Oleh Firdaus Mul
21 Mac 2023, 18:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang bakal dibentangkan pada tahun 2024 akan mengutamakan isu penderaan dan pengabaian dalam kalangan warga emas.

Selain itu, isu perlindungan sosial dan kewangan, serta isu pengurusan harta warga emas juga menjadi skop tumpuan dalam penggubalan RUU tersebut, seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia, Profesor Ir. Dr. Siti Anom Ahmad melalui rancangan Malaysia Petang Ini anjuran Bernama TV, baru-baru ini.

“Pengabaian dan penderaan warga emas dilakukan tanpa ada sebarang tindakan atau akta khas yang boleh diguna pakai.

“Akta sedia ada sekarang, iaitu Akta Keganasan Rumahtangga, hanya memfokuskan keganasan fizikal, tetapi kita tahu bahawa penderaan terhadap warga emas juga merangkumi penderaan kewangan, emosi dan psikologi,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, ketiadaan peruntukan undang-undang yang membentuk perlindungan bagi warga emas menjadi punca utama berlakunya kes pengabaian dan penderaan ini.

Beliau menegaskan bahawa penggubalan RUU Warga Emas ini merupakan satu langkah yang sangat positif bagi negara, lebih-lebih lagi apabila negara sekarang berada dalam fasa persediaan menuju negara tua menjelang tahun 2030.

Sementara itu, Profesor Ir. Dr. Siti Anom juga turut memaklumkan bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengundang pihak MyAgeing sebagai ahli jawatankuasa penggubal RUU tersebut.

“Saya percaya, jawatankuasa inilah yang akan membincangkan secara holistik dan komprehensif tentang perkara yang perlu dimasukkan dalam RUU Warga Emas ini,” kata beliau.

Pada akhir rancangan, beliau sempat menjelaskan beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh MyAgeing untuk meningkatkan sistem sokongan terhadap warga emas seperti mengadakan program yang berkaitan dengan kewangan, kesihatan, literasi digital dan pendidikan sepanjang hayat.

Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia, Profesor Ir. Dr. Siti Anom Ahmad selaku panel jemputan bagi perbincangan yang bertajuk RUU Warga Emas – Persediaan Negara Tua 2030 dalam rancangan Malaysia Petang Ini anjuran Bernama TV.

Kredit foto sorotan: Unsplash/Hunt Han

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.