19 Februari 2023, 00:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Slogan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) merupakan slogan yang sering diungkapkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali yang memfokuskan kaedah untuk melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah diri yang baik, sekali gus meningkatkan daya intelektual dalam kalangan pelajar. Menurut YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin ketika menjadi tetamu dalam program Sembang Didik yang diadakan pada malam ini, slogan tersebut dihasilkan sebagai usaha untuk memberikan pemahaman yang mudah diterima oleh masyarakat untuk dihayati.

Tambah beliau, slogan tersebut merupakan inspirasi yang diperoleh oleh beliau ketika menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan yang melihat pelajar mempunyai tekanan untuk mencapai prestasi akademik yang cemerlang. Beliau berpandangan bahawa tekanan tersebut telah membuatkan sistem pendidikan negara menjadi tidak seimbang.

Beliau turut berkata,

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap ibu bapa sanggup menyediakan peruntukan kewangan untuk pendidikan anak-anak. Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut cukup tinggi berbanding dengan melahirkan anak yang baik. Sebagai contoh, pendedahan tentang adab dapat diajar sejak dari kecil lagi dan akan berterusan.

Beliau turut mengupas tentang Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang jelas menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, iaitu berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan 

  1. Pendidikan suatu usaha berterusan.
  2. Memperkembangkan potensi individu.
  3. Perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu.
  4. Insan yang seimbang dan harmonis.
  5. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

“Konsep ABC turut sejajar dengan aspirasi tujuh hala tuju yang menjadi tunjang KPM, iaitu menekankan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam kalangan pelajar,” ujar beliau.

Pada akhir sesi bual bicara tersebut, beliau turut berharap supaya setiap pihak bekerjasama dalam usaha untuk mendukung sistem pendidikan negara agar mampu melahirkan anak yang baik lagi cerdik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.