Oleh Firdaus Mul
17 Februari 2023, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Persiapan menjelang hari peperiksaan merupakan antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh calon peperiksaan. Tanpa persiapan yang rapi, amat sukar untuk seseorang calon itu menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Menyentuh perihal peperiksaan di Malaysia, pada hari ini dalam sesi temubual Sembang Ekspresi anjuran Sabah fm telah menampilkan Puan Siti Hamni@Ani binti Hashim yang juga merupakan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pentaksiran dan Peperiksan di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengupas topik “Persiapan Menduduki Peperiksaan Awam Tahun 2022”.

Beliau membuka tirai perkongsiannya dengan menyatakan peranan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Menurut beliau, selain mengendalikan peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), LPM juga berperanan mengelola peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU), Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA). Jelas beliau lagi, “SPM ulangan bagi tahun 2022 telah dilaksanakan pada 12, 13 dan 14 September 2022 lalu. Keputusan peperiksaan ini telah dikeluarkan pada 20 Oktober 2022. Manakala bagi peperiksaan STAM bagi tahun 2022 telah selesai dilaksanakan pada 16 Januari hingga 2 Februari tahun 2023. Seterusnya, peperiksaan bertulis SPM bagi tahun 2022 akan dilaksanakan pada 20 Februari hingga 15 Mac 2023. Bagi negeri Sabah, sebanyak 40 148 orang calon akan menduduki peperiksaan tersebut di 314 buah pusat peperiksaan. Pada masa yang masa, UPBA juga telah berlangsung pada 16 Februari 2023 dengan melibatkan empat matapelajaran, iaitu bahasa Jepun, bahasa Jerman, bahasa China Komunikatif dan bahasa Korea.

Beliau turut mengupas perihal ujian amali sains. Beliau berkata, “Setelah sekian lama, kita kembalikan ujian amali sains yang melibatkan matapelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan. Sebagaimana tahun 2021, calon SPM tahun 2022 juga menduduki ujian amali sains. Bagi SPM tahun 2022, ujian amali sains telah dilaksanakan dalam tempoh tiga hari, iaitu bagi matapelajaran Fizik pada 30 Januari 2023, Biologi pada 31 Januari 2023, dan Kimia pada 2 Februari 2023. Ujian amali bagi matapelajaran Sains Tambahan juga telah dilaksanakan pada 2 Februari 2023. Penambahbaikan ini dilakukan bagi memberikan keselesaan kepada calon untuk menduduki ujian tersebut dalam keadaan bersedia. Kesemua ujian amali sains telah selesai dilaksanakan dengan lancar dan teratur”.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa calon SPM 2022 juga perlu menduduki ujian bertutur dan ujian mendengar sebagaimana calon SPM 2021 yang akan dilaksanakan pada 7 hingga 9 Februari 2023 bagi ujian bertutur bahasa Melayu. Sementara itu, pada 13 hingga 16 Februari 2023 kelak merupakan tarikh bagi ujian bertutur bahasa Inggeris. Kemudian pada 16 Februari 2023 akan berlangsungnya ujian mendengar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tegas beliau lagi, “Peperiksaan pada kali ini dikendalikan seperti biasa sebagaimana pada tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19 melanda. Hal ini bermakna, pengurusan pengendalian SPM, STAM, dan UPBA tahun 2022 tidak lagi tertakluk pada garis panduan dan SOP yang telah dikeluarkan semasa pandemik COVID-19. Namun begitu, Lembaga Peperiksaan sentiasa mengingatkan kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam bagi tahun 2022 untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa menjaga kesihatan diri, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan pada kali ini. Oleh itu, semua pihak yang terlibat termasuklah calon peperiksaan amat digalakkan untuk mengamalkan kawalan kendiri seperti memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga jarak fizikal. Calon dan petugas peperiksaan tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka dan mengisi borang deklarasi saringan COVID-19. Guru bertugas dan pihak sekolah juga tidak perlu lagi mengambil suhu calon-calon, sebelum mereka memasuki dewan peperiksaan. Sekiranya calon disahkan telah dijangkiti COVID-19, calon perlu mendapatkan pengesahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memaklumkan dengan segera kepada pihak sekolah untuk dipanjangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan akan memanjangkan perkara ini kepada Lembaga Peperiksaan bagi tindakan selanjutnya.”

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap persiapan calon-calon peperiksan awam tahun 2022. Sebagaimana ujar beliau, “Saya yakin semua calon telah bersedia dan masih gigih meneruskan usaha bagi menduduki peperiksaan yang seterusnya, terutamanya peperiksaan bertulis SPM yang akan dilaksanakan pada 20 Februari hingga 15 Mac 2023 kelak. Kini, masih berbaki beberapa hari lagi untuk calon membuat persiapan.” Beliau juga turut mengingatkan bahawa semua calon peperiksaan perlu memberi perhatian terhadap perkara-perkara berikut:

  1. Semak jadual waktu peperiksaan.
  2. Baca dan tandatangan borang perakuan calon dalam jadual waktu peperiksaan untuk diserahkan kepada pihak sekolah.
  3. Semak penyataan pendaftaran peperiksaan bagi memastikan matapelajaran yang telah didaftarkan oleh calon.
  4. Sediakan dokumen pengenalan diri, iaitu kad pengenalan.
  5. Sediakan alat tulis yang diperlukan termasuklah kalkulator.

“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan semua calon untuk membaca dan memahami semua amaran peperiksaan yang terkandung dalam jadual waktu peperiksaan. Ingin saya tegaskan di sini bahawa calon diingatkan supaya tidak membawa apa-apa bahan larangan ke dalam dewan atau bilik peperiksaan. Antara bahan larangan yang dimaksudkan adalah seperti nota, catatan, telefon bimbit ataupun jam pintar yang boleh menyimpan maklumat atau nota. Sekiranya calon didapati melanggar peraturan ini, maka calon dianggap telah melakukan kes salah laku yang boleh diambil tindakan,” demikian tambah beliau lagi.

Pada sesi akhir temubual, beliau sempat menjelaskan mengenai perihal persediaan dari pihak KPM sekiranya berlaku kes luar jangka menjelang hari peperiksaan. Beliau berkata, pihak Jabatan Pendidikan Negeri, khususnya Sektor Peperiksaan dan Pentaksiran sentiasa bersiap siaga dan menjalinkan kerjasama yang erat dengan agensi kerajaan dalam memastikan kelancaran dan kelangsungan pengendalian peperiksaan awam bagi tahun 2022. “Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Jabatan Pendidikan Negeri dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sentiasa bersiap sedia dengan pelan kontigensi bagi berhadapan dengan sebarang kes luar jangka. Walaupun berdepan dengan cabaran dan halangan, KPM dan Lembaga Peperiksan sentiasa berusaha dan komited demi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan seperti yang dijadualkan agar dapat berjalan dengan lancar,” ujar beliau semasa mengakhiri sesi temu bual tersebut.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.