Oleh Ery Hazara
29 November 2022, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Republik Trinidad – Dua orang belia telah terpilih mewakili Malaysia ke Persidangan Parlimen Belia Komanwel Ke-11 bertempat di Port of Spain, Republik Trinidad dan Tobago pada 20 November hingga 24 November lalu anjuran Persatuan Parlimen Komanwel Caribbean, Atlantic dan Americas Region selaku tuan rumah.

Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Speaker Dewan Senat Republik Trinidad dan Tobago, Bridgid Annisette-George semasa pembukaan rasmi sidang pertama pada pagi 20 November lalu.

Ahmad Alif Amri Ahmad Kawazi mewakili Malaysia ke Persidangan Parlimen Belia Komanwel Ke-11.
Siti Jamila Syuhada Jailani mewakili Malaysia ke Persidangan Parlimen Belia Komanwel Ke-11.

Ahmad Alif Amri Ahmad Kawazi, 29 dan Siti Jamila Syuhada Jailani, 22, masing-masing telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan bagi pembentangan usul Remote Work Bill 2022 yang diadakan di Bangunan Parlimen, The Red House bersama-sama 54 orang wakil belia dari pelbagai negara Komanwel lain.

Menurut persidangan tersebut, dua orang belia yang dipilih oleh Persatuan Parlimen Komanwel Malaysia adalah berdasarkan latar belakang dan pelibatan aktif mereka dalam komuniti dan organisasi.

Penganjuran persidangan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada golongan belia mengenai amalan demokrasi dan politik berparlimen.

Siti Jamila Syuhada yang berucap selaku menteri bayangan Transformasi Teknologi mewakili pihak pembangkang menyatakan keperluan ketersediaan jaringan teknologi dan perhubungan yang mampan dalam memastikan dasar bekerja dari rumah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dalam hujahnya, beliau menyebut mengenai kepentingan teknologi dan Internet masa ini dalam memastikan pihak majikan dan pekerja dapat menjalankan operasi kerja dengan baik dan lancar. Selain itu, beliau turut menekankan aspek infrastruktur teknologi perlu dibangunkan dan berfungsi dengan baik sebelum pelaksanaan kerja dari rumah dapat benar-benar dilaksanakan secara menyeluruh.

Sementara itu, Ahmad Alif Amri yang mewakili pihak kerajaan pula menyentuh tentang aspek faedah pelaksanaan empat hari bekerja seminggu bagi bidang pendidikan. Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa hasil kajian yang dijalankan oleh beberapa buah negara mendapati majoriti para guru amat bersetuju dengan dasar tersebut, malah beranggapan ini merupakan satu daripada tawaran yang baik dalam meringankan bebanan kerja, di samping menjaga kualiti kesihatan mental.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan kerja empat hari seminggu turut dapat membantu golongan pelajar untuk menceburi dan bergiat aktif dalam aktiviti sukarelawan dan pembelajaran sepanjang hayat yang lain, serta dapat meningkatkan keupayaan diri yang bukan sahaja dari aspek akademik semata-mata. Pelajar universiti juga boleh menggunakan hari cuti yang ada untuk melakukan pekerjaan sambilan yang boleh membantu meringankan beban kewangan, di samping memberikan nilai tambah pengalaman kerja yang baik dalam profil resume mereka.

Menurut penganjur lagi, peserta juga berpeluang melibatkan diri dalam sesi kaukus dan perbincangan bersama-sama mentor ahli parlimen belia daripada negara tuan rumah mengenai pengalaman politik dan demokrasi berparlimen, selain peranan media dalam politik.

Mengulas lebih lanjut mengenai sesi perbahasan yang berlangsung selama tiga hari tersebut, mereka mendapat kata sepakat untuk meluluskan usul yang dibentangkan dengan pindaan, iaitu mengenai pengurangan hari bekerja kepada empat hari seminggu dan perlaksanaan bekerja secara dari rumah.

Wajah anak muda tanah air yang berpakaian tradisional mendapat perhatian pihak media surat khabar Newsday.

Kedua wakil negara juga turut berpeluang memperkenalkan budaya Malaysia dengan mengenakan pakaian baju Melayu dan baju kurung semasa pembukaan rasmi sidang berlangsung. Menariknya, mereka berdua berjaya mendapatkan perhatian media negara tuan rumah apabila gambar mereka berpakaian nasional dipaparkan dalam laporan media surat khabar tempatan.

Perbahasan penuh boleh disaksikan di saluran YouTube Parliament of Trinidad and Tobago.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.