21 Mac 2023, 23:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bersempena dengan Majlis Angkat Sumpah Senator yang diadakan di Dewan Negara pada 20 Mac 2023, sebanyak 16 orang Yang Berhormat Ahli Dewan Negara yang baharu telah melafazkan taat setia dan sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Yang Dipertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim bergambar bersama-sama 16 orang Senator yang baharu sebaik-baik sahaja selesai Majlis Angkat Sumpah Senator di Parlimen.

Mereka ialah Yang Berhormat Senator Dr. Lingeshwaran a/l Dato’ Seri R. Arunasalam; Yang Berhormat Senator Tuan Amir bin Ghazali; Yang Berhormat Senator Tuan Haji Hussin bin Ismail; Yang Berhormat Senator Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris; Yang Berhormat Senator Tuan Musoddak bin Ahmad; Yang Berhormat Senator Dato’ Sri Anifah bin Aman @ Haniff Amman; Yang Berhormat Senator Tuan Isaiah a/l D Jacob; Yang Berhormat Senator Tuan Manolan bin Mohamad; Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan; YB Senator Prof. Datuk Seri Dr. Awang bin Sariyan; Yang Berhormat Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli; Yang Berhormat Senator Dato’ Sivaraj a/l Chandran; Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Hasbie bin Muda; Yang Berhormat Senator Tuan Abun Sui Anyit; Yang Berhormat Senator Puan Noorita binti Sual; dan Yang Berhormat Senator Tuan Roderick Wong Siew Lead.

Menurut Yang Dipertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim,

Dengan kemasukan Ahli-ahli Yang Berhormat sebanyak 16 orang ini, Dewan Negara kini mempunyai 64 orang ahli dan adalah diharapkan perjuangan kita sebagai anggota Dewan Negara benar-benar dapat kita laksanakan mengikut lunas dan Perlembagaan.

Yang Dipertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim memberikan ucapan semasa Majlis Angkat Sumpah Senator.

Yang berikut merupakan ucapan Yang Dipertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim.

  1. Izinkan saya mengulang dan juga memperingatkan bahawa setiap anggota Dewan Negara adalah selaras dengan apa-apa yang telah dinukilkan dan diumumkan oleh Setiausaha Dewan Negara, mempunyai aturan dan juga beberapa sifat ulung. Ulungan pertama adalah seperti yang berikut:

                 i. Setiap Ahli harus gemar dan kuat membaca;

               ii. Meneliti setiap isu dan rang undang-undang;

             iii. Menyalurkan buah fikiran demi kebaikan Malaysia; dan

             iv.  Tanggungjawab membina negara bangsa.

  1. Dalam perjawatan dan sumpah yang telah dilafazkan, mari kita ingati semula bahawa setiap anggota adalah melindungi, setiap anggota adalah memelihara dan setiap anggota adalah mempertahankan Perlembagaan Malaysia, di samping memberikan taat setia atau mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bagi.

 

  1. Ini adalah seupaya-upaya kita dan dalam konteks Artikel 45 itulah kita berjuang bersama-sama. Selalu diingatkan kepada kita bahawa setiap Yang Berhormat Senator mempunyai tanggungjawab, tetapi di bawah Perlembagaan tiada disebutkan tanggungjawab itu.

 

  1. Oleh yang demikian, mari kita bersama-sama mengorak langkah dan mencari jalan serta mengaut persahabatan dan keyakinan bahawa inilah Dewan Negara tertinggi tanah air kita dan sebagai Dewan yang dianggap sebagai Upper House, yang sama ertinya dan perjuangannya seperti The House of Lord di United Kingdom.

 

  1. Kita jangan takut, kita jangan khuatir dan kita jangan berbelah bagi untuk menegakkan kebenaran dan meneliti segala kuasa, segala yang dicatat menerusi Dewan Rakyat ataupun menerusi perbincangan di Dewan ini sendiri. Dengan itu, insya-Allah kita akan terserlah sebagai anggota Dewan Negara yang baharu dan boleh kita banggakan untuk mencapai tahap-tahap yang lebih tinggi.

 

  1. Akhir sekali, izinkan saya menyerukan agar setiap Ahli-ahli Yang Berhormat Senator memainkan peranan menggembleng tenaga kembali, menyemarakkan Rukun Negara, di mana kita dipohon supaya mempunyai kepercayaan kepada Tuhan. Di mana kita digesa supaya kita mempunyai ketaatsetiaan kepada Raja dan negara. Seterusnya, keluhuran Perlembagaan, dan kita sisipkan dengan kedaulatan undang-undang serta perjuangan kita berhubung dengan kesopanan dan kesusilaan.

 

  1. Akhir sekali itulah yang dipohon sebagai pemimpin ulung, agar apa-apa yang kita lazimkan selaku “pengkhidmat” di Dewan ini, kita cari jalan supaya masyarakat kita lebih berbudi bahasa, lebih berbudaya tinggi, dan dapat kita mengulangi kecemerlangan lampau dalam kemerdekaan serta membina negara semula.

 

  1. Sebahagian daripada rakan-rakan yang mengangkat sumpah tadi ialah bekas anggota Kabinet misalnya, sebahagian daripada kita merupakan pejuang dalam kebudayaan. Sebahagian lagi dalam latar belakang minoriti atau masyarakat kecil, dan seterusnya kita juga mewakili kepakaran-kepakaran yang ada di bawah Perkara 45 itu. Marilah kita gunakan kebolehan dan kepakaran masing-masing itu supaya Dewan ini bergema dan terus cemerlang dalam perkhidmatan legislatif tanah air.

 

  1. Terima kasih dan tahniah kepada setiap yang menjadi “Yang Berhormat” dan setiap Yang Berhormat itu haruslah kita dihormati oleh masyarakat dan kita juga menghormati masyarakat Malaysia tercinta dengan khidmat yang harus kita sampaikan bersama-sama.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.