjauan Dewan Masyarakat yang turut berada di negeri Johor untuk membuat liputan, sememangnya kebanyakan pusat mengundi yang pada awal pagi tadi dibanjiri pengundi, kini keadaan mula beransur-ansur lengang. Sebagai contoh, di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar, yang menjadi lokasi pengundian Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak lagi sibuk seperti ketika pusat pengundian itu mula dibuka seawal pukul 8.00 pagi tadi.

Profesor Dr. Kassim Thukiman

“Faktor segelintir rakyat yang masih menganggap tanggungjawab sebagai pengundi tidak penting masih wujud. Faktor pengundi muda yang tidak keluar mengundi juga mungkin menjadi punca peratusan yang rendah. Hal ini dikatakan demikian kerana ada dalam kalangan pengundi yang beranggapan bahawa undi mereka tidak memberikan banyak makna dan kesan kepada pembentukan kerajaan. Apa-apa pun hal itu akan diperincikan oleh SPR nanti,” ujar Profesor Dr. Kasim ketika diwawancara oleh penulis.

Sementara itu, menurut penganalisis politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian, jumlah sasaran 85 peratus mungkin tidak dapat dicapai. Walau bagaimanapun, jumlah pengundi yang keluar mengundi tetap meningkat memandangkan jumlah keseluruhan pengundi pada PRU-15 adalah berjumlah 21 173 638 orang, iaitu jauh lebih tinggi berbanding dengan jumlah pengundi pada PRU-14. Untuk rekod, peratusan pengundi yang keluar mengundi pada PRU-14 adalah berjumlah 82.32 peratus.

Profesor Dr. Sivamurugan Pandian.

“Sasaran itu, mungkin tidak dicapai, tetapi memandangkan berlaku peningkatan jumlah keseluruhan pengundi yang layak mengundi, maka jumlah yang keluar mengundi pastinya lebih tinggi berbanding dengan PRU sebelumnya,” ujar Profesor Sivamurugan, ketika menjawab soalan Dewan Masyarakat.

Menurut Daftar Pemilih yang dikemas kini oleh SPR, hingga 9 Oktober 2022, sebanyak 21 173 638 orang pemilih yang layak mengundi pada PRU-15. Mereka terdiri daripada 20 905 366 pengundi biasa; 146 737 anggota tentera serta pasangan; 118 794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRU-15 mencatatkan sejarah sebagai PRU pertama negara yang mengiktiraf pengundi muda berusia 18 tahun untuk turut mengundi. Daripada data yang dikeluarkan oleh SPR, jumlah pengundi muda yang layak menggundi di seluruh negara adalah sebanyak 1 393 549 juta, iaitu pengundi berusia antara 18 tahun hingga 20 tahun.

Pengundi muda 18 tahun diberikan tanggungjawab untuk mengundi pada PRU-15.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.