Oleh Aninah Janang
21 November 2022, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pagoh – Rata-rata penduduk di Pagoh berasa teruja sekiranya Ahli Parlimen mereka, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10. Menurut Salbiah Hussin, 57 tahun, yang ditemui di Pasar Awam Pagoh, apabila ada desas-desus bahawa Tan Sri Muhyiddin bakal menjadi Perdana Menteri ke-10, dia dan seluruh ahli keluarganya berasa gembira sekiranya hal itu benar-benar terjadi.

“Tan Sri seorang pemimpin berjiwa rakyat, jika beliau menjadi Perdana Menteri, sudah tentu sebagai warga Pagoh, ini merupakan kebangaan untuk kami di sini,” ujarnya.

Sementara itu, pengundi muda, Ashraf Mohamad Ilham, 21 tahun, turut menyatakan kegembiraannya dengan menyatakan bahawa Pagoh pasti berbangga kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

“Dia sememangnya mesra rakyat. ‘Abah’ ok, di mata anak muda, saya ok sahaja jika dia sekali lagi menjadi Perdana Menteri,” ujar Ashraf yang merupakan pelajar Kolej Komuniti Pagoh.

Bagi seorang peniaga gerai di Kampung Raja Pagoh, Ismail Abdul Sani, 44 tahun, beliau berpandangan bahawa Tan Sri Muhyiddin sudah teruji mengemudi negara ini, maka jika sekali lagi Istana Negara memperkenan cadangan untuk menjadikannya Perdana Menteri, sudah tentu Tan Sri Muhyiddin akan menggunakan pengalaman lepas untuk mentadbir negara dengan lebih baik.

“Sebagai warga Pagoh, sudah tentu saya berbangga. Saya juga yakin bahawa beliau mampu menangani cabaran membentuk kerajaan baharu ini dengan menggunakan pengalaman lepas beliau sebagai Menteri Besar, Menteri Kabinet dan Perdana Menteri,” terangnya kepada Dewan Masyarakat.

Berbaki kurang daripada empat jam sahaja lagi, ketua parti politik dan gabungan parti diminta untuk memaklumkan mengenai gabungan parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara

Hal ini dinyatakan Istana Negara menerusi kenyataan media yang memohon agar ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti politik yang telah dipersetujui antara parti politik atau gabungan parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca-PRU-15.

Sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri, maka Pilihan Raya Umum Ke-15 sekali lagi mencipta sejarah dengan menyaksikan beliau dua kali memimpin negara ini. Walau apa jua keputusannya, perkara tersebut akan dimuktamadkan berlandaskan undang-undang dan kebijaksnaan Yang di-Pertuan Agong.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.