Oleh Firdaus Mul
17 Januari 2023, 18:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Temu bual eksklusif RTM bersama dengan YB Senator Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Kuala Lumpur – Kesan daripada inflasi pada ketika ini bukanlah bersifat setempat, namun turut menjejaskan ekonomi hampir setiap negara di dunia secara keseluruhannya. Hal ini bermaksud, isu inflasi merupakan isu global dan negara Malaysia tidak terlepas daripada merasai tempiasnya.

Oleh sebab itu, perancangan jangka pendek dan jangka panjang perlu diambil perhatian oleh kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan kesan inflasi tidak terus memudaratkan rakyat dan negara.

Menyentuh perihal inflasi, sudah pasti hal ini tidak terlepas daripada isu peningkatan kos sara hidup, sebagaimana yang berlaku di Malaysia pada hari ini. Dalam temu bual eksklusif anjuran RTM bersama dengan YB Senator Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pagi ini menyentuh tentang perihal strategi kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup yang membelenggu rakyat pada masa ini.

YB Senator Hajah Fuziah Salleh mengulas tentang kos sara hidup yang menjadi satu agenda besar negara.

YB Senator Hajah Fuziah Salleh menyatakan rakyat kini meletakkan harapan yang tinggi kepada KPDN.

Tugas ini merupakan amanah yang besar dan menjadi satu harapan tinggi buat semua rakyat. Kerana pada pertama kalinya, kerajaan meletakan nama satu-satu kementerian itu terlibat dengan kos sara hidup.

Beliau melanjutkan bicaranya dengan menyatakan langkah awal yang diambil oleh kerajaan bagi menangani kos sara hidup adalah mengenal pasti elemen kos sara hidup. Bagi beliau pengenalpastian elemen tersebut merupakan satu perkara yang amat penting.

Kita akui ramai yang terkesan dengan keadaan inflasi, ramai terkesan dengan kos sara hidup yang meningkat. Malah, bukan sahaja rakyat Malaysia yang terkesan, tetapi merupakan fenomena global. Kita lihat gaji tidak berubah, pandemik meninggalkan kesan yang amat besar apabila ramai yang hilang pekerjaan dan jatuh miskin. Maka itu, tepat sekalilah kos sara hidup menjadi satu agenda besar negara. Antara perkara dilakukan, kita melihat kos sara hidup daripada multidimensi.

“Jika sebelum ini kita mengukur kemampuan satu-satu keluarga itu mengikut pendapatan dan paras garis kemiskinan, namun kini kita melihat daripada multidimensi. Kita melihat kemampuan bukan setakat makan minum, tetapi kemampuan untuk memastikan bahawa seseorang boleh hidup bermaruah, ada perumahan yang selamat dan selesa, ada pendidikan yang baik untuk anak-anak, mampu membayar bil utiliti, dan mampu mendapat khidmat kesihatan yang baik. Kita juga meneruskan subsidi sedia ada, namun lebih mencari jalan dan mekanisme supaya lebih bersasar dan tidak ada ketirisan”, jelas beliau lagi.

Menurut beliau, terdapat enam elemen kos sara hidup yang menjadi tumpuan kerajaan. Antaranya termasuklah kos makan minum, perumahan, utiliti, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan. Dalam hal ini, kerajaan komited memastikan bahawa tidak ada pemegang taruh yang ketinggalan, yakni memberikan jaminan akan kepentingan kepada semua pihak.

Sementara itu, beliau turut mengupas tentang isu kenaikan harga ayam yang berkait rapat dengan faktor global. Subsidi berjumlah lebih 87.6 bilion yang disediakan oleh kerajaan merujuk barang keperluan asas untuk memastikan harga tersebut berada dalam kawalan. Walaupun harga sumber pasaran turun naik, namun kerajaan berusaha untuk memastikan rakyat tidak terkesan dengan teruk.

Selain itu, isu ketirisan yang berlaku dalam pengagihan minyak paket bersubsidi turut disentuh oleh beliau. “Sebagai contoh, pengguna kata tidak cukup minyak masak bersubsidi paket 1 kg, kita nak lihat. Sedangkan, kita hasilkan dalam 60 juta paket 1 kg sebulan. Kita mempunyai seramai 32 juta rakyat Malaysia, bermaksud seorang rakyat Malaysia akan memperoleh 2 kg sebulan. Jadi, kalau kata tidak cukup minyak, itu tidak benar. Malah, kita subsidikan lagi minyak masak paket 1 kg tersebut. Walau bagaimanapun, kita sedang mencari jalan mekanisme paling berkesan supaya tidak berlakunya ketirisan.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.