Oleh Firdaus Mul
26 Januari 2023, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Setelah tampuk pemerintahan negara dikendalikan oleh Kerajaan Perpaduan, pelbagai perkara dan inisiatif dilakukan untuk menjamin kelangsungan dan kesejahteraan rakyat di negara Malaysia.

Baru-baru ini, konsep terbaharu “Malaysia Madani” diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri pada 19 Januari 2023 sebagai kerangka dasar negara, yakni sebuah kerangka dasar yang merangkumi lapan sasaran utama. Antaranya termasuklah, ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar, dan luar bandar.

Sementara Madani pula merujuk kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Menyentuh perihal Malaysia Madani, hari ini dalam temu bual Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan Encik Mohd Khair Ngadiron yang merupakan seorang Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku dan Puan Adibah Omar yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku bagi membincangkan topik Kota Buku: Platform e-Buku sebarkan Malaysia Madani.

Tirai perbincangan ini dibuka dengan penjelasan daripada Encik Mohd Khair Ngadiron berkenaan konsep Madani. Menurut beliau, konsep Madani bukanlah sesuatu yang baharu kerana perkataan Madani sudah lama tercatat di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

Encik Mohd Khair Ngadiron memberikan penerangan tentang konsep Malaysia Madani.

“Apabila berbicara tentang Madani, kita tahu sebelum ini negara menggunakan slogan Wawasan 2020, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan sekarang masyarakat Madani, yang membezakan amanat dan ucapan Perdana Menteri pada ketika itu,” jelas beliau.

Tambah beliau, penghasilan buku Madani sememangnya membantu rakyat Malaysia untuk memahami kerangka dasar kerajaan dengan lebih mudah dan berkesan. Pada masa yang sama, Encik Mohd Khair Ngadiron turut menyatakan bahawa Perbadanan Kota Buku juga menyediakan akses e-buku bagi buku Malaysia Madani, dan kemudian beliau menyatakan bahawa pihak Perbadanan Kota Buku sedang merancang untuk penghasilan buku audio dan e-braille bagi memastikan tidak ada pihak yang tercicir, selain merancakkan lagi penyebaran Malaysia Madani ke seluruh pelosok Malaysia.

“Kita mengharapkan selepas ini akan ada banyak diskusi, pentafsiran kepada perkara ini dan antara perkara paling penting adalah daya cipta, salah satu elemen dalam Madani ini. Kita mengharapkan generasi muda akan melihat ini sebagai satu bentuk baharu, yakni usaha yang berterusan untuk penambahbaikan negara Malaysia,” kata Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku mengulas harapan negara dalam usaha mengangkat Malaysia ke persada antarabangsa supaya lebih dihormati.

Puan Adibah Omar berkongsi mengenai peranan dan fungsi Perbadanan Kota Buku.

Sementara Puan Adibah Omar pula membuka tirai perkongsiannya dengan menyatakan peranan dan fungsi Perbadanan Kota Buku. Menurut beliau, Perbadanan Kota Buku merupakan sebuah agensi yang berperanan sebagai nukleus perbukuan, dan kemudian menjadi hab untuk memastikan kesemua pemain industri berdaya saing dan terus-menerus menghasilkan pembaca dalam Malaysia seiring aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau turut menjelaskan bahawa e-buku Malaysia Madani boleh diakses atau diperoleh melalui laman sesawang www.bookcapital.my yakni merupakan laman sesawang Kota Buku Digital Malaysia. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa sistem digital yang disediakan melalui laman sesawang tersebut dilengkapi beberapa kemudahan kepada pembacanya.

“Apabila e-buku dihasilkan, kita mahu memberikan pengalaman pengguna yang sangat baik kepada semua rakyat Malaysia. Dalam tempoh terdekat ini, kita akan menambah beberapa ciri-ciri yang terkini, termasuklah audio dalam e-buku ini”.

Pada akhir perkongsian, beliau turut menyatakan harapan Perbadanan Kota Buku yang bukan sekadar ingin menerajui inisiatif perbukuan digital di Malaysia dan rantau Asia, malah memastikan ketersampaian akses e-buku dapat dinikmati oleh sesiapa sahaja walau di mana pun mereka berada.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.