Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan Parlimen Malaysia tergantung, dengan Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) memenangi 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) dengan 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan 6 kerusi dan lain-lain (6 kerusi).

Berdasarkan keputusan PRU-15 pada malam tadi, gabungan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu PN dan gabungan parti pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, iaitu PH mempunyai kelayakan untuk mengadakan rundingan pada hari ini bagi membentuk Kerajaan Malaysia.

Profesor Dr. Kassim Thukiman, ahli pemikir Kementerian Perpaduan Negara dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut ahli pemikir Kementerian Perpaduan Negara dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Kassim Thukiman, “Rundingan tersebut mestilah berasaskan perjuangan parti masing-masing dengan modifikasi dan fleksibiliti.”

“Dalam PRU-15, setiap gabungan parti mengetengahkan manifesto parti masing-masing. Namun demikian, sejauh manakah pemimpin dalam gabungan boleh mengubah suai serba sedikit perjuangan sepertimana dalam manifesto mereka? Jika mereka terlalu tegar terhadap pendirian parti masing-masing, maka akan sukar untuk bekerjasama membentuk kerajaan,” jelas Profesor Dr. Kassim.

PN mengadakan rundingan awal dengan GPS untuk membentuk kerajaan.


Mampukah PN atau PH menawan hati GPS dan GRS dan membentuk satu gabungan?

Profesor Dr. Kassim berpandangan bahawa buat masa ini, segala kemungkinan gabungan antara parti boleh terjadi, sama ada antara PH dengan GRS dan GPS, mahupun PN dengan GRS dan GPS.

Jelas beliau, “Terdapat banyak perkara yang mempengaruhi hal ini. Sebelum ini, PN dengan GRS dan GPS sudah mempunyai hubungan. Kerajaan Sabah merupakan kerajaan campuran antara PN dengan BN. Akan tetapi, dalam konteks Sabah dan Sarawak, untuk pembentukan gabungan baharu, berkemungkinan akan ada perubahan apabila terdapat pemimpin yang memainkan isu yang sensitif beberapa hari menjelang PRU-15.”

Jika digabungkan Sabah dan Sarawak dengan mana-mana pakatan di Semenanjung, cukup kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan.

Dalam hal penggabungan parti ini juga, tidak akan timbul isu lompat parti yang melibatkan individu selepas Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan mula dikuatkuasakan pada 5 Oktober 2022 yang lalu.

Tegas Profesor Dr. Kassim berkaitan dengan penggabungan parti dalam membentuk kerajaan, “Setiap gabungan mempunyai manifesto masing-masing. Akan tetapi, bagi tujuan kerjasama, mereka perlu fleksibel untuk mengubah suai serba sedikit inti pati perjuangan masing-masing. Dalam erti kata lain, semua parti mempunyai matlamat yang sama, iaitu membina negara terutamanya dari segi ekonomi dan pembangunan masa depan negara.”

Pembentukan gabungan parti yang memfokuskan agenda pembangunan negara melepasi kepentingan parti politik masing-masing, itulah yang terbaik.

Mengakhiri sesi wawancara bersama-sama Dewan Masyarakat, Profesor Dr. Kassim berpesan, “Kerajaan yang stabil dan pemimpin yang berjiwa besar diperlukan untuk membina semula negara pada era pascapandemik ini. Jika segelintir pihak hanya memikirkan perjuangan masing-masing, maka negara akan menghadapi masalah besar pada masa akan datang. Hal ini dapat dilihat menerusi persidangan pemimpin dunia di Bali dan Bangkok baru-baru. Malaysia kelihatan terpencil apabila tidak ada wakil dari negara ini yang menyertai persidangan tersebut, sedangkan kita merupakan antara negara yang hebat dalam konteks negara dunia ketiga. Malah, pemimpin dari negara jiran yang menjadi wakil negara ASEAN dalam persidangan tersebut. Hal yang demikian menjadi tamparan yang sinis terhadap negara kita  ̶  pemimpin hanya rajin berpolitik, tetapi peranan kita pada peringkat global dikesampingkan.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.