Oleh Suria Janib
18 Januari 2023, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahagian Harta Intelek, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan kunjungan hormat ke Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di pejabatnya, di Bangsar, pagi ini.

Dalam pertemuan tersebut yang diwakili oleh Ketua Bahagian Harta Intelek, DBP, Encik Shah Rizal Azwan Ghazali, dan Pengarah Bahagian Harta Intelek, MyIPO, Encik Kuljit Singh Ojagar Singh, kedua-duanya banyak berkongsi pandangan berhubung dengan fungsi yang dimainkan oleh kedua-dua badan tersebut.

Menurut Encik Kuljit Singh, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelbagai agensi untuk memberikan kesedaran dan kefahaman tentang kepentingan melindungi harta intelek daripada sebarang unsur plagiat, ciplak dan sebagainya.

Dalam sesi pengenalan, beliau turut menjelaskan fungsi  badan itu yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran dan pembangunan sistem harta intelek serta bertindak sebagai agensi kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Katanya, “MyIPO memberikan perkhidmatannya ke seluruh Malaysia.”

Jelasnya lagi, MyIPO mentadbir dan menguatkuasakan Perundangan Harta Intelek yang terdiri daripada Akta Cap Dagangan 2019; Akta Paten 1983; Akta Hak Cipta 1987; Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996;  Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000; dan Akta Petunjuk Geografi 2000 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.

Katanya, MyIPO merupakan agensi tunggal yang menyediakan perkhidmatan pendaftaran harta intelek di Malaysia. MyIPO turut mengadakan program kesedaran mengenai kepentingan perlindungan harta intelek dan menyediakan latihan harta intelek yang dikendalikan oleh Akademi Harta Intelek.

“Kesedaran untuk mendapatkan Sijil Harta Intelek melalui permohonan sangat dialu-alukan bagi melindungi harta intelek daripada dikenakan tindakan undang-undang. Sebanyak 181 buah negara melindungi harta intelek mereka menerusi piagam undang-undang yang sama dengan negara ini,” kata Encik Kuljit Singh.

Beliau mengambil contoh, negara-negara maju seperti Korea, Jepun dan Amerika Syarikat sangat melindungi harta intelek daripada sebarang pelanggaran hak cipta.

Sementara itu, Encik Shah Rizal Azwan Ghazali turut membangkitkan isu yang berkaitan dengan “izin terbit” yang melibatkan karya penerbitan, penggunaan logo cap dagang dalam artikel, dan penggunaan petikan yang diambil daripada buku penulis tertentu. Sementara itu, bagi menyelaraskan penggunaan dan pembentukan istilah yang betul yang berkaitan dengan terma harta Intelek, Encik Shah Rizal berkata, DBP bersedia menerima saranan dan cadangan daripada MyIPO.

Encik Shah Rizal Azwan Ghazali menyerahkan cenderamata kepada Encik Kuljit Singh Ojagar Singh.

Dalam pertemuan tersebut, turut disentuh penyertaan Malaysia sebagai anggota Triti Marrakesh yang akan menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara dengan memberikan pengecualian daripada mendapatkan kebenaran pemunya hak cipta untuk membuat dan mengedarkan bahan bacaan dalam format boleh akses bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

Kunjungan yang penuh bermakna ini dijangka akan terus memperteguh hubungan yang erat antara DBP dengan MyIPO untuk terus bekerjasama dalam isu yang melibatkan harta intelek pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.